Wednesday, 11 July 2012

Entri 6- CARA MUDA-MUDI KITA SAMBUT MERDEKA


RUMUSAN : Artikel berbentuk catatan perjalanan ini aku buat untuk menyedarkan anak bangsa yang semakin lemah semangat patriotismenya kepada negara. Setiap kali menjelangnya 31 Ogos, slot-slot untuk mengenang perit jerih tokoh-tokoh terdahulu dalam perjuangan membebaskan negara kita daripada penjajah dan demi mendapatkan kemerdekaan sudah jauh terpesong. Artikel ini ditulis atas pengalaman sendiri dan bukan direka-reka. Artikel ini telah dimuatkan dalam majalah sekolah ( MINDA ) edisi ke-17 tahun 2010 bertujuan untuk menyedarkan para pelajar yang membaca dan menghayati karya aku ini agar mendapat sedikit kesedaran tentang cara bagaimana yang sepatutnya dilakukan setiap kali kita menyambut hari kemerdekaan.



Suatu Malam Di Malam MERDEKA

Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !  laungan keramat yang menerjah keluar daripada peti suara rakyat Malaysia pada setiap kali menjelangnya tanggal 31 Ogos. Rakyat dengan gah dan penuh kebanggaan apabila  tibanya tarikh yang dinantikan ini kerana memberi erti yang cukup besar kepada semua anak bangsa yang mengakui bahawa aku anak Malaysia. Dahulu kala para pejuang bermandikan darah, berjuang untuk mendapatkan hak sebagai pemilik bumi bertuah ini. Ini hakku, ini milikku, akan kuperjuangkan hingga ke titis darahku yang terakhir. Akan aku pastikan bumi ini bawah tadbirku, bawah naunganku, bawah pemerintahan pribumi yang bebas daripada penjajahan. Mereka menggunakan seluruh kudrat dan buah fikiran bahkan ada yang berkorban nyawa untuk melihat bumi kesayangan mereka yang bakal diwarisi anak cucu mereka nanti, bebas  daripada penjajah yang zalim dan kejam.
54 tahun di alam merdeka, tapi merdekakah kita? Antara persoalan yang sering bermain di benakku, Apakah erti kemerdekaan sebenar? Apakah peranan generasi pewaris kemerdekaan untuk mengekalkan kemerdekaan negara? Mari kita renungkan rentetan kronologi satu malam di ambang sambutan kemerdekaan.
Seawal 7.00 malam, kenderaan sudah mula berduyun-duyun memasuki ibu kota metropolitan yang dikatakan serba canggih dan moden ini. Rata-rata kenderaan awam  dipenuhi dan padat dengan penumpang dari luar dan pinggir bandar, yang datang untuk meraikan sambutan di ambang kemerdekaan. Mereka datang dengan pelbagai gaya dan rupa. Penuh keceriaan. Gahnya malam ini. Di mana? Dataran Merdeka? di Bintang Walk ?atau di Perkarangan KLCC? Jangan ditanya, semuanya sesak dengan pengunjung pelbagai rupa, pelbagai budaya.
Pukul 8.15 malam di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, pada satu sudut dapat dilihat dengan jelasnya, satu kelompok anak-anak awal remaja sedang berarak dengan basikal yang pelbagai model. Gayanya mendabik dada.Dari ceruk mana mereka datang tidak diketahui tetapi bilangan mereka agak besar. Lagaknya seperti babarian, bertempik sorak  sambil mempamerkan aksi-aksi berani untuk mencuri perhatian para pengunjung yang  mula memenuhi Dataran Merdeka. Pakaian, lagak  dan gaya mereka amat menyakitkan mata, bahkan ada dalam kalangan mereka dengan selamba menyedut asap-asap rokok. Dari riak wajah mereka menunjukkan keegoan dan kebanggaan yang nyata, mereka lupa bahawa mereka adalah anak-anak hingusan yang masih perlu diawasi dan dipimpin tangan oleh ibu bapa mereka . Umur baru setampuk pinang, masih cukup mentah  untuk berkeliaran tanpa pemerhatian kedua-dua orang tua. Wajarkah  anak-anak seusia 10 hingga 14 tahun bertindak umpama samseng jalanan? Inikah budaya yang ditonjolkan untuk sambutan ambang kemerdekaan?
