RUMUSAN : Cerpen ini ditulis bertujuan untuk dimuatkan dalam majalah sekolah ( MINDA ) edisi ke-17 tahun 2011 sempena dengan tema majalah iaitu Lestari Hijau. Cerpen ini adalah adaptasi daripada kisah benar dalam kejadian tanah runtuh dan mengorbankan nyawa puluhan masyarakat orang asli yang pernah menggemparkan negara suatu masa dulu. Kesedaran tentang penjagaan alam sekitar telah semakin luntur dalam kalangan masyarakat kita hari ini akibat daripada kepentingan individu. Aku percaya, sedikit masa lagi sudah tidak ada kehijauan hutan untuk mata melihatnya, Tidak ada kesegaran udara untuk hidung menyedutnya, Tidak ada kedinginan semulajadi untuk tubuh badan merasai suhunya.
RINTIHAN ANAK DIPANG
Fajar sudah
mula menyinsing melabuhkan waktu subuh yang pada kiraan syuruknya sudahpun
berakhir. Anak-anak Jimpol masih lagi
leka mengacah-ngacah kakinya pada permukaan air. Pada pagi itu, mereka dua
beradik tidak terus terjun menikmati dinginnya air jeram yang mengalir turun
dari tempat tadahan air di hulu hutan Belum. Mungkin mereka tidak tergamak
untuk membasahkan badan kerana air pada pagi itu agak luar biasa keruhnya.
Hujan yang turun pada malam tadi meningkatkan sedikit paras air yang membawa
bersama puin-puin tanah beserta ranting-ranting dan daun-daun kering yang
berawak di bawa arus.
Melihat
kedudukan pancaran matahari yang suram berada pada sudut 45 darjah, mungkin jam
sudah menunjukkan pukul 9.00 pagi. Jempol dan isterinya Mak Bungah mula risau
akan anak-anaknya yang masih belum pulang dari sungai. Kebiasaannya pada waktu
itu, mereka sekeluarga sudahpun bergerak untuk mencari rezeki. Anak lelakinya
Simang akan mengikut Jimpol pergi berburu atau mencari hasil hutan manakala anak
perempuannya Merah akan mengikut Mak Bungah ke kebun untuk mengusahakan kebun
ubi dan pisang.
Keheningan
belantara pada pagi itu dicemari dengan bunyi mesin gergaji yang sayup-sayup
kedengaran dari hulu penempatan Jimpol dan suku kaumnya. Muka Jimpol terus
berubah, bibirnya mengetip-ngetip. Dia cukup geram dengan lanun-lanun hutan
yang dengan lahapnya merangkus khazanah alam dan merosakkan habitat yang
menjadi tempat Jimpol mencari rezeki
untuk di suapkan ke mulut anak isterinya. Baru dua hari lepas dia dan
anak-anak buahnya menutup laluan pencuri-pencuri balak dengan meletakkan
batu-batu besar serta rimbunan-rimbunan buluh tetapi nampaknya tidak berhasil
kerana lanun-lanun itu datang bukan saja dengan Toyota Hilux dan Mitsubishi
Storm bahkan turut membawa jentera-jentera berat untuk mengangkut keluar hasil ‘rompakannya’.
Pernah
seorang taukeh balak memberinya seikat not RM50.00 sebagai sogokan supaya tidak
menganggu kerja-kerja mereka. Namun, ‘niat suci’ tauke balak itu dibalas dengan
maki hamun dalam bahasa Bateq oleh Jimpol. Sebagai Tok Batin dalam komunitinya,
bukan wang ringgit yang menjadi tuhan baginya tetapi keamanan dan keharmonian
suku sakatnya mencari rezeki menjadi keutamaan. Khazanah-khazanah alam,
habitat-habitat hutan dan hasil-hasil belantara sudah menjadi darah daging bagi
mereka yang mewarisi suku kaum peribumi yang tebal mengamalkan kehidupan cara
primitif di bumi yang bertuah ini.
Mereka tidak
perlu rumah batu kerana mereka lebih selesa tinggal dalam rumah yang beratap
rumbia, berdinding buluh dan berlantaikan batang nibong. Mereka tidak perlu
senapang kerana mereka sudah mempunyai senjata yang paling ampuh untuk mencari
sesuap makanan iaitu penyumpit. Mereka juga tidak perlu kuasa eletrik kerana
mereka mampu mencipta api sendiri menggunakan getah damar untuk menerangi malam
yang gelap. Mereka juga tidak memerlukan air paip yang dibekalkan kerajaan
kerana sudah mempunyai sungai dan telaga yang dingin airnya. Apa yang mereka
mahukan agar kehidupan mereka tidak diganggu, tempat untuk mereka mencari
rezeki tidak diusik serta belantara yang membekalkan oksigen kepada mereka
tidak dimusnah. Mereka tidak pernah memohon apa-apa bantuan daripada kerajaan
kerana mereka boleh ‘service’ kehidupan mereka mengikut apa yang diperturunkan
oleh nenek moyang mereka.
