Thursday 12 July 2012

Entri 12 - ARTIKEL SEMPENA HARI GURU

RUMUSAN : Artikel ini aku karang untuk dimuatkan dalam akhbar Berita Harian sempena dengan sambutan hari guru baru-baru ni. Walau bagaimanapun aku tidak tahu sama ada artikel ini diterbit ataupun tidak kerana aku tidak follow up. Biarlah sama ada terbit atau tidak, itu tidak penting bagi aku cuma artikel ini sudah menjadi salah satu koleksi hasil nukilan aku sendiri untuk dikongsi dengan pembaca blog aku. Semoga mendapat manfaat daripadanya.. 



PENGORBANAN SEORANG GURU

Pada 16 Mei setiap tahun negara kita akan mengadakan sambutan Hari Guru. Hal ini penting bagi menghargai jasa guru yang tidak jemu mengajar anak-anak muridnya menjadi orang yang bijak pandai. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini sambutan hari guru sudah dipandang sepi oleh anak-anak murid. Kalau dulu, sambutan Hari Guru yang diadakan pada peringkat sekolah amat meriah sekali. Setiap acara yang diadakan membabitkan permainan antara guru dan murid. Persembahan pentas yang diadakan juga turut melibatkan guru dengan murid. Pendek kata, semua murid tertunggu-tunggu akan ketibaan hari guru. Memang tidak dapat dinafikan, sambutan hari guru yang diadakan di sekolah suatu masa dulu menjadi platform yang paling ampuh untuk merapatkan hubugan antara guru dan murid. 

Berbeza dengan keadaan sekarang, hari guru yang dianjurkan oleh pihak sekolah tidak semeriah dulu. Kebanyakan pelajar mengambil kesempatan masa yang tidak ada aktiviti pengajaran dan pembelajaran ini untuk melencong ke pusat Cyber Cafe sama ada di bandar mahupun di kampung ataupun mereka pergi melepak di pusat beli-belah. Hanya sebilangan kecil sahaja pelajar yang datang ke sekolah untuk menyambut hari guru. Itupun mungkin pelajar yang datang kerana terlibat secara langsung dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan sama ada permainan ataupun persembahan. Hari guru yang sepatutnya diraikan oleh setiap murid telah menjadi sepi sebaliknya pusat Cyber Cafe pula yang meriah sehingga tidak cukup tempat duduk. Inilah bahana teknologi yang menular dan menguasai pemikiran para pelajar kita hari ini.

Hal ini juga berkait rapat dengan sikap pelajar masa kini yang sudah hilang rasa hormat dan sayang terhadap guru. Bagi mereka, guru adalah pengacau privasi kehidupan mereka. Kebanyakan pelajar masa kini sudah tidak berminat untuk belajar di sekolah. Mungkin mereka beranggapan ilmu yang ditimba di pusat tusyen sudah mencukupi kerana sudah menjadi trend masa kini para ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke pusat tusyen. Sekiranya guru di dalam kelas mengajar sehingga ke akhir waktu serta banyak memberi kerja rumah, maka guru tersebut bukanlah guru yang menjadi kesayangan mereka. Sebaliknya sekiranya ada guru yang masuk kelas hanya mengajar ala kadar sahaja, maka guru itulah yang menjadi guru kesayangan. Guru yang ikhlas mengajar dan mendidik dipandang seperti musuh, manakala guru yang kurang mengajar di dalam kelas disanjung dan dijadikan sahabat oleh pelajar. Tidakkah pelik bunyinya? tetapi itulah realiti yang berlaku di sekolah masa kini.

Ada sesetengah guru yang seolah-olah mengajar kerusi dengan meja saja di dalam kelas manakala orang yang sepatutnya belajar dan menimba ilmu hanya buat tidak peduli dengan apa yang diajarkan guru. Ada yang tidur, ada yang bercakap-cakap malah ada yang bergurau senda semasa cikgu sedang menyampaikan pengajaran. Lebih biadap lagi, ada pelajar yang curi-curi keluar ikut pintu belakang kelas tanpa keizinan guru.

Lebih memburukkan keadaan, Ibu bapa sekarang tidak membantu guru dalam mendisiplin anak-anak. Mereka banyak menghabiskan masa untuk mengumpul kekayaan dan mengejar kemewahan hidup. Kerja mendidik anak-anak mereka diserahkan bulat-bulat kepada guru di sekolah. Meraka hanya tahu mencari silap cikgu. Tidak keterlaluan dikatakan terdapat segelintir ibu bapa datang ke sekolah untuk memaki hamun guru sekiranya mendapat laporan.  yang negatif oleh anak-anak mereka tentang sedikit salah laku cikgu atau terdapat sedikit salah faham. Sekiranya guru disiplin memanggil ibu bapa untuk berbincang tentang masalah disiplin anak-anak mereka, seribu alasan telah dicipta untuk mengelak untuk datang ke sekolah. Mesyuarat agung PIBG yang diadakan setahun sekali bertujuan untuk berbincang ke arah penambahbaikan dalam semua segi seterusnya  meningkatkan mutu pembelajaran anak-anak dan menyelesaikan masalah dalam bentuk musyawarah antara ibu bapa dan pihak sekolah, telah dipandang sepi oleh ibu bapa. Yang ramainya adalah guru-guru yang bertugas dalam mesyuarat tersebut. Ibu bapa hanya beberapa kerat saja yang datang sedangkan persediaan untuk mengadakan mesyuarat tersebut begitu rapi. Mesyuarat jawatankuasa kecil diadakan beberapa kali untuk mempersiap strategi. Persiapan pentas dan backdrop di dalam dewan mesyuarat begitu gah sekali sehingga guru yang diberi tanggungjawab terpaksa memerah otak mencari idea, memerah keringat dan membuang banyak masa tetapi persiapan yang dibuat ini macam sia-sia sahaja. Makanan yang ditempah berlambak tidak kehabisan kerana ibu bapa yang hadir boleh dibilang dengan jari. Kadang-kadang mereka datang sekadar tulis nama kehadiran selepas itu hilang entah ke mana. Begitulah keadaan sebenarnya berlaku setiap tahun sehingga untuk melantik AJK PIBG dalam kalangan ibu bapa pun tidak mencukupi dan terpaksa melantik orang yang sama.

Tak Kenal Maka Tak Cinta. Orang yang pada mulanya sangat berminat untuk menjadi seorang pendidik akan mula merasa rimas dan tertekan apabila melangkah masuk ke dunia realiti ini. Barulah mereka tahu langit itu tinggi atau rendah. Orang di luar sana hanya memandang kerja guru senang sahaja, gaji mahal, kerja setengah hari, cuti banyak, tetapi mereka tidak tahu beban sebenar menjadi seorang pendidik pada zaman siber ini. Hanya jauhari yang kenal manikam. Kalau diberi pilihan, tentu jawatan pendidik bukan menjadi pilihan diceburi tetapi keadaan mendesak menyebabkan jawatan ini menjadi keutamaan bagi pemegang ijazah yang menganggur.

Apapun, sekiranya anda sudah menjadi guru, maka bersabarlah dengan cabaran hari ini dan yang bakal mendatang, manakala bagi mereka yang berminat menjadi seorang pendidik, teruskanlah minat anda serta persiapkan diri dengan kekuatan mental dan fizikal. Kerja seorang pendidik memerlukan komitmen dan pengorbanan yang bukan sedikit. Ikhlaslah kita memberi dan menyampai kemudian bertawakal saja kepada Allah sesungguhnya kerja ini dipandang mulia di sisi Allah. Selamat Hari Guru.

