Si Tanggang Moden
‘Anak 16 tahun pukul
ibu dengan kayu’. ‘Anak perempuan tunggal terajang ibu di depan rumah’.
‘Remaja 17 tahun ugut bunuh bapa’. Tajuk-tajuk ini
merupakan sedutan daripada laporan akhbar tentang anak-anak yang menderhaka.
Saban hari kita diuar-uarkan dengan laporan tentang anak-anak yang menderhaka
kepada ibu bapa. Hari ini, kita menghadapi satu fenomena lahirnya si Tanggang Moden
yang semakin menjadi-jadi. Perkara ini jelas menunjukkan kepincangan yang lahir
dalam masyarakat kita. Dalam al-quran jelas menyatakan hukuman orang yang
menderhaka kepada ibu bapa adalah neraka. Namun, hal ini tidak menggerunkan si
penderhaka dek kekurangan ilmu agama di dalam diri. Hati sanubari mereka pekat
dengan titik-titik hitam yang menjijikkan. Golongan penderhaka ini tidak akan
berakhir kerana janji tuhan adalah benar. Mereka akan menerima balasan tuhan
sejak dari atas muka bumi lagi kerana mereka juga akan mendapat zuriat yang
bakal menjadi penderhaka menerusi tindak-tanduk ibu bapa mereka yang menderhaka
kepada nenek mereka. Ini adalah Hukum Karma.Pendek kata, watak-watak penderhaka
akan terus bercambah dan berkesinambungan dari satu generasi ke satu generasi
tanpa berpenghujung. Orang tua-tua selalu berpesan “ kalau kita menderhaka
kepada ibu bapa kita, kelak anak-anak kita akan membuat perkara yang sama
terhadap kita”.
Dalam islam
kita ditegah daripada meninggikan suara apabila bercakap dengan ibu bapa kita
walaupun cuma berkata “ah…’ apatah lagi untuk mencela dan memaki hamun mereka.
Namun, masih ada anak-anak yang tergamak memaki hamun, mengaibkan, membuang,
mencela, memukul malah membunuh ibu bapa sendiri. Ibu bapa dibuang macam kucing
kurap, diterajang dan dimaki hamun di hadapan khalayak ramai dan banyak lagi
kebejatan-kebejatan yang diperlakukan oleh anak-anak terhadap ibu bapa mereka.
Hati mereka begitu hitam. Mereka tidak pernah ambil tahu betapa sukarnya ibu
bapa menjaga dan membesarkan mereka sejak dari pada tapak kaki mereka sebesar
ibu jari. Seorang ibu sanggup memperjudikan nyawa mereka demi memastikan
anak-anaknya terselamat daripada sebarang ancaman. Seekor nyamuk yang menggigit
anaknya akan dikejar oleh ibu sehingga dapat dan picit lumat tubuh nyamuk yang
menggigit anaknya. Sampai begitu sekali pengorbanan seorang ibu. Sekiranya
anak-anak meragam atau sakit, ibu bapa tidak dapat tidur sepanjang malam.
Berjaga sampai ke pagi bagi memastikan anak yang sakit tidak mendapat kesan
sampingan seperti sawan. Pendek kata, ibu lebih sakit daripada anak yang sakit.
Itulah pengorbanan ibu yang dibalas dengan tuba apabila mereka sudah dewasa.
Ibu bapa sanggup ikat perut untuk memastikan anak-anak tidur dalam kekenyangan.
Ibu bapa sanggup memakai pakaian yang sudah lusuh asalkan anak-anak ada wang
untuk belajar. Malangnya, apabila anak-anak sudah dewasa dan berjawatan tinggi,
mereka tidak ada masa untuk menjenguk ibu bapa mereka di kampung. Apatah lagi untuk menjaga ibu bapa yang
sakit. Anak-anak saling mengelak untuk
menjaga ibu bapa yang memerlukan penjagaan rapi tetapi ibu bapa tidak pernah
mengelak untuk menjaga anak-anak yang ramai dengan rapi. Hasilnya, ibu bapa
sering di tempatkan di rumah penjagaan orang-orang tua walaupun mereka
mempunyai ramai anak yang berjawatan tinggi. Amat payah kita dengar seorang
anak sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibu bapa yang sakit walaupun tuhan
telah janjikan tidak akan jatuh papa seseorang anak yang ikhlas menjaga ibu
bapa yang sakit kerna rezeki itu ditetukan oleh-Nya.
Sungguh malang sekali bagi ibu bapa yang anak-anaknya adalah
‘Si Tanggang Moden’ walaupun bukan itu yang diharapkan. Mudah-mudahan artikel ini memberi sedikit
kesedaran kepada mereka yang masih mempunyai ibu bapa.
No comments:
Post a Comment