tik...tik...tik...
lamunan Jimpol terganggu oleh titisan-titisan hujan yang turun membasahi
mukanya. Kebimbangan yang menghantui
Jimpol dan Bungah juga berakhir apabila Simang dan Merah berlari-lari
anak balik dari sungai. Pada pagi yang hening itu, kebanyakkan anak-anak buah
Jimpol tidak pergi memburu atau berkebun. Mereka masing-masing tinggal di dalam
rumah kerana hujan semakin lebat. Ramai juga dalam kalangan mereka yang sudah
keluar mencari rezeki , berduyung-duyung balik semula ke rumah. Bunyi mesin gergaji yang rakus memamah
batang-batang balak juga sudah tidak kedengaran lagi. Sebagai menu makan pagi,
Bungah menyediakan anak-anak dan suaminya dengan ubi kayu rebus dicicah ikan
sungai jeruk yang dipanggang. Begitu bernafsu sekali anak-anaknya melahap
makanan tradisional mereka.
Hari sudah semakin petang. Hujan yang turun sejak pagi tadi
masih lagi belum ada tanda-tanda akan reda. Tiba-tiba seluruh penghuni Dipang
dikejutkan dengan bunyi dentuman yang aneh
tidak seperti guruh dan tidak juga seperti bom tetapi kuat kedengarannya
dari atas puncak bukit. Jimpol terus keluar untuk menyiasat apa yang berlaku.
Dengan berlari-lari anak, Jimpol mengikut laluan arus sungai naik ke hulu.
Simang mengikut jejak ayahnya di belakang.
Tiba-tiba tumpuan Jimpol
dan Simang beralih arah apabila di atas sana mereka ternampak satu gumpalan
gelap menuju ke arah mereka bersama aliran sungai. Jimpol terus mencapai tangan
Simang dan menarik sekuat hati naik ke tebing yang lebih tinggi. Dalam pada
itu, mereka berlari sekuat hati untuk memberitahu kepada suku kaumnya supaya menyelamatkan diri
kerana satu bala bencana akan menimpa mereka.
Belum sempat Jimpol dan Simang sampai, ‘kepala air’ yang sarat muatannya
dengan runtuhan tanah serta pokok-pokok hanyut dan serpihan-serpihan balak
rakus membadai post Dipang yang saling tak tumpah bagaikan tsunami. Segala isi
kandungan penempatan itu hanyut dalam sekelip mata. Bukan saja penduduk Dipang,
bahkan segala binatang peliharaan mereka seperti anjing, babi , ayam hutan, beruk
dan sebagainya turut hanyut bersama
gelombang yang ganas itu. Stok-stok makanan mereka seperti pisang, ubi, tupai
salai, ikan sungai jeruk dan segalanya turut
entah ke mana.
Dari jauh Jimpol dan
Simang hanya mampu memerhatikan saja suku sakat
dan segala isi kandungan kampungnya dihanyutkan tsunami bukit itu.
Jimang sudah boleh membayangkan betapa
akan nasib malang yang menimpa adik dan ibunya. Memikirkan semua itu,
Simang tidak sampai hati membiarkan mereka terus terseksa dan terkapai-kapai.
Simang berlari dengan pantas untuk terjun ke dalam aliran arus yang masih mengganas. Dia ingin
mencari dan menyelamatkan adik dan ibunya. Dan kalau boleh dia juga ingin mati bersama mereka. Jimang
sempat ditarik oleh Jimpol. Namun dia meronta-ronta untuk pergi.
Itulah kehendak alam.
Apabila diusik sudah pasti akan menimbulkan kemurkaan dan kemuncak kemurkaan
itu apabila suku sakat Jimpol dan Simang
ditelan hidup-hidup. Mungkin tauke-tauke balak yang sudah kaya raya selepas
malahap hasil bumi tidak merasa bersalah. Keluarga mereka bersenang lenang
dengan hasil ‘rompakkannya. Mereka tidak mahu mengerti tentang nasib peribumi
yang masih bergantung sepenuhya kepada alam untuk hidup. Hutan kita memang luas, pokok-pokok cengal,
merbau, keruing, meranti dan sebagainya masih banyak lagi yang utuh tidak
diusik. Bukit bukau juga masih banyak yang belum digondol dan ditarah. Ramai
lagi tauke-tauke balak yang bakal menjadi jutawan. Mereka alpa sebenarnya
bahawa untuk mendapat kembali pokok-pokok yang ditebang memakan masa ratusan
tahun sedangkan untuk memusnahkannya tidak sampai sehari.
No comments:
Post a Comment