Entri 11 - TEKS PIDATO

RUMUSAN : Teks pidato ini aku buat untuk anak murid aku yang akan menyertai pertandingan pidato. Pada awalnya, teks pidato dibuat sendiri oleh peserta tetapi malangnya seorang demi seorang tarik diri kerana tidak ada keyakinan untuk menyertai pertandingan itu. Nasib baik ada seorang pelajar yang sudi menjadi pak sanggup mengisi calon yang lari tanpa bertanding. Memandangkan masa pertandingan telah suntuk maka dia telah memberi syarat agar aku menyediakan teks untuk dia. Syarat tersebut tidak mampu aku tolak kerana aku juga harus berterima kasih padanya atas sebab sudi menyelamatkan keadaan yang gawat. Hal ini demikian kerana aku yang bertanggungjawab melatih dan membawa pelajar untuk menyertai pertandingan pidato. Teks pidato ini sengaja aku masukkan kat sini supaya dapat menjadi rujukan pelajar tingkatan 4 & 5 serta guru-guru Bahasa Melayu. Tajuk ni sesuai untuk menjawab BM Kertas satu karangan umum soalan nombor 2 ( perihal keluarga dan masyarakat )




TEKS PIDATO

HARUAN MAKAN ANAK, BAPA DERA ANAK SEHINGGA LUMPUH, BAPA MEMBAWA ANAK UNTUK BERHIBUR DI PUSAT KARAOKE, BAPA DAN ANAK DITANGKAP MENGEDAR DADAH, BAPA 4 ANAK DITANGKAP KHALWAT .SOROTAN-SOROTAN ITU MERUPAKAN TAJUK-TAJUK AKHBAR YANG SEMPAT SAYA PETIK MEMAPAR TENTANG KEBEJATAN PERLAKUAN SESETENGAH  SI AYAH DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK DI ABAD INI.

Sekalung apriasi kepada peneraju majlis, saf kehakiman yang arif lagi bijaksana, guru-guru, rakan-rakan serta hadirin dan hadirat yang dimuliakan.
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

ANAK KEDIDI TERBANG RENDAH,
                               HINGGAP BERLABUH DI RANTING BIDARA;
           IZINKAN HAMBA MENYAMPAI WADAH,
                 BERKONGSI ILMU DALAM BICARA.

KELUARGA BAHAGIA MAMPU MELAHIRKAN MODAL INSAN BERKUALITI.

Demikianlah bunyi bicara ilmu yang akan saya kupas satu persatu pada pagi yang berbahagia ini.
Sidang hadirin yang dimuliakan..

Merujuk kepada Kamus Dewan iaitu KELUARGA memberi  maksud seisi rumahtangga yang terdiri daripada suami dan isteri serta anak-anak. Manakala BAHAGIA pula bermaksud suasana tenang dan aman serta gembira. Sebut saja keluarga bahagia, sudah jelas terbayang dalam kotak pemikiran kita bahawa kehidupan satu keluarga yang bebas daripada gejala sosial, mengamalkan corak hidup yang berlandaskan disiplin tetapi wujud di dalamnya sifat kasih sayang yang amat tinggi dan saling menghormati. Apabila kita hidup dalam syurga kehidupan berumahtangga, maka akan lahirlah generasi-generasi yang mempunyai modal insan yang berkualiti. Dalam sebuah keluarga asas, bapa merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab membawa sebuah keluarga sama ada ke syurga atau ke neraka. Peranan seorang bapa dalam keluarga ibarat kepala kereta api yang memacu gerabak-gerabaknya melalui landasan yang betul untuk selamat sampai ke setiap hentian. Sekiranya kepala kereta api itu tersungkur ke dalam gaung, maka gerabak-gerabaknya akan turut menjunam ke dalam gaung. Begitulah lebih kurangnya bayangan yang boleh digambarkan betapa ketua keluarga inilah yang bertanggungjawab mencorakkan sesebuah keluarga. Bapa perlu menjadi imam kepada isteri dan anak-anak. Bapa wajib menjadi seorang suami yang boleh membimbing isteri seterusnya membentuk kepribadian dalam diri anak-anak melalui tauladan yang ditunjukkan. Bapa tidak boleh mengajar anaknya seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.  Menurut kata pakar motivasi iaitu Dato Haji Fadzillah Kamsah, “bapa merupakan cerminan anak-anak, setiap perlakuan seorang bapa, akan menjadi idola dan ikutan kepada anak-anak” Maknanya, untuk membentuk keluarga yang bahagia, seorang ketua keluarga itu mesti berperanan membentuk keluarga mereka itu ke arah yang boleh melahirkan generasi yang cemerlang dan terbilang. Dengan cara bagaimana sidang hadirin? Dengan cara tunjukkan sifat kepribadian yang tinggi melalui Agama yang diletakkan paling dominan dalam mendidik isteri dan anak-anak. Apabila agama yang menjadi tonggak dalam kehidupan berkeluarga maka  akan lahirlah rumahtangga yang bahagia. Rumah tangga yang didirikan berpaksi kepada sifat mahmudah iaitu saling menyayangi dan saling menghormati.

Sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

Dalam menjana sebuah keluarga bahagia, mana mungkin seorang ketua keluarga yang mengamalkan corak hidup yang bersandarkan atas nafsu semata-mata mampu mentarbiah anak isteri menjadi mukmin dan mikminin yang hebat. Mampukah seorang bapa yang membiarkan anak-anak hidup merempat, memberikan pendidikan yang sempurna buat mereka? Seorang ayah yang menjadi hamba dadah mana mungkin dapat melahirkan anak-anak yang mempunyai  kualiti dari segi kepribadian, Seorang ayah yang terpenjara di dalam tirai besi akibat kesalahan merompak, menyamun, membunuh, merogol dan pelbagai kesalahan lagi manakan mampu untuk melahirkan sebuah keluarga bahagia dalam membentuk rumahtangga?  Sudah terang lagi bersuluh, perlakuan songsang seorang ketua keluarga seperti ini tidak mampu untuk mendidik anak-anak menjadi seorang pemimpin yang hebat suatu hari nanti. Anak-anak yang tidak bedosa akan menjadi mangsa kekejaman dan kebodohan sikap bapa sendiri. Sampai masanya, anak-anak akan mempersoalkan kenapa hidup keluarga mereka tidak bahagia seperti keluarga orang lain? Sungguh malang bagi sebuah keluarga yang dijana tanpa adanya seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab. Seorang isteri yang diabaikan tanpa sebarang nafkah oleh suami mana mampu untuk mendidik anak secara bersendirian. Pepatah ada mengatakan ‘bapa borek anak rintik’ dibimbangi anak-anak yang mengalami kecelaruan dalam hidup ini akan bertidak mewarisi sikap ayahnya yang menyusahkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Tuntasnya, jelas kepada kita bahawa keluarga bahagia merupakan tunjang kepada melahirkan generasi yang berkualiti.
Sidang hadirin yang disajungi,

