Thursday, 12 July 2012

Entri 11 - TEKS PIDATO

RUMUSAN : Teks pidato ini aku buat untuk anak murid aku yang akan menyertai pertandingan pidato. Pada awalnya, teks pidato dibuat sendiri oleh peserta tetapi malangnya seorang demi seorang tarik diri kerana tidak ada keyakinan untuk menyertai pertandingan itu. Nasib baik ada seorang pelajar yang sudi menjadi pak sanggup mengisi calon yang lari tanpa bertanding. Memandangkan masa pertandingan telah suntuk maka dia telah memberi syarat agar aku menyediakan teks untuk dia. Syarat tersebut tidak mampu aku tolak kerana aku juga harus berterima kasih padanya atas sebab sudi menyelamatkan keadaan yang gawat. Hal ini demikian kerana aku yang bertanggungjawab melatih dan membawa pelajar untuk menyertai pertandingan pidato. Teks pidato ini sengaja aku masukkan kat sini supaya dapat menjadi rujukan pelajar tingkatan 4 & 5 serta guru-guru Bahasa Melayu. Tajuk ni sesuai untuk menjawab BM Kertas satu karangan umum soalan nombor 2 ( perihal keluarga dan masyarakat )




TEKS PIDATO

HARUAN MAKAN ANAK, BAPA DERA ANAK SEHINGGA LUMPUH, BAPA MEMBAWA ANAK UNTUK BERHIBUR DI PUSAT KARAOKE, BAPA DAN ANAK DITANGKAP MENGEDAR DADAH, BAPA 4 ANAK DITANGKAP KHALWAT .SOROTAN-SOROTAN ITU MERUPAKAN TAJUK-TAJUK AKHBAR YANG SEMPAT SAYA PETIK MEMAPAR TENTANG KEBEJATAN PERLAKUAN SESETENGAH  SI AYAH DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK DI ABAD INI.

Sekalung apriasi kepada peneraju majlis, saf kehakiman yang arif lagi bijaksana, guru-guru, rakan-rakan serta hadirin dan hadirat yang dimuliakan.
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

ANAK KEDIDI TERBANG RENDAH,
                               HINGGAP BERLABUH DI RANTING BIDARA;
           IZINKAN HAMBA MENYAMPAI WADAH,
                 BERKONGSI ILMU DALAM BICARA.

KELUARGA BAHAGIA MAMPU MELAHIRKAN MODAL INSAN BERKUALITI.

Demikianlah bunyi bicara ilmu yang akan saya kupas satu persatu pada pagi yang berbahagia ini.
Sidang hadirin yang dimuliakan..

Merujuk kepada Kamus Dewan iaitu KELUARGA memberi  maksud seisi rumahtangga yang terdiri daripada suami dan isteri serta anak-anak. Manakala BAHAGIA pula bermaksud suasana tenang dan aman serta gembira. Sebut saja keluarga bahagia, sudah jelas terbayang dalam kotak pemikiran kita bahawa kehidupan satu keluarga yang bebas daripada gejala sosial, mengamalkan corak hidup yang berlandaskan disiplin tetapi wujud di dalamnya sifat kasih sayang yang amat tinggi dan saling menghormati. Apabila kita hidup dalam syurga kehidupan berumahtangga, maka akan lahirlah generasi-generasi yang mempunyai modal insan yang berkualiti. Dalam sebuah keluarga asas, bapa merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab membawa sebuah keluarga sama ada ke syurga atau ke neraka. Peranan seorang bapa dalam keluarga ibarat kepala kereta api yang memacu gerabak-gerabaknya melalui landasan yang betul untuk selamat sampai ke setiap hentian. Sekiranya kepala kereta api itu tersungkur ke dalam gaung, maka gerabak-gerabaknya akan turut menjunam ke dalam gaung. Begitulah lebih kurangnya bayangan yang boleh digambarkan betapa ketua keluarga inilah yang bertanggungjawab mencorakkan sesebuah keluarga. Bapa perlu menjadi imam kepada isteri dan anak-anak. Bapa wajib menjadi seorang suami yang boleh membimbing isteri seterusnya membentuk kepribadian dalam diri anak-anak melalui tauladan yang ditunjukkan. Bapa tidak boleh mengajar anaknya seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.  Menurut kata pakar motivasi iaitu Dato Haji Fadzillah Kamsah, “bapa merupakan cerminan anak-anak, setiap perlakuan seorang bapa, akan menjadi idola dan ikutan kepada anak-anak” Maknanya, untuk membentuk keluarga yang bahagia, seorang ketua keluarga itu mesti berperanan membentuk keluarga mereka itu ke arah yang boleh melahirkan generasi yang cemerlang dan terbilang. Dengan cara bagaimana sidang hadirin? Dengan cara tunjukkan sifat kepribadian yang tinggi melalui Agama yang diletakkan paling dominan dalam mendidik isteri dan anak-anak. Apabila agama yang menjadi tonggak dalam kehidupan berkeluarga maka  akan lahirlah rumahtangga yang bahagia. Rumah tangga yang didirikan berpaksi kepada sifat mahmudah iaitu saling menyayangi dan saling menghormati.

Sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

Dalam menjana sebuah keluarga bahagia, mana mungkin seorang ketua keluarga yang mengamalkan corak hidup yang bersandarkan atas nafsu semata-mata mampu mentarbiah anak isteri menjadi mukmin dan mikminin yang hebat. Mampukah seorang bapa yang membiarkan anak-anak hidup merempat, memberikan pendidikan yang sempurna buat mereka? Seorang ayah yang menjadi hamba dadah mana mungkin dapat melahirkan anak-anak yang mempunyai  kualiti dari segi kepribadian, Seorang ayah yang terpenjara di dalam tirai besi akibat kesalahan merompak, menyamun, membunuh, merogol dan pelbagai kesalahan lagi manakan mampu untuk melahirkan sebuah keluarga bahagia dalam membentuk rumahtangga?  Sudah terang lagi bersuluh, perlakuan songsang seorang ketua keluarga seperti ini tidak mampu untuk mendidik anak-anak menjadi seorang pemimpin yang hebat suatu hari nanti. Anak-anak yang tidak bedosa akan menjadi mangsa kekejaman dan kebodohan sikap bapa sendiri. Sampai masanya, anak-anak akan mempersoalkan kenapa hidup keluarga mereka tidak bahagia seperti keluarga orang lain? Sungguh malang bagi sebuah keluarga yang dijana tanpa adanya seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab. Seorang isteri yang diabaikan tanpa sebarang nafkah oleh suami mana mampu untuk mendidik anak secara bersendirian. Pepatah ada mengatakan ‘bapa borek anak rintik’ dibimbangi anak-anak yang mengalami kecelaruan dalam hidup ini akan bertidak mewarisi sikap ayahnya yang menyusahkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Tuntasnya, jelas kepada kita bahawa keluarga bahagia merupakan tunjang kepada melahirkan generasi yang berkualiti.
Sidang hadirin yang disajungi,

