Tuesday 10 July 2012

Entri 1 - 'KABEL' PINCANGKAN MASYARAKAT


ARTIKEL 'KABEL
RINGKASAN : Artikel ini aku buat atas dasar rasa tidak puas hati terhadap penggunaan 'kabel' (Jalan Belakang) yang sungguh meluas dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Ketidaktelusan dalam usaha mendapat sesuatu dengan jalan yang mudah untuk kepentingan peribadi sememangnya tidak adil. Artikel ini telahpun ditebitkan dalam akhbar berita harian bulan Mac, 2003 melalui ruangan pembaca pilihan. Selepas diterbitkan, isu ini mula mendapat maklum balas yang baik dalam kalangan pembaca yang menyokong artikel aku ini. 


‘KABEL’ merujuk kepada Kamus Dewan edisi 3 bermaksud dawai besar yang biasanya dibuat daripada beberapa serat dawai yang lebih halus. Dalam satu istilah slanga ‘Kabel’ pula merujuk kepada seseorang individu yang boleh diharapkan untuk menolong atau mendapatkan sesuatu bagi kepentingan individu tertentu dengan cara yang mudah atau turut juga disebut ‘orang dalam’. Kabel dan rasuah suatu istilah yang mempunyai peranan yang hampir sama iaitu mencapai hajat seseorang dengan cara yang tidak betul.
Pada kebiasaannya, kabel atau orang dalam sanggup menolong untuk membereskan hajat seseorang yang mempunyai pertalian keluarga, saudara mara serta kenalan rapat tanpa mendapat apa-apa habuan. Penggunaan kabel untuk mendapatkan sesuatu hajat bukan lagi perkara baru kerana kegiatan ini sudah lama diguna pakai tetapi kurang dihebohkan kerana kegiatan ini tidak mengancam keselamatan negara. Namun begitu, sekiranya  diperhalusi betul-betul, kegiatan sumbang ini mampu menyekat atau membantutkan pertumbuhan negara berdasarkan kadar guna tenaga yang tidak cekap dan tidak menepati spesifikasi. Hal ini boleh berlaku dalam sektor awam mahu pun sektor swasta.
Keadaan ini jelas terbukti apabila seseorang pemohon pekerjaan itu tidak memiliki sebarang kelayakan untuk diambil bekerja tetapi telah diambil bekerja atas bantuan kabel atau orang dalam, sudah tentu akan memberi masalah terhadap organisasi, ketua jabatan malah negara. Contoh yang jelas, seseorang yang mempunyai rekod jenayah tetapi dengan menggunakan kabel dia telah diterima bekerja dalam sektor awam, sudah tentu akan memberi masalah terhadap masyarakat atau jabatan sendiri lebih- lebih lagi sekiranya jawatan yang dipohon itu melibatkan bahagian penguatkuasaan.
Pada kebiasaannya, orang yang berperanan sebagai kabel ini ialah seorang yang menjawat jawatan yang tinggi dalam organisasi ataupun jabatan, juga mereka yang berpengaruh seperti wakil rakyat ataupun mereka yang dihormati oleh masyarakat dan mempunyai gelaran tertentu. Bahkan, Pembantu Am Rendah (PAR) dalam sesuatu jabatan juga mampu menjadi kabel. Orang-orang yang mempunyai kuasa dan pengaruh ini mampu mempengaruhi atau memperalat seseorang  untuk mencapai hajat seseorang.
Keadaan ini sekiranya dibiarkan berterusan berlaku, sudah terang lagi bersuluh akan memberi kepincangan dalam masyarakat. Banyak pihak akan berasa kecewa dan tidak puas hati dengan peranan  yang dimainkan oleh ‘orang dalam’ ini di samping cuma segelintir saja yang cukup gembira dengan peranan yang dimainkan ini
Sebagai contoh, sekiranya kouta untuk pengambilan sesuatu pekerjaan sebanyak 3000 kekosongan sahaja untuk diisi dalam sektor awam tetapi yang memohon mencecah 30,000 permohonan, sudah tentu akan mendorong seseorang individu menggunakan kabel untuk mengisi jawatan yang begitu sengit untuk direbut. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan 75% kekosongan jawatan yang ditawarkan itu diisi oleh mereka yang menggunakan kabel atau ‘jalan belakang’. Orang kata “kalau kelapa tidak dijolok, lambat nak dapat hasilnya”. Bayangkan betapa ramai yang kecewa dengan keadaan ini. Sudah berapa ramai graduan yang sanggup membakar segulung ijazah yang diperoleh hasil daripada penat lelah mereka belajar di universiti akibat begitu kecewa setiap kali menghadiri temuduga, kerana mereka tahu bahawa hasil temuduga itu pastinya akan berpihak kepada mereka yang menggunakan kabel.
Kabel bukan sahaja untuk mendapatkan sesuatu jawatan dalam sektor awam atau swasta bahkan penggunaanya juga turut diperluas bagi seseorang penjawat awam yang mengimpikan kenaikan pangkat, pertukaran tempat kerja, cuti belajar bergaji penuh dan segala-galanya. Kalau tidak menggunakan kabel sudah tertentu orang itu terpaksa melalui karenah birokrasi yang rumit dan remeh.
Konklusinya, penggunaan kabel dalam masyarakat kita hari ini begitu meluas dan biasa diamalkan di mana-mana tempat. Sekiranya kerajaan tidak bertindak membendung kudis dalam masyarakat ini, dibimbangi boleh memudaratkan dan membantutkan usaha kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai salah sebuah negara maju.

No comments:

Post a Comment