Wacana bicara saya yang seterusnya adalah tentang peri pentingnya penggunaan masa dalam melayari sesebuah rumahtangga. Dalam zaman sains dan teknologi ini, kebanyakan ibu bapa berlumba-lumba untuk mengejar kekayaan sehingga mereka alpa akan tanggungjawab memberi masa berkualiti untuk bersama anak-anak. Kebanyakan masa anak-anak dihabiskan di rumah pengasuh atau di sekolah.  Ibu bapa pula sibuk dengan urusan keduniaan sehingga anak-anak sukar untuk bersua muka. Ada anak-anak yang lebih rapat dengan orang gaji berbanding ibu bapa sendiri. Hal ini demikian menjejaskan usaha untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia. Sebagai ibu bapa, mereka sepetutnya berusaha untuk menyediakan seberapa banyak masa untuk bersama anak-anak. Paling tidak, pada waktu makan. Pada masa ini, ibu bapa berpeluang mendengar masalah yang diluahkan oleh anak-anak mereka. Masa ini juga amat sesuai kepada ibu bapa untuk memberi nasihat dan pandangan kepada anak-anak. Komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak-anak ini secara tidak langsung boleh membuahkan bibit-bibit kebahagiaan dalam rumahtangga.  Adalah lebih baik lagi sekiranya seorang ayah dapat memyediakan masa untuk mengimamkan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak. Mereka juga boleh membaca surah yasin atau bertahlil bersama-sama.  Pada hujung minggu atau musim cuti sekolah, ibu bapa boleh membawa anak-anak pergi berkelah atau melancong. Aktiviti ini boleh merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Kasih sayang anak-anak tehadap ibu bapa juga semakin menebal. Oleh yang demikian, mau kata apa lagi? Jelaslah bahawa kerukunan rumahtangga yang wujud dalam sesebuah mahligai yang dibina atas dasar kasih sayang akan membenihkan modal insan yang berkualiti
Konklusinya, dapatlah dirumus bahawa, keluarga bahagia adalah asas kepada wujudnya generasi yang cemerlang dan terbilang. Sesebuah rumahtangga yang kita biasa dengar Baiti Jannati atau rumahku syurgaku akan wujud dengan lahirnya keluarga yang bahagia. Seorang pemimpin yang hebat akan lahir dalam keluarga yang mengamalkan disiplin berlandaskan ciri-ciri keagamaan sebagai teras kemakmuran dalam sesebuah rumahtangga yang dibina. Seorang ketua keluarga yang bijak dan bertanggungjawab mampu melahirkan masyarakat yang bebas daripada kecelaruan. Mungkin tidak ada lagi kedengaran remaja lari dari rumah kerana berasa tertekan berada di rumah.

Saya akhiri pidato saya juga dengan serangkap pantun yang berbunyi;

Pusaka bonda itulah harta,
            Menjadi warisan setiap generasi;
Keluarga bahagia idaman kita,
            Modal insan berkualiti mampu direalisasi.

Sekian terima kasih, Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh dan salam sejahtera.

Entri 10 - ARTIKEL KESEDARAN PENGGUNA

RUMUSAN : Artikel ini aku buat khas untuk menyertai pertandingan menulis esei isu kepenggunaan sempena minggu pengguna bagi kategori umum. Walau bagaimanapun esei ini tidak dihantar untuk pertandingan kerana guru yang diberi tanggungjawab untuk menghantarnya telah bertukar sekolah secara tergesa-gesa. Jadi esei yang panjang ini saja aku muatkan kat sini kerana esei ini sangat berguna untuk calon SPM dan STPM buat rujukan. Kalau sape-sape yang nak baca silakanlah.. mudah-mudahan memberi sedikit info untuk diajar kepada anak-anak murid anda. 





TAJUK: SEJAUH MANAKAH TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT MEMBERI
               MANFAAT KEPADA MASYARAKAT.

Merujuk kepada Kamus Dewan, Sosial memberi maksud segala yang berkaitan dengan masyarakat manakala korporat pula berkaitan dengan syarikat atau perbadanan.Sosial Korporat bolehlah dirumuskan sebagai peranan individu, syarikat atau perbadanan dalam membantu masyarakat.
Dasawarsa, masalah kemiskinan dalam kalangan masyarakat menjadi satu igauan ngeri yang harus dihadapi oleh kerajaan. Untuk melayakkan sesebuah negara itu diiktiraf sebagai negara maju mestilah pendapatan perkapita rakyatnya AS15,000 setahun dengan kadar pertumbuhan 6% setahun untuk tempoh 10 tahun. Hal ini bermakna, negara kita masih lagi jauh untuk menggapai wawasan tersebut kerana purata pendapatan isi rumah di negara kita sekitar bawah RM 3000.00 sebulan. Walaupun harga komoditi sawit dan getah semakin meningkat saban tahun tetapi kehidupan rakyat masih berada pada takuk lama atas sebab kenaikan kos sara hidup yang sentiasa meningkat saban tahun. Kenaikan harga barang yang semakin menjadi-jadi dan sukar dikawal terutamanya pada musim perayaaan menjadikan kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana semakin dihimpit dan terhimpit. Walaupun kerajaan bertindak untuk mengawal beberapa harga makanan yang popular tetapi tidak memberi apa-apa erti kepada pengguna kerana harga barang kawalan terus naik akibat daripada pakatan sulit dan strategi yang berkesan pihak pengeluar dan orang tengah yang sentiasa menangguk di air keruh serta tidak takut mempermainkan undang-undang kepenggunaan.
Kita perlu menerima hakikat bahawa negara kita masih jauh lagi untuk merealisasikan cita-cita menjadi salah sebuah negara maju di dunia ini selagi kadar kemiskinan rakyat masih berada pada paras yang sederhana. Hal ini diburukkan lagi dengan kadar inflasi yang semakin meningkat, kadar pengangguran dalam kalangan rakyat yang agak tinggi iaitu lebih kurang 5.8%, kenaikan harga minyak, kenaikan harga rumah dan bahan binaan, serta kenaikan segala-galanya. Dalam menangani hal ini, mana mungkin kerajaan  secara bersendirian mampu menangani krisis kemiskinan ini tanpa bantuan daripada sumber lain sama ada NGO atau orang perseorangan.