Pada 9.20 malam penulis beredar menuju ke KLCC melalui lorong-lorong tikus di celah-celah hutan batu pencakar langit. Tatkala melalui lorong-lorong tersebut, penulis terlihat beberapa kelompok mat-mat gian sedang asyik melepaskan gian mereka dengan menggunakan suntikan secara terbuka dan langsung tidak mempedulikan orang yang lalu lalang di kawasan itu,agaknya pada mereka, dunia ini aku yang punya. Perwatakan  mereka cukup selekeh dengan berpakaian lusuh dan serabai. Sesekali sepoi angin malam membawa sekali bau badan mereka, huh… amat meloyakan. Tengit, hapak, hanyir, dan seribu macam bau. Tak terfikir dek akal bagaimana kita manusia yang dijadikan dengan cukup sempurna oleh Tuhan manjadi hamba najis dadah yang boleh menjahanamkan kehidupan. Kudis-kudis buta memenuhi setiap sudut anggota badan. Air liur meleleh-leleh menunjukkan mereka sedang ‘high’. Inikah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara? Dimanakah letaknya kesempurnaan akal yang Tuhan berikan kepada kita? Fikir, fikirkanlah.
Di Perkarangan KLCC, konsert yang dijayakan oleh beberapa artis terkenal tanah air sudah mula ‘panas’. Konsert mega ini ditaja oleh syarikat gergasi telekomunikasi. Setiap ruang berlangsungnya sambutan ambang kemerdekaan ini dipenuhi dengan orang ramai . Ada yang datang membawa keluarga, ada yang datang bersama rakan-rakan, malahan ada yang datang membawa bayi. Kesian bayi ini, menangis kehangatan dek kerana kesesakan manusia yang terlalu ramai serta kebisingan bunyi muzik yang membingitkan dan memekakkan telinga. Anak-anak kecil itu menjadi mangsa keselambaan sikap ibu bapa mereka yang gilakan  hiburan. Sepatutnya tatkala itu mereka lena dibuai mimpi, selesa dek pelukan bantal busuknya.  Dari satu sudut yang agak tercorok, dapat dilihat beberapa kelibat pasangan kekasih yang sedang berpeluk mesra tanpa segan silu, malah ada yang bercumbu-cumbuan. Siapakah mereka ini? Mereka ada yang bertudung tetapi  aksinya mengalahkan pelakon-pelakon filem panas.Tak kurang juga anak-anak gadis yang berpakaian mencolok mata, menunjukkan anugerah Tuhan yang tidak ternilai tingginya. Mungkin hanya ini peluang mereka untuk menjadi model percuma ataupun menjadi tatapan golongan lelaki bermata keranjang.
Pukul 10.55  penulis berkejar pula ke Bintang Walk yang menjadi salah satu tempat berlangsungnya sambutan Ambang Kemerdekaan. Penulis menaiki teksi untuk ke tempat yang dituju. Oleh sebab banyak jalan yang ditutup, maka perjalanan ke Jalan Bukit Bintang kurang lancar dan penulis terpaksa berjalan kaki agak jauh dari tempat yang dituju untuk mengejar masa. Di Bintang Walk, suasananya agak berlainan. Di sini lebih panas dengan keghairahan anak-anak muda yang tidak sabar-sabar untuk menanti detik 12 Malam. Di satu sudut, terdapat satu kumpulan anak-anak muda yang memperagakan gaya skinhead dan punk. Rambut mereka yang berceracak diwarnakan dengan pelbagai warna. Muka-muka mereka juga turut diwarnakan untuk menampakkan keganasan dan liar. Aksesori yang dikenakan pada badan mereka sungguh menakutkan. Anting-anting bukan saja dicucuk pada telinga, bahkan pada lidah, hidung, dagu, kening dan bibir mulut. Rantai leher yang dipakai oleh mereka bertatahkan besi timah yang berduri. Sambil meneguk minuman keras, mereka melalak, menari, dan melolong tanpa mempedulikan ketenteraman orang lain yang hadir. Lebih kurang 80 meter dari kumpulan skinhead itu berkumpul, terdapat pula satu kumpulan yang terdiri daripada anak-anak muda berambut panjang yang memakai baju hitam berwajah tengkorak dan haloween. Memakai seluar jeans lusuh koyak rabak dan mengenakan kasut berjenama Cornverse. Melihat kepada anak mata mereka yang kuyu dan merah, jelas menunjukkan bahawa kepala mereka sudah ‘penuh’. Mungkin mereka sudah kena pil kuda, estacy, syabu, ganja ataupun erimin 5. Mereka mengoyang-goyangkan kepala seolah-olah sedang menghayati irama muzik keras daripada kumpulan Metallica, Sepultura, Megadeath atau Black Sabbath. Kumpulan anak-anak muda ini mengelarkan diri mereka budak Black Metal.
