Jurujual
ganggu guru mengajar
RINGKASAN: Artikel ini aku tulis disebabkan rasa tidak puas hati terhadap jurujual yang berkeliaran di sekolah untuk jualan produk, membuat promosi kad kredit ataupun kad pelancongan. Yang paling aku tidak suka apabila jurujual tersebut terus memujuk walaupun seseorang guru itu tidak berminat untuk membeli produk mereka atau menggunakan khidmat kad kredit institusi perbankan mereka. Artikel ini aku hantar kepada Akhbar Berita Harian dan telah diterbitkan pada 19 January 2005. Pada 16 April 2005, surat aduan aku ini mendapat respon daripada presiden NUTP, Ismail Muhammad dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dr Maamor Osman. Mereka menyarankan agar membuat aduan lisan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya dapat menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia berbuat sesuatu untuk bertindak.
SAYA tidak puas hati
dengan kebanjiran jurujual di sekolah sejak akhir-akhir ini.
Pada hemat saya, sekolah
bukanlah tempat yang sesuai bagi jurujual mempromosi produk mereka kerana
perbuatan ini menyusah serta merimaskan guru.
Saya percaya sebahagian
besar guru berasa kurang selesa apabila dihampiri jurujual, ejen pelancongan,
ejen kad kredit atau ejen insurans yang berkempen, memujuk serta mendesak kami
supaya menjadi pelanggan mereka.
Kadang-kadang kita
terpaksa melayan mereka walaupun sekadar acuh tidak acuh. Ada juga dalam
kalangan guru yang terpaksa menjadi pelanggan mereka semata-mata tidak mahu
terus diganggu walaupun perkhidmatan atau barangan yang dibeli tidak
diperlukan.
Tidak tergamak juga
rasanya untuk kita tidak melayan atau terus berlalu pergi takut-takut dikatakan
sombong atau ego kerana kita pun memahami bahawa mereka juga bekerja untuk
menyara anak isteri.
Sebagai guru, kita
bukannya mempunyai banyak masa untuk mendengar ceramah mereka. Sedikit masa
rehat yang ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh guru kerana waktu
berkenaan boleh digunakan untuk melakukan kerja yang sepatutnya seperti menulis
buku rancangan mengajar, menyemak data pelajar dan menanda buku pelajar.
Baru ada sedikit masa
untuk menyuapkan makanan ke mulut, tiba-tiba meluru jurujual berkenaan.
Kadangkala masa rehat yang ada sedikit, habis begitu saja bahkan terpaksa pula
‘mencuri’ masa beberapa minit kerana mendengar ceramah jurujual.
Bekal yang dibawa dari
rumah tidak sempat dijamah dan kita terpaksa membawanya balik semula. Bilik
guru apabila menjadi tempat jurujual berkeliaran mencari pelanggan sememangnya
sudah tidak ada privacy lagi kepada
guru untuk melepaskan penat dan bersosial sesama mereka.
Kami berharap Kementerian
Pelajaran akan mengeluarkan surat pekeliling ke semua sekolah supaya melarang
sama sekali jurujual atau ejen pemasaran masuk ke kawasan sekolah untuk mencari
pelanggan kerana sekolah bukan tempat yang sesuai untuk berurus niaga.
Sesetengah jurujual atau
ejen tertentu sanggup memperdaya guru dengan menyatakan bahawa kedatangan
mereka adalah atas arahan pihak kementerian atau jabatan dengan mengemukakan
surat sokongan yang boleh dipertikaikan kesahihannya.
Saya memohon maaf kepada
jurujual atau ejen tertentu kerana luahan ini mungkin akan menyukarkan anda
mencari rezeki tetapi banyak lagi cara dan tempat yang boleh anda lakukan bagi
mempromosikan produk anda, tidak semestinya di sekolah.
Kami akan mencari anda
dan mendapatkan produk atau khidmat syarikat anda apabila kami memerlukannya
tetapi bukannya di tempat kami bertugas.
No comments:
Post a Comment