            Kehadiran golongan tertentu yang bermurah hati dalam membantu usaha menangani kemiskinan atas tiket rasa simpati dan tanggungjawab sosial telah memberi manfaat yang bukan sedikit kepada masyarakat. Kita semua perlu tahu bahawa terdapat ramai di sekeliling kita yang sangat mengharapkan bantuan untuk mengharungi rona-rona kehidupan. Dalam keghairahan golongan kaya berlumba-lumba mengumpul harta kemewahan, terdapat golongan yang lemah mengerah kudrat dengan tulang lapan kerat bekerja siang dan malam tetapi pendapatannya sekadar cukup makan sehinggakan ada yang beranggapan dunia begitu kejam terhadap mereka.
Dunia semakin berubah, masyarakat perlu bekerja keras untuk menyara kehidupan masing-masing. Saban hari, pelbagai ciptaan baru berada di pasaran. Setiap ciptaan baru memerlukan kos yang agak tinggi untuk memilikinya. Sudah menjadi trend masa kini, orang ramai berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diingini walaupun di luar kemampuan mereka. Oleh sebab itu, ada dalam kalangan masyarakat yang menjadi penghutang yang tegar, lebih memburukkan keadaan apabila mereka sanggup berhutang dengan ceti ahlong walaupun sudah sedia maklum mereka ini adalah golongan yang cekik darah dengan mengenakan kadar bunga yang tidak masuk akal kepada peminjam. Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, hampir 50,000 individu yang berumur bawah 35 tahun di negara ini telah diistiharkan muflis akibat penggunaan kad kredit di luar kawalan. Penggunaan wang plastik ini jelas menyebabkan golongan muda ini bernafsu untuk berbelanja walaupun melebihi pendapatan bulanan mereka. Akibatnya, mereka menjadi miskin dalam usia yang muda apabila telah diistiharkan muflis.
Kita biasa terbaca di dada-dada akhbar terdapat segelintir golongan korporat yang membantu masyarakat marhaen yang amat memerlukan bantuan. Yayasan Al-Bukhary misalnya ditubuhkan bertujuan untuk membantu golongan miskin yang sangat memerlukan. Hal ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban golongan miskin yang benar-benar kesempitan wang. Terdapat juga golongan korporat yang menyalurkan bantuan melalui rumah-rumah ibadat yang bertaburan di merata tempat. Melalui dana yang diperoleh daripada golongan korporat ini membolehkan mereka menyalurkan wang bantuan ataupun bantuan makanan dan keperluan lain kepada golongan gelandangan dan kepada mereka yang benar-benar terdesak. Sumbangan golongan korporat yang mempunyai perasaan tanggungjawab dan kesedaran untuk berkongsi sedikit kekayaan dengan orang lain yang tidak bernasib baik memberi sinar harapan yang tinggi kepada masyarakat bawahan. Hal ini jelas memberi manfaat yang amat berguna kepada masyarakat yang memerlukan bantuan sama ada dalam bentuk wang ringgit, makanan ataupun tempat tinggal.
Golongan korporat juga banyak membuat potongan zakat dan memberi sumbangan ikhlas kepada Baitul Mal untuk diagihkan kepada golongan miskin, golongan orang kurang upaya (OKU), anak-anak yatim, rumah orang-orang tua, ibu-ibu tunggal dan rumah-rumah kebajikan yang lain. Hasil yang diperoleh daripada golongan ini bukan sedikit nilainya atas sebab kesedaran yang semakin bercambah dalam diri golongan yang dimurahkan rezeki ini. Sikap mulia yang ditunjukkan oleh orang kelima terkaya di Malaysia menurut penilaian yang dikeluarkan oleh majalah Forbes keluaran 2012 iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary perlu menjadi teladan dan idola golongan korporat yang lain. Berdasarkan satu petikan yang terkeluar daripada mulut beliau iaitu “ hanya 20% sahaja daripada keseluruhan hasil kekayaannya adalah hak milik mutlak dirinya. Yang selebihnya itu adalah hak orang lain yang dia sebagai pemegang amanahnya”. Sikap mulia dan ikhlas yang begitu menebal di dalam hati sanubarinya itu lahir atas didikan yang diberikan oleh kedua orang tuanya sejak beliau masih kecil lagi seterusnya menjadikan beliau begitu disegani dan diangkat sebagai penderma yang tiada taranya. Begitu juga dengan pemilik Hypermarket Mydin Holding yang setiap kali musim permulaan buka sekolah telah bermurah hati menyumbang baju sekolah kepada anak-anak yatim. Begitu juga baju raya setiap kali tibanya musim perayaan, akan turut diberikan percuma kepada anak-anak yatim dan orang-orang tua. Oleh yang demikian, jelas kepada kita bahawa tanggungjawab sosial golongan korporat ini amat membantu golongan yang benar-benar memerlukan ini.
Peranan media eletronik seperti rancangan Bersamamu TV3 dan media cetak seperti Metro Prihatin jelas dapat memberi sinar baru kepada golongan yang tidak berkemampuan apabila keperitan hidup mereka dipaparkan untuk tontonan umum dan yang pastinya akan ada golongan korporat yang sudi menghulurkan bantuan. Contohnya kes warga emas yang ditinggalkan oleh anak lelakinya di hotel murah yang mendapat paparan meluas dalam ‘you tube’ sehingga ke luar negara dan menjadi medan pertuturan orang ramai telah membuka hati seorang usahawan untuk memberi bantuan segera. Sudah terang lagi bersuluh, peranan golongan korporat ini amat memberi manfaat kepada masyarakat.
            Para pelajar di sekolah khususnya telah dididik sejak di bangku sekolah lagi untuk menjadi seorang penyumbang dan pemberi apabila sudah memasuki alam pekerjaan nanti. Sekiranya kita menonton filem Indonesia yang berjudul ‘Laska Pelangi’, pak gurunya selalu mengingatkan kepada anak-anak didiknya yang petikannya berbunyi “Jadilah kita orang yang memberi sebanyak- banyaknya dan jangan kita menjadi orang yang menerima sebanyak-banyaknya”. Buku teks komsas tingkatan 3 iaitu ‘Panas Salju’ ada menceritakan kisah seorang usahawan iaitu Tan Sri Samsuddin yang merupakan pemilik syarikat ‘Sapura Holdings’ telah memberi bantuan sepenuhnya kos pembedahan sebanyak RM300,000 kepada Nadhirah yang mendapat penyakit hati dan hempedu. Buku pelajaran yang wajib dipelajari oleh setiap murid tingkatan 3 di semua sekolah menengah ini secara tidak langsung telah mendidik setiap pelajar sejak di bangku sekolah lagi supaya menjadi sebagai penderma yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan tidak berkemampuan.
            Memang tidak dapat dinafikan, industri pelancongan merupakan satu industri yang besar menyumbang kepada ekonomi negara. Sejajaran dengan itu, banyak tempat pelancongan telah dibuka oleh golongan korporat yang melabur dalam industri hotel, resort dan spa.  Hal ini sudah tentu membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat yang sedikit sebanyak mampu menambahkan pendapatan mereka. Contohnya di Taman Negara, banyak dalam kalangan penduduk di sekitar Kuala Tahan dan Sungai Lembing menjadi pemandu bot, pemandu arah, dan pekerja resort. Begitu juga dengan tempat-tempat pelancongan yang lain seperti Pulau Langkawi, Pulau Redang, Pulau Gaya dan sebagainya telah menjadi lubuk emas bagi penduduk tempatan mencari rezeki. Segelintir kaum Kadazan Dusun di Sabah mencari wang pendapatan dengan bekerja sebagai pembawa barang kepada pendaki-pendaki gunung Kinabalu. Syarikat Penerbangan Tambang Murah iaitu Air Asia juga turut memainkan peranan dalam menarik minat para pelancong luar untuk bertandang ke negara kita melalui promosi yang dilakukan. Pelancong domestik juga turut mengambil peluang dengan pakej-pakej tambang murah yang diperkenalkan untuk melancong terutamanya ke Sabah dan Sarawak. Tuntasnya, penglibatan golongan korporat dalam industri pelancongan telah memberi keuntungan yang bukan sedikit kepada masyarakat setempat. Peluang pekerjaan terbuka luas dan secara tidak langsung mengurangkan kadar pengangguran di negara kita.