Wacana bicara saya yang seterusnya adalah tentang peri pentingnya penggunaan masa dalam melayari sesebuah rumahtangga. Dalam zaman sains dan teknologi ini, kebanyakan ibu bapa berlumba-lumba untuk mengejar kekayaan sehingga mereka alpa akan tanggungjawab memberi masa berkualiti untuk bersama anak-anak. Kebanyakan masa anak-anak dihabiskan di rumah pengasuh atau di sekolah.  Ibu bapa pula sibuk dengan urusan keduniaan sehingga anak-anak sukar untuk bersua muka. Ada anak-anak yang lebih rapat dengan orang gaji berbanding ibu bapa sendiri. Hal ini demikian menjejaskan usaha untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia. Sebagai ibu bapa, mereka sepetutnya berusaha untuk menyediakan seberapa banyak masa untuk bersama anak-anak. Paling tidak, pada waktu makan. Pada masa ini, ibu bapa berpeluang mendengar masalah yang diluahkan oleh anak-anak mereka. Masa ini juga amat sesuai kepada ibu bapa untuk memberi nasihat dan pandangan kepada anak-anak. Komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak-anak ini secara tidak langsung boleh membuahkan bibit-bibit kebahagiaan dalam rumahtangga.  Adalah lebih baik lagi sekiranya seorang ayah dapat memyediakan masa untuk mengimamkan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak. Mereka juga boleh membaca surah yasin atau bertahlil bersama-sama.  Pada hujung minggu atau musim cuti sekolah, ibu bapa boleh membawa anak-anak pergi berkelah atau melancong. Aktiviti ini boleh merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Kasih sayang anak-anak tehadap ibu bapa juga semakin menebal. Oleh yang demikian, mau kata apa lagi? Jelaslah bahawa kerukunan rumahtangga yang wujud dalam sesebuah mahligai yang dibina atas dasar kasih sayang akan membenihkan modal insan yang berkualiti
Konklusinya, dapatlah dirumus bahawa, keluarga bahagia adalah asas kepada wujudnya generasi yang cemerlang dan terbilang. Sesebuah rumahtangga yang kita biasa dengar Baiti Jannati atau rumahku syurgaku akan wujud dengan lahirnya keluarga yang bahagia. Seorang pemimpin yang hebat akan lahir dalam keluarga yang mengamalkan disiplin berlandaskan ciri-ciri keagamaan sebagai teras kemakmuran dalam sesebuah rumahtangga yang dibina. Seorang ketua keluarga yang bijak dan bertanggungjawab mampu melahirkan masyarakat yang bebas daripada kecelaruan. Mungkin tidak ada lagi kedengaran remaja lari dari rumah kerana berasa tertekan berada di rumah.

Saya akhiri pidato saya juga dengan serangkap pantun yang berbunyi;

Pusaka bonda itulah harta,
            Menjadi warisan setiap generasi;
Keluarga bahagia idaman kita,
            Modal insan berkualiti mampu direalisasi.

Sekian terima kasih, Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh dan salam sejahtera.

10 comments:

  1. Assalamualaikum Cikgu,
    Mohon keizinan untuk menggunakan entri @ hasil tulisan Cikgu untuk saya jadikan rujukan dalam PdP saya. Terima kasih banyak2...:)

    ReplyDelete
  2. ASSALAMUALAIKUM CIKGU. MOHON IZIN GUNA TEKS CIKGU UTK DIEDIT DAN LATIHAN MURID SAYA.

    ReplyDelete
  3. ASSALAMUALAIKUM CIKGU. MOHON IZIN GUNA TEKS CIKGU UTK DIEDIT DAN LATIHAN MURID SAYA.

    ReplyDelete
  4. Mohon keizinan untuk menggunakan hasil tulisan Cikgu untuk diedit bg latihan murid saya...

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum cikgu. saya ingin meminta izin utk menggunakan hasil tangan cikgu utk diubah suai sbg bahan utk rujukan saya

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum, cikgu. saya minta izin utuk menggunakan hasil tangan cikgu untuk diubahsuai sebagai bahan untuk rujukan saya. terima kasih.

    ReplyDelete
  7. assalamualaikum cikgu..mohon keizinan untuk berkongsi ilmu di atas bersama anak murid saya.terima kasih cikgu

    ReplyDelete
  8. asslamualaikum cikgu,, mohon izin untuk berkongsi ilmu penulisan teks pidato ini bersama anak murid saya.. terima kasih cikgu

    ReplyDelete
  9. Asalamualaikum cikgu, mohon keizinan untuk mengambil teks pidato hasil tulisan cikgu untuk bahan rujukan.. Terima kasih

    ReplyDelete