PENGORBANAN SEORANG GURU
Pada 16 Mei setiap
tahun negara kita akan mengadakan sambutan Hari Guru. Hal ini penting bagi
menghargai jasa guru yang tidak jemu mengajar anak-anak muridnya menjadi orang
yang bijak pandai. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini sambutan hari guru
sudah dipandang sepi oleh anak-anak murid. Kalau dulu, sambutan Hari Guru yang
diadakan pada peringkat sekolah amat meriah sekali. Setiap acara yang diadakan
membabitkan permainan antara guru dan murid. Persembahan pentas yang diadakan
juga turut melibatkan guru dengan murid. Pendek kata, semua murid
tertunggu-tunggu akan ketibaan hari guru. Memang tidak dapat dinafikan,
sambutan hari guru yang diadakan di sekolah suatu masa dulu menjadi platform
yang paling ampuh untuk merapatkan hubugan antara guru dan murid.
Berbeza dengan keadaan
sekarang, hari guru yang dianjurkan oleh pihak sekolah tidak semeriah dulu.
Kebanyakan pelajar mengambil kesempatan masa yang tidak ada aktiviti pengajaran
dan pembelajaran ini untuk melencong ke pusat Cyber Cafe sama ada di bandar
mahupun di kampung ataupun mereka pergi melepak di pusat beli-belah. Hanya
sebilangan kecil sahaja pelajar yang datang ke sekolah untuk menyambut hari
guru. Itupun mungkin pelajar yang datang kerana terlibat secara langsung dengan
aktiviti-aktiviti yang dianjurkan sama ada permainan ataupun persembahan. Hari
guru yang sepatutnya diraikan oleh setiap murid telah menjadi sepi sebaliknya
pusat Cyber Cafe pula yang meriah sehingga tidak cukup tempat duduk. Inilah
bahana teknologi yang menular dan menguasai pemikiran para pelajar kita hari
ini.
Hal ini juga berkait rapat
dengan sikap pelajar masa kini yang sudah hilang rasa hormat dan sayang
terhadap guru. Bagi mereka, guru adalah pengacau privasi kehidupan mereka.
Kebanyakan pelajar masa kini sudah tidak berminat untuk belajar di sekolah.
Mungkin mereka beranggapan ilmu yang ditimba di pusat tusyen sudah mencukupi
kerana sudah menjadi trend masa kini para ibu bapa berlumba-lumba menghantar
anak-anak mereka ke pusat tusyen. Sekiranya guru di dalam kelas mengajar
sehingga ke akhir waktu serta banyak memberi kerja rumah, maka guru tersebut
bukanlah guru yang menjadi kesayangan mereka. Sebaliknya sekiranya ada guru
yang masuk kelas hanya mengajar ala kadar sahaja, maka guru itulah yang menjadi
guru kesayangan. Guru yang ikhlas mengajar dan mendidik dipandang seperti
musuh, manakala guru yang kurang mengajar di dalam kelas disanjung dan
dijadikan sahabat oleh pelajar. Tidakkah pelik bunyinya? tetapi itulah realiti
yang berlaku di sekolah masa kini.
Ada sesetengah guru
yang seolah-olah mengajar kerusi dengan meja saja di dalam kelas manakala orang
yang sepatutnya belajar dan menimba ilmu hanya buat tidak peduli dengan apa
yang diajarkan guru. Ada yang tidur, ada yang bercakap-cakap malah ada yang
bergurau senda semasa cikgu sedang menyampaikan pengajaran. Lebih biadap lagi,
ada pelajar yang curi-curi keluar ikut pintu belakang kelas tanpa keizinan
guru.
Lebih memburukkan
keadaan, Ibu bapa sekarang tidak membantu guru dalam mendisiplin anak-anak.
Mereka banyak menghabiskan masa untuk mengumpul kekayaan dan mengejar kemewahan
hidup. Kerja mendidik anak-anak mereka diserahkan bulat-bulat kepada guru di
sekolah. Meraka hanya tahu mencari silap cikgu. Tidak keterlaluan dikatakan
terdapat segelintir ibu bapa datang ke sekolah untuk memaki hamun guru
sekiranya mendapat laporan. yang negatif
oleh anak-anak mereka tentang sedikit salah laku cikgu atau terdapat sedikit
salah faham. Sekiranya guru disiplin memanggil ibu bapa untuk berbincang
tentang masalah disiplin anak-anak mereka, seribu alasan telah dicipta untuk
mengelak untuk datang ke sekolah. Mesyuarat agung PIBG yang diadakan setahun
sekali bertujuan untuk berbincang ke arah penambahbaikan dalam semua segi
seterusnya meningkatkan mutu
pembelajaran anak-anak dan menyelesaikan masalah dalam bentuk musyawarah antara
ibu bapa dan pihak sekolah, telah dipandang sepi oleh ibu bapa. Yang ramainya
adalah guru-guru yang bertugas dalam mesyuarat tersebut. Ibu bapa hanya
beberapa kerat saja yang datang sedangkan persediaan untuk mengadakan mesyuarat
tersebut begitu rapi. Mesyuarat jawatankuasa kecil diadakan beberapa kali untuk
mempersiap strategi. Persiapan pentas dan backdrop di dalam dewan mesyuarat
begitu gah sekali sehingga guru yang diberi tanggungjawab terpaksa memerah otak
mencari idea, memerah keringat dan membuang banyak masa tetapi persiapan yang
dibuat ini macam sia-sia sahaja. Makanan yang ditempah berlambak tidak
kehabisan kerana ibu bapa yang hadir boleh dibilang dengan jari. Kadang-kadang
mereka datang sekadar tulis nama kehadiran selepas itu hilang entah ke mana.
Begitulah keadaan sebenarnya berlaku setiap tahun sehingga untuk melantik AJK
PIBG dalam kalangan ibu bapa pun tidak mencukupi dan terpaksa melantik orang
yang sama.
Tak Kenal Maka Tak Cinta.
Orang yang pada mulanya sangat berminat untuk menjadi seorang pendidik akan
mula merasa rimas dan tertekan apabila melangkah masuk ke dunia realiti ini.
Barulah mereka tahu langit itu tinggi atau rendah. Orang di luar sana hanya
memandang kerja guru senang sahaja, gaji mahal, kerja setengah hari, cuti
banyak, tetapi mereka tidak tahu beban sebenar menjadi seorang pendidik pada
zaman siber ini. Hanya jauhari yang kenal manikam. Kalau diberi pilihan, tentu
jawatan pendidik bukan menjadi pilihan diceburi tetapi keadaan mendesak
menyebabkan jawatan ini menjadi keutamaan bagi pemegang ijazah yang menganggur.
Apapun, sekiranya anda
sudah menjadi guru, maka bersabarlah dengan cabaran hari ini dan yang bakal
mendatang, manakala bagi mereka yang berminat menjadi seorang pendidik,
teruskanlah minat anda serta persiapkan diri dengan kekuatan mental dan
fizikal. Kerja seorang pendidik memerlukan komitmen dan pengorbanan yang bukan
sedikit. Ikhlaslah kita memberi dan menyampai kemudian bertawakal saja kepada
Allah sesungguhnya kerja ini dipandang mulia di sisi Allah. Selamat Hari Guru.
No comments:
Post a Comment