Sumbangan golongan korporat dalam bidang pertanian juga tidak kurang hebatnya. Kebanyakkan ladang sayur di Cameron Highlands dimiliki oleh golongan korporat. Mereka menjual sayur-sayuran dengan harga yang murah. Hal ini membolehkan penduduk miskin mampu membeli sayuran segar dengan harga yang mereka mampu. Ladang ‘Barat Tea’ dan ‘BOH’ juga dimiliki oleh golongan korporat. Ramai pekerja ladang mereka terdiri daripada penduduk sekitar termasuk orang-orang asli. Bank Pertanian atau AGROBANK boleh membantu dengan memberi pinjaman kepada petani yang tidak mempunyai cukup modal untuk mengusahakan tanah mereka atau mengusahakan kolam ikan. Perbadanan seperti RISDA boleh memberi bantuan anak-anak getah dan baja kepada pekebun getah yang ingin menanam semula getah bagi menggantikan pokok-pokok getah yang sudah tua. FELDA juga telah bertindak membantu dan menaik taraf hidup para peneroka. Kalau kita lihat sekarang ini, kehidupan peneroka felda sudah banyak berubah. Mereka sudah mempu mengecap sedikit kemewahan berbanding dulu. Peranan badan berkanun FAMA juga penting dalam usaha meningkatkan hasil padi kepada petani. Selain daripada bantuan benih padi yang bermutu dan bantuan baja, badan ini juga turut membantu petani memasarkan hasil padi mereka. Hal ini dapat mengelakkan golongan petani diambil kesempatan oleh orang tengah yang suka menangguk di air keruh.  Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa golongan korporat ini memainkan peranan  yang cukup besar dalam mengubah kehidupan masyarakat.
            Dalam bidang pelaburan, syarikat-syarikat korporat telah memberi peluang kepada masyarakat untuk turut sama menanam modal dalam syarikat mereka dengan hasil keuntungan diagihkan mengikut peratus yang telah ditetapkan. Contohnya Bank Rakyat, yang menggalakkan masyarakat membuat pelaburan dengan menjanjikan keuntungan setinggi 20%. ASB, Tabung Haji, KWSP dan sebagainya turut membuka peluang kepada masyarakat untuk menanam pelaburan seterusnya dapat mengaut sedikit keuntungan daripada hasil pelaburan mereka bak kata pepatah cina ‘bunuh dua ekor burung dengan menggunakan hanya satu batu’. atau dengan kata lain, serampang dua mata iaitu di samping menyimpan, dapat pula laba.
            Dalam melahirkan masyarakat yang sihat pula, golongan korporat memainkan peranan yang cukup penting dalam menaja beberapa acara sukan contohnya sukan pemotoran mendapat penajaan daripada Petronas, Proton pula menaja permainan badminton, syarikat Telekom telah menaja Le Tour de Langkawi dan bola sepak. Beberapa syarikat lain yang dimilik oleh golongan korporat telah berlumba-lumba untuk menaja sukan yang paling terkenal iaitu bola sepak. Lihat sahaja pasukan Kelantan dalam Bola Sepak Liga Super di negara kita, beberapa syarikat korporat telah menjadi penaja rasmi antaranya syarikat telekomunikasi Happy Prepaid, syarikat yang mengeluarkan produk kesihatan Al-Jabbar, Yusmira Trading, Mamee, Al- Hamraa, Masterskill dan sebagainya. Syarikat yang menjadi penaja ini mampu memberi dana untuk memajukan sukan di negara kita.  Maybank Berhad sanggup menawarkan hadiah berjuta-juta ringgit dalam kejohanan golf antarabangsa. Pengeluar produk berasaskan coklat yang terkenal di Malaysia iaitu Milo banyak menaja hamper, pingat dan minuman percuma dalam kejohanan sukan sekolah pada setiap peringkat iaitu peringkat daerah, negeri, kebangsaan serta antarabangsa sekiranya dianjurkan di negara kita. Bahkan t-shirt juga turut disediakan. Bukalah mata kita betapa golongan korporat ini sentiasa menyumbang dalam apa saja aktiviti sukan demi melihat masyarakat di negara ini maju setapak demi setapak dalam bidang sukan ini yang menawarkan pendapatan lumayan kepada ahli sukan dan secara tidak langsung boleh mengharumkan nama negara di mata dunia.
            Dalam bidang pendidikan, peranan golongan korporat tidak boleh diketepikan. Banyak universiti dan kolej swasta dimiliki oleh golongan korporat yang menyediakan pendidikan kepada pelajar lepasan sekolah. Para pelajar boleh memilih mana-mana institusi pengajian tinggi untuk melanjutkan pelajaran sekiranya tidak berjaya memasuki institusi pengajian tinggi awam. Antara universiti dan kolej swasta yang menawarkan tempat untuk para pelajar lepasan sekolah melanjutkan pelajaran sekolah ialah UNITAR, MAHSA, INTI College, Sunway University College, Stamford College, Lim Kok Wing Universiti, Help university college dan sebagainya. Universiti-universiti ini melakukan jaringan kerjasama dengan universiti-universiti di luar negara yang membuka ruang yang seluas-luasnya kepada pelajar untuk menyambung pengajian mereka di luar negara. Terdapat juga golongan korporat yang bermurah hati menaja sepenuhnya para pelajar yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran mereka.
            Di sekolah, peranan PIBG  begitu penting dalam membantu pihak sekolah mendapatkan dana. Terdapat golongan korporat terutamanya sekolah-sekolah di bandar, telah menjadi anggota-anggota PIBG yang tidak lokek untuk menyumbang idea bagi meningkatkan tahap pelajaran murid-murid malahan ada juga yang bermurah hati mengeluarkan duit poket untuk disumbangkan kepada sekolah. Ada sesetengah sekolah yang tabung PIBG sekolah itu mencecah hampir 1 juta ringgit. Dengan wang sebanyak itu, sudah tentu pelbagai prasarana boleh disediakan tanpa mengharapkan bantuan kerajaan untuk keselesaan para pelajar. Oleh yang demikian, jelas kepada kita bahawa peranan golongan korporat khususnya dalam bidang pendidikan memberi jaminan kepada pelajar mendapat pendidikan yang bertaraf dunia seterusnya membuka peluang untuk mendapat pekerjaan yang sesuai suatu hari nanti
            Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Konklusinya, berdasarkan kepada huraian yang dinyatakan sudah jelas bahawa peranan golongan korporat sangat membantu masyarakat meningkatkan taraf hidup mereka, seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan. Kita saling memerlukan bagai aur dengan tebing. Orang kaya memerlukan orang miskin dan orang miskin amat memerlukan golongan kaya. Kita perlu ingat, langit tidak selalunya cerah, kerana hidup ini ibarat roda, adakalanya kita berada di atas dan adakalanya kita berada di bawah. Pepatah ada mengatakan kalau kita berada di awangan, jangan lupa rumput di bumi. Rezeki kalau dikongsi akan bertambah subur dan berganda-ganda jadinya. Kita disaran supaya jangan kedekut untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kerana mungkin RM1 yang kita dermakan dapat menyelamatkan satu nyawa. Oleh itu, memang tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa peranan yang dimainkan oleh golongan korporat atau perbadanan dapat membantu usaha kerajaan menaik taraf hidup rakyat seterusnya dapat meneruskan misi untuk merealisasikan hasrat menjadi negara maju pada tahun 2020.