Penulis terus berjalan menyusuri orang ramai melalui Bintang Walk. Penulis terlihat ramai orang sedang mengerumuni sesuatu. Perasaan ingin tahu penulis yang membuak-buak menyebabkan penulis menghampiri tempat tersebut. Dari celah-celah orang ramai, penulis dapat lihat dengan jelas satu kumpulan remaja yang berpakaian hip hop sedang terhenjut-henjut menari tarian shuffle dengan diiringi oleh muzik shuffle yang dimainkan melalui radio kaset yang dibawa.  Muzik ini sememangnya mula mendapat tempat di hati remaja masa kini. Setiap tari lincah gerak kaki dan tangan yang dipersembahkan oleh mereka diberi tepukan gemuruh oleh para penonton yang membuatkan mereka lebih ghairah melakukannya sama ada secara individu, berpasangan ataupun berkumpulan.
Jam  tepat menunjukkan pukul 12 tengah malam. Kedengaran suara anak-anak muda melaungkan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! Sebanyak tujuh kali. Namun begitu, laungan anak-anak muda di Bintang Walk ini dibuat secara sambil lewa dan main-main. Mungkin laungan anak-anak muda yang sedang  menyambut ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka lebih Jitu dan bersemangat kerana ramai pemimpin negara berada di tempat itu. Dentuman bunga api sabung-menyabung menyerlahkan keindahan bandaraya Kuala Lumpur. Di atas puncak Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, tembakan bunga api dihalakan ke Dataran Merdeka manakala bangunan kebanggaan negara iaitu KLCC juga bermandikan dengan cahaya bunga api. Begitu indah dan bermakna sekali semburan bunga api tersebut bagi mereka yang tahu erti kemerdekaan tetapi pertunjukan bunga api dan laungan MERDEKA sebanyak 7 kali itu hanyalah satu hiburan dan tidak memberi erti apa-apa bagi mereka yang hanya tahu ingin berseronok sahaja.
 Selepas berakhirnya sambutan di ambang kemerdekaan, para pengujung Bintang Walk masih belum berganjak untuk pulang malahan mereka begitu berseronok bermain semburan buih. Tanpa mempedulikan orang ramai, sekumpulan anak muda yang terdiri daripada lelaki dan perempuan ini leka menyembur buih ke atas rakan-rakan mereka termasuk ke atas orang ramai yang melalui kawasan tersebut. Keadaan ini menimbulkan sedikit ketegangan dan kekecohan apabila perbuatan biadap ini tidak boleh diterima oleh mangsa. Pihak berkuasa terpaksa campur tangan untuk menyelesaikan ketegangan ini.
Penulis menyusuri Jalan P.Ramlee. Setiap deretan pusat-pusat hiburan yang terdapat di situ dipenuhi oleh pelanggan-pelanggan yang mencari hiburan. Kelihatan kelibat mat-mat disko keluar masuk ke pusat-pusat hiburan tersebut sambil membawa teman sosial masing-masing yang berpakaian seksi dan menghairahkan. Ada yang keluar dengan terpaksa dipapah dan muntah-muntah kerana ‘over dost’ minuman keras. Dari luar, penulis dapat mendengar dengan jelas alunan muzik rancak daripada Lady Gaga, Katy Perry, Pussycat Dolls dan sebagainya dimainkan dalam premis pusat hiburan tersebut. Penulis menyusuri jalan Bukit Bintang menuju ke Jalan Imbi. Di situ terdapat sebuah pusat hiburan yang dikhususkan untuk golongan songsang. Mereka dengan selamba membawa pasangan sesama jenis masuk ke pusat hiburan tersebut untuk berhibur.
Jam di tangan sudah hampir pukul 3.30 pagi. Penulis mula berjalan untuk pulang melalui jalan Hang Tuah menuju ke tempat letak kereta di bawah bangunan Dayabumi. Sampai di Central Market, kelihatan masih ramai anak-anak muda yang melepak sambil berbual-bual kosong. Di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, kelihatan mat-mat motor sedang membuat aksi wikang dan willi. Ada yang meniarap bagaikan Superman dan ada yang membuat korner baring untuk mengeluarkan percikan bunga api daripada besi ekzos matosikal mereka. Bukan saja mat-mat motor, ada juga dua pemandu kereta Toyota Caldina dan Subaru Empreza sedang membuat aksi drift untuk dipertontonkan kepada orang ramai. Lagak mereka bertambah hebat apabila setiap aksi yang dipersembahkan mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton. Suasana kebingitan dek enjin motor dan kereta kembali tenang sebaik saja 4 buah kereta peronda polis tiba ke tempat aksi tersebut. Semua peserta aksi dan penonton sepantas kilat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. Yang ada hanyalah pekerja-pekerja Alam Flora yang bersekang mata menyapu segala sampah sarap yang bertimbun.
Penulis balik ke rumah di Subang Jaya melalui Jalan Parlimen dan Jalan Istana. Kesunyian pagi jalan tersebut dicemari oleh bingitan enjin motosikal mat-mat rempit yang berhati kering. Lumba haram menjadi satu kemestian buat mat-mat rempit setiap kali tibanya malam minggu. Mereka ‘menciluk’ lori dan kereta tanpa rasa takut walaupun perbuatan itu mengundang risiko yang boleh menyebabkan nyawa melayang. Mereka tidak peduli soal keselamatan, yang mereka kejar adalah kepuasan dan adakalanya perlumbaan mereka ini dibayar dengan wang yang beribu ringgit. Bukan itu saja, terdapat juga hadiah yang ditawarkan adalah gadis-gadis cantik yang sudi diri mereka dijadikan hadiah.
Semasa melalui Lebuhraya Persekutuan, kelancaran perjalanan penulis untuk pulang ke rumah di USJ 6 terganggu oleh sedikit kesesakan lalulintas. Pada hemat penulis, mungkin kesesakan ini berlaku disebabkan sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak polis. Tetapi telahan penulis ini meleset apabila punca kesesakan ini disebabkan oleh satu kemalangan yang berlaku di satu susur masuk ke Lapangan Terbang Sultan Ab Aziz Shah. Kemalangan yang melibatkan dua buah kereta ini berlaku disebabkan oleh pemandu yang berlumba sesama sendiri dan pemandu tersebut berada di bawah pengaruh alkohol.
Penulis selamat sampai ke rumah hampir pukul 6.00 pagi. Selepas mandi dan selesai menunaikan solat fardhu subuh, penulis cuba untuk melelapkan mata tetapi tidak berjaya. Pemikiran Penulis dihantui oleh peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang malam sambutan Ambang Kemerdekaan. Melihat kepada apa yang berlaku, jelas negara kita masih belum merdeka. Pemikiran anak-anak muda kita masih dijajah oleh fahaman Barat dan Yahudi. Mereka sudah jauh terpesong daripada kehidupan kita sebagai orang Timur yang berpegang teguh pada adat dan ajaran agama. Kehidupan mereka berpaksikan hedonisme. Mereka seolah-olah tidak mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kesucian kemerdekaan yang sudah dikecapi. Anak-anak muda yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara telah hanyut dalam dunia yang penuh kepincangan ini. Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk memimpin sebuah negara agar menjadi maju pada zaman yang mencabar ini. Siapakah yang harus dipersalahkan ? Persoalan ini bermain-main di dalam benak penulis sehingga penulis terlena dibuai mimpi.   
                                         
       Latar masa : 30 hingga 31 Ogos 2009
       Latar Tempat : Dataran Merdeka, Perkarangan KLCC dan BIntang Walk
       Latar Masyarakat : Masyarakat bandar yang sukakan hiburan
       Penulis ialah EN YUSDIN BIN YUSOF.

1 comment:

  1. itu lah penjajahan dalam senyap. Kalau kita tak bimbing budak2 muda pada peringkat awal. maka rosaklah pelapis masa depan. Apa yang penting agama mesti diutamakan dahulu.

    ReplyDelete