Wednesday 11 July 2012

Entri 9 - SAJAK UNTUK ANAK


RUMUSAN :  Sajak ni saja je aku main-main. Tengok gambar anak yang kiut masa dia buat persembahan kat Smart Kids, akupun cuba buat grafik kemudian masukkan sedikit sajak yang dicipta secara spontan lalu aku jadikan sebagai salah satu daripada koleksi karya aku.



Entri 8- SI TANGGANG MODEN

RUMUSAN: Artikel berbentuk luahan rasa ini aku tulis atas kekesalanku terhadap anak-anak zaman ini yang memandang ibu bapa bagaikan sampah. Terlalu ramai muda-mudi zaman ini yang menjadi Si Tanggang Moden dengan menderhaka kepada ibu bapa mereka secara terang-terangan. Luahan rasa ini aku tulis antara waktu selang semasa aku mengawas peperiksaan SPM tahun lepas. Luahan ini telah diterbit dalam akhbar Harian Metro pada hari isnin melalui ruangan pendapat pembaca bulan November 2011  ( tarikh aku sudah lupa sebab aku tak simpan keratan tu ).  





Si Tanggang Moden

Anak 16 tahun pukul ibu dengan kayu’. ‘Anak perempuan tunggal terajang ibu di depan rumah’. ‘Remaja 17 tahun ugut bunuh bapa’. Tajuk-tajuk ini merupakan sedutan daripada laporan akhbar tentang anak-anak yang menderhaka. Saban hari kita diuar-uarkan dengan laporan tentang anak-anak yang menderhaka kepada ibu bapa. Hari ini, kita menghadapi satu fenomena lahirnya si Tanggang Moden yang semakin menjadi-jadi. Perkara ini jelas menunjukkan kepincangan yang lahir dalam masyarakat kita. Dalam al-quran jelas menyatakan hukuman orang yang menderhaka kepada ibu bapa adalah neraka. Namun, hal ini tidak menggerunkan si penderhaka dek kekurangan ilmu agama di dalam diri. Hati sanubari mereka pekat dengan titik-titik hitam yang menjijikkan. Golongan penderhaka ini tidak akan berakhir kerana janji tuhan adalah benar. Mereka akan menerima balasan tuhan sejak dari atas muka bumi lagi kerana mereka juga akan mendapat zuriat yang bakal menjadi penderhaka menerusi tindak-tanduk ibu bapa mereka yang menderhaka kepada nenek mereka. Ini adalah Hukum Karma.Pendek kata, watak-watak penderhaka akan terus bercambah dan berkesinambungan dari satu generasi ke satu generasi tanpa berpenghujung. Orang tua-tua selalu berpesan “ kalau kita menderhaka kepada ibu bapa kita, kelak anak-anak kita akan membuat perkara yang sama terhadap kita”.
            Dalam islam kita ditegah daripada meninggikan suara apabila bercakap dengan ibu bapa kita walaupun cuma berkata “ah…’ apatah lagi untuk mencela dan memaki hamun mereka. Namun, masih ada anak-anak yang tergamak memaki hamun, mengaibkan, membuang, mencela, memukul malah membunuh ibu bapa sendiri. Ibu bapa dibuang macam kucing kurap, diterajang dan dimaki hamun di hadapan khalayak ramai dan banyak lagi kebejatan-kebejatan yang diperlakukan oleh anak-anak terhadap ibu bapa mereka. Hati mereka begitu hitam. Mereka tidak pernah ambil tahu betapa sukarnya ibu bapa menjaga dan membesarkan mereka sejak dari pada tapak kaki mereka sebesar ibu jari. Seorang ibu sanggup memperjudikan nyawa mereka demi memastikan anak-anaknya terselamat daripada sebarang ancaman. Seekor nyamuk yang menggigit anaknya akan dikejar oleh ibu sehingga dapat dan picit lumat tubuh nyamuk yang menggigit anaknya. Sampai begitu sekali pengorbanan seorang ibu. Sekiranya anak-anak meragam atau sakit, ibu bapa tidak dapat tidur sepanjang malam. Berjaga sampai ke pagi bagi memastikan anak yang sakit tidak mendapat kesan sampingan seperti sawan. Pendek kata, ibu lebih sakit daripada anak yang sakit. Itulah pengorbanan ibu yang dibalas dengan tuba apabila mereka sudah dewasa. Ibu bapa sanggup ikat perut untuk memastikan anak-anak tidur dalam kekenyangan. Ibu bapa sanggup memakai pakaian yang sudah lusuh asalkan anak-anak ada wang untuk belajar. Malangnya, apabila anak-anak sudah dewasa dan berjawatan tinggi, mereka tidak ada masa untuk menjenguk ibu bapa mereka di kampung.  Apatah lagi untuk menjaga ibu bapa yang sakit.  Anak-anak saling mengelak untuk menjaga ibu bapa yang memerlukan penjagaan rapi tetapi ibu bapa tidak pernah mengelak untuk menjaga anak-anak yang ramai dengan rapi. Hasilnya, ibu bapa sering di tempatkan di rumah penjagaan orang-orang tua walaupun mereka mempunyai ramai anak yang berjawatan tinggi. Amat payah kita dengar seorang anak sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibu bapa yang sakit walaupun tuhan telah janjikan tidak akan jatuh papa seseorang anak yang ikhlas menjaga ibu bapa yang sakit kerna rezeki itu ditetukan oleh-Nya.
Sungguh malang sekali bagi ibu bapa yang anak-anaknya adalah ‘Si Tanggang Moden’ walaupun bukan itu yang diharapkan.  Mudah-mudahan artikel ini memberi sedikit kesedaran kepada mereka yang masih mempunyai ibu bapa.

Entri 7 - AKU ANAK DIPANG


RUMUSAN : Cerpen ini ditulis bertujuan untuk dimuatkan dalam majalah sekolah ( MINDA ) edisi ke-17 tahun 2011 sempena dengan tema majalah iaitu Lestari Hijau. Cerpen ini adalah adaptasi daripada kisah benar dalam kejadian tanah runtuh dan mengorbankan nyawa puluhan masyarakat orang asli yang pernah menggemparkan negara suatu masa dulu. Kesedaran tentang penjagaan alam sekitar telah semakin luntur dalam kalangan masyarakat kita hari ini akibat daripada kepentingan individu. Aku percaya, sedikit masa lagi sudah tidak ada kehijauan hutan untuk mata melihatnya, Tidak ada kesegaran udara untuk hidung menyedutnya, Tidak ada kedinginan semulajadi untuk tubuh badan merasai suhunya.




RINTIHAN  ANAK  DIPANG

Fajar sudah mula menyinsing melabuhkan waktu subuh yang pada kiraan syuruknya sudahpun berakhir.  Anak-anak Jimpol masih lagi leka mengacah-ngacah kakinya pada permukaan air. Pada pagi itu, mereka dua beradik tidak terus terjun menikmati dinginnya air jeram yang mengalir turun dari tempat tadahan air di hulu hutan Belum. Mungkin mereka tidak tergamak untuk membasahkan badan kerana air pada pagi itu agak luar biasa keruhnya. Hujan yang turun pada malam tadi meningkatkan sedikit paras air yang membawa bersama puin-puin tanah beserta ranting-ranting dan daun-daun kering yang berawak di bawa arus.
Melihat kedudukan pancaran matahari yang suram berada pada sudut 45 darjah, mungkin jam sudah menunjukkan pukul 9.00 pagi. Jempol dan isterinya Mak Bungah mula risau akan anak-anaknya yang masih belum pulang dari sungai. Kebiasaannya pada waktu itu, mereka sekeluarga sudahpun bergerak untuk mencari rezeki. Anak lelakinya Simang akan mengikut Jimpol pergi berburu atau mencari hasil hutan manakala anak perempuannya Merah akan mengikut Mak Bungah ke kebun untuk mengusahakan kebun ubi dan pisang.
Keheningan belantara pada pagi itu dicemari dengan bunyi mesin gergaji yang sayup-sayup kedengaran dari hulu penempatan Jimpol dan suku kaumnya. Muka Jimpol terus berubah, bibirnya mengetip-ngetip. Dia cukup geram dengan lanun-lanun hutan yang dengan lahapnya merangkus khazanah alam dan merosakkan habitat yang menjadi tempat Jimpol mencari rezeki  untuk di suapkan ke mulut anak isterinya. Baru dua hari lepas dia dan anak-anak buahnya menutup laluan pencuri-pencuri balak dengan meletakkan batu-batu besar serta rimbunan-rimbunan buluh tetapi nampaknya tidak berhasil kerana lanun-lanun itu datang bukan saja dengan Toyota Hilux dan Mitsubishi Storm bahkan turut membawa jentera-jentera berat untuk mengangkut keluar hasil ‘rompakannya’.
Pernah seorang taukeh balak memberinya seikat not RM50.00 sebagai sogokan supaya tidak menganggu kerja-kerja mereka. Namun, ‘niat suci’ tauke balak itu dibalas dengan maki hamun dalam bahasa Bateq oleh Jimpol. Sebagai Tok Batin dalam komunitinya, bukan wang ringgit yang menjadi tuhan baginya tetapi keamanan dan keharmonian suku sakatnya mencari rezeki menjadi keutamaan. Khazanah-khazanah alam, habitat-habitat hutan dan hasil-hasil belantara sudah menjadi darah daging bagi mereka yang mewarisi suku kaum peribumi yang tebal mengamalkan kehidupan cara primitif di bumi yang bertuah ini.
Mereka tidak perlu rumah batu kerana mereka lebih selesa tinggal dalam rumah yang beratap rumbia, berdinding buluh dan berlantaikan batang nibong. Mereka tidak perlu senapang kerana mereka sudah mempunyai senjata yang paling ampuh untuk mencari sesuap makanan iaitu penyumpit. Mereka juga tidak perlu kuasa eletrik kerana mereka mampu mencipta api sendiri menggunakan getah damar untuk menerangi malam yang gelap. Mereka juga tidak memerlukan air paip yang dibekalkan kerajaan kerana sudah mempunyai sungai dan telaga yang dingin airnya. Apa yang mereka mahukan agar kehidupan mereka tidak diganggu, tempat untuk mereka mencari rezeki tidak diusik serta belantara yang membekalkan oksigen kepada mereka tidak dimusnah. Mereka tidak pernah memohon apa-apa bantuan daripada kerajaan kerana mereka boleh ‘service’ kehidupan mereka mengikut apa yang diperturunkan oleh nenek moyang mereka.
tik...tik...tik... lamunan Jimpol terganggu oleh titisan-titisan hujan yang turun membasahi mukanya. Kebimbangan yang menghantui  Jimpol dan Bungah juga berakhir apabila Simang dan Merah berlari-lari anak balik dari sungai. Pada pagi yang hening itu, kebanyakkan anak-anak buah Jimpol tidak pergi memburu atau berkebun. Mereka masing-masing tinggal di dalam rumah kerana hujan semakin lebat. Ramai juga dalam kalangan mereka yang sudah keluar mencari rezeki , berduyung-duyung balik semula ke rumah.  Bunyi mesin gergaji yang rakus memamah batang-batang balak juga sudah tidak kedengaran lagi. Sebagai menu makan pagi, Bungah menyediakan anak-anak dan suaminya dengan ubi kayu rebus dicicah ikan sungai jeruk yang dipanggang. Begitu bernafsu sekali anak-anaknya melahap makanan tradisional mereka.
             Hari sudah semakin petang. Hujan yang turun sejak pagi tadi masih lagi belum ada tanda-tanda akan reda. Tiba-tiba seluruh penghuni Dipang dikejutkan dengan bunyi dentuman yang aneh  tidak seperti guruh dan tidak juga seperti bom tetapi kuat kedengarannya dari atas puncak bukit. Jimpol terus keluar untuk menyiasat apa yang berlaku. Dengan berlari-lari anak, Jimpol mengikut laluan arus sungai naik ke hulu. Simang mengikut jejak ayahnya di belakang.
Tiba-tiba tumpuan Jimpol dan Simang beralih arah apabila di atas sana mereka ternampak satu gumpalan gelap menuju ke arah mereka bersama aliran sungai. Jimpol terus mencapai tangan Simang dan menarik sekuat hati naik ke tebing yang lebih tinggi. Dalam pada itu, mereka berlari sekuat hati untuk memberitahu  kepada suku kaumnya supaya menyelamatkan diri kerana satu bala bencana akan menimpa mereka.  Belum sempat Jimpol dan Simang sampai, ‘kepala air’ yang sarat muatannya dengan runtuhan tanah serta pokok-pokok hanyut dan serpihan-serpihan balak rakus membadai post Dipang yang saling tak tumpah bagaikan tsunami. Segala isi kandungan penempatan itu hanyut dalam sekelip mata. Bukan saja penduduk Dipang, bahkan segala binatang peliharaan mereka seperti anjing, babi , ayam hutan, beruk dan sebagainya turut  hanyut bersama gelombang yang ganas itu. Stok-stok makanan mereka seperti pisang, ubi, tupai salai, ikan sungai jeruk dan segalanya turut  entah ke mana.
Dari jauh Jimpol dan Simang hanya mampu memerhatikan saja suku sakat  dan segala isi kandungan kampungnya dihanyutkan tsunami bukit itu. Jimang sudah boleh membayangkan betapa  akan nasib malang yang menimpa adik dan ibunya. Memikirkan semua itu, Simang tidak sampai hati membiarkan mereka terus terseksa dan terkapai-kapai. Simang berlari dengan pantas untuk terjun ke dalam  aliran arus yang masih mengganas. Dia ingin mencari dan menyelamatkan adik dan ibunya. Dan kalau boleh  dia juga ingin mati bersama mereka. Jimang sempat ditarik oleh Jimpol. Namun dia meronta-ronta untuk pergi.
Itulah kehendak alam. Apabila diusik sudah pasti akan menimbulkan kemurkaan dan kemuncak kemurkaan itu apabila  suku sakat Jimpol dan Simang ditelan hidup-hidup. Mungkin tauke-tauke balak yang sudah kaya raya selepas malahap hasil bumi tidak merasa bersalah. Keluarga mereka bersenang lenang dengan hasil ‘rompakkannya. Mereka tidak mahu mengerti tentang nasib peribumi yang masih bergantung sepenuhya kepada alam untuk hidup.  Hutan kita memang luas, pokok-pokok cengal, merbau, keruing, meranti dan sebagainya masih banyak lagi yang utuh tidak diusik. Bukit bukau juga masih banyak yang belum digondol dan ditarah. Ramai lagi tauke-tauke balak yang bakal menjadi jutawan. Mereka alpa sebenarnya bahawa untuk mendapat kembali pokok-pokok yang ditebang memakan masa ratusan tahun sedangkan untuk memusnahkannya tidak sampai sehari.

Entri 6- CARA MUDA-MUDI KITA SAMBUT MERDEKA


RUMUSAN : Artikel berbentuk catatan perjalanan ini aku buat untuk menyedarkan anak bangsa yang semakin lemah semangat patriotismenya kepada negara. Setiap kali menjelangnya 31 Ogos, slot-slot untuk mengenang perit jerih tokoh-tokoh terdahulu dalam perjuangan membebaskan negara kita daripada penjajah dan demi mendapatkan kemerdekaan sudah jauh terpesong. Artikel ini ditulis atas pengalaman sendiri dan bukan direka-reka. Artikel ini telah dimuatkan dalam majalah sekolah ( MINDA ) edisi ke-17 tahun 2010 bertujuan untuk menyedarkan para pelajar yang membaca dan menghayati karya aku ini agar mendapat sedikit kesedaran tentang cara bagaimana yang sepatutnya dilakukan setiap kali kita menyambut hari kemerdekaan.



Suatu Malam Di Malam MERDEKA

Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !  laungan keramat yang menerjah keluar daripada peti suara rakyat Malaysia pada setiap kali menjelangnya tanggal 31 Ogos. Rakyat dengan gah dan penuh kebanggaan apabila  tibanya tarikh yang dinantikan ini kerana memberi erti yang cukup besar kepada semua anak bangsa yang mengakui bahawa aku anak Malaysia. Dahulu kala para pejuang bermandikan darah, berjuang untuk mendapatkan hak sebagai pemilik bumi bertuah ini. Ini hakku, ini milikku, akan kuperjuangkan hingga ke titis darahku yang terakhir. Akan aku pastikan bumi ini bawah tadbirku, bawah naunganku, bawah pemerintahan pribumi yang bebas daripada penjajahan. Mereka menggunakan seluruh kudrat dan buah fikiran bahkan ada yang berkorban nyawa untuk melihat bumi kesayangan mereka yang bakal diwarisi anak cucu mereka nanti, bebas  daripada penjajah yang zalim dan kejam.
54 tahun di alam merdeka, tapi merdekakah kita? Antara persoalan yang sering bermain di benakku, Apakah erti kemerdekaan sebenar? Apakah peranan generasi pewaris kemerdekaan untuk mengekalkan kemerdekaan negara? Mari kita renungkan rentetan kronologi satu malam di ambang sambutan kemerdekaan.
Seawal 7.00 malam, kenderaan sudah mula berduyun-duyun memasuki ibu kota metropolitan yang dikatakan serba canggih dan moden ini. Rata-rata kenderaan awam  dipenuhi dan padat dengan penumpang dari luar dan pinggir bandar, yang datang untuk meraikan sambutan di ambang kemerdekaan. Mereka datang dengan pelbagai gaya dan rupa. Penuh keceriaan. Gahnya malam ini. Di mana? Dataran Merdeka? di Bintang Walk ?atau di Perkarangan KLCC? Jangan ditanya, semuanya sesak dengan pengunjung pelbagai rupa, pelbagai budaya.
Pukul 8.15 malam di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, pada satu sudut dapat dilihat dengan jelasnya, satu kelompok anak-anak awal remaja sedang berarak dengan basikal yang pelbagai model. Gayanya mendabik dada.Dari ceruk mana mereka datang tidak diketahui tetapi bilangan mereka agak besar. Lagaknya seperti babarian, bertempik sorak  sambil mempamerkan aksi-aksi berani untuk mencuri perhatian para pengunjung yang  mula memenuhi Dataran Merdeka. Pakaian, lagak  dan gaya mereka amat menyakitkan mata, bahkan ada dalam kalangan mereka dengan selamba menyedut asap-asap rokok. Dari riak wajah mereka menunjukkan keegoan dan kebanggaan yang nyata, mereka lupa bahawa mereka adalah anak-anak hingusan yang masih perlu diawasi dan dipimpin tangan oleh ibu bapa mereka . Umur baru setampuk pinang, masih cukup mentah  untuk berkeliaran tanpa pemerhatian kedua-dua orang tua. Wajarkah  anak-anak seusia 10 hingga 14 tahun bertindak umpama samseng jalanan? Inikah budaya yang ditonjolkan untuk sambutan ambang kemerdekaan?
Pada 9.20 malam penulis beredar menuju ke KLCC melalui lorong-lorong tikus di celah-celah hutan batu pencakar langit. Tatkala melalui lorong-lorong tersebut, penulis terlihat beberapa kelompok mat-mat gian sedang asyik melepaskan gian mereka dengan menggunakan suntikan secara terbuka dan langsung tidak mempedulikan orang yang lalu lalang di kawasan itu,agaknya pada mereka, dunia ini aku yang punya. Perwatakan  mereka cukup selekeh dengan berpakaian lusuh dan serabai. Sesekali sepoi angin malam membawa sekali bau badan mereka, huh… amat meloyakan. Tengit, hapak, hanyir, dan seribu macam bau. Tak terfikir dek akal bagaimana kita manusia yang dijadikan dengan cukup sempurna oleh Tuhan manjadi hamba najis dadah yang boleh menjahanamkan kehidupan. Kudis-kudis buta memenuhi setiap sudut anggota badan. Air liur meleleh-leleh menunjukkan mereka sedang ‘high’. Inikah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara? Dimanakah letaknya kesempurnaan akal yang Tuhan berikan kepada kita? Fikir, fikirkanlah.
Di Perkarangan KLCC, konsert yang dijayakan oleh beberapa artis terkenal tanah air sudah mula ‘panas’. Konsert mega ini ditaja oleh syarikat gergasi telekomunikasi. Setiap ruang berlangsungnya sambutan ambang kemerdekaan ini dipenuhi dengan orang ramai . Ada yang datang membawa keluarga, ada yang datang bersama rakan-rakan, malahan ada yang datang membawa bayi. Kesian bayi ini, menangis kehangatan dek kerana kesesakan manusia yang terlalu ramai serta kebisingan bunyi muzik yang membingitkan dan memekakkan telinga. Anak-anak kecil itu menjadi mangsa keselambaan sikap ibu bapa mereka yang gilakan  hiburan. Sepatutnya tatkala itu mereka lena dibuai mimpi, selesa dek pelukan bantal busuknya.  Dari satu sudut yang agak tercorok, dapat dilihat beberapa kelibat pasangan kekasih yang sedang berpeluk mesra tanpa segan silu, malah ada yang bercumbu-cumbuan. Siapakah mereka ini? Mereka ada yang bertudung tetapi  aksinya mengalahkan pelakon-pelakon filem panas.Tak kurang juga anak-anak gadis yang berpakaian mencolok mata, menunjukkan anugerah Tuhan yang tidak ternilai tingginya. Mungkin hanya ini peluang mereka untuk menjadi model percuma ataupun menjadi tatapan golongan lelaki bermata keranjang.
Pukul 10.55  penulis berkejar pula ke Bintang Walk yang menjadi salah satu tempat berlangsungnya sambutan Ambang Kemerdekaan. Penulis menaiki teksi untuk ke tempat yang dituju. Oleh sebab banyak jalan yang ditutup, maka perjalanan ke Jalan Bukit Bintang kurang lancar dan penulis terpaksa berjalan kaki agak jauh dari tempat yang dituju untuk mengejar masa. Di Bintang Walk, suasananya agak berlainan. Di sini lebih panas dengan keghairahan anak-anak muda yang tidak sabar-sabar untuk menanti detik 12 Malam. Di satu sudut, terdapat satu kumpulan anak-anak muda yang memperagakan gaya skinhead dan punk. Rambut mereka yang berceracak diwarnakan dengan pelbagai warna. Muka-muka mereka juga turut diwarnakan untuk menampakkan keganasan dan liar. Aksesori yang dikenakan pada badan mereka sungguh menakutkan. Anting-anting bukan saja dicucuk pada telinga, bahkan pada lidah, hidung, dagu, kening dan bibir mulut. Rantai leher yang dipakai oleh mereka bertatahkan besi timah yang berduri. Sambil meneguk minuman keras, mereka melalak, menari, dan melolong tanpa mempedulikan ketenteraman orang lain yang hadir. Lebih kurang 80 meter dari kumpulan skinhead itu berkumpul, terdapat pula satu kumpulan yang terdiri daripada anak-anak muda berambut panjang yang memakai baju hitam berwajah tengkorak dan haloween. Memakai seluar jeans lusuh koyak rabak dan mengenakan kasut berjenama Cornverse. Melihat kepada anak mata mereka yang kuyu dan merah, jelas menunjukkan bahawa kepala mereka sudah ‘penuh’. Mungkin mereka sudah kena pil kuda, estacy, syabu, ganja ataupun erimin 5. Mereka mengoyang-goyangkan kepala seolah-olah sedang menghayati irama muzik keras daripada kumpulan Metallica, Sepultura, Megadeath atau Black Sabbath. Kumpulan anak-anak muda ini mengelarkan diri mereka budak Black Metal.
Penulis terus berjalan menyusuri orang ramai melalui Bintang Walk. Penulis terlihat ramai orang sedang mengerumuni sesuatu. Perasaan ingin tahu penulis yang membuak-buak menyebabkan penulis menghampiri tempat tersebut. Dari celah-celah orang ramai, penulis dapat lihat dengan jelas satu kumpulan remaja yang berpakaian hip hop sedang terhenjut-henjut menari tarian shuffle dengan diiringi oleh muzik shuffle yang dimainkan melalui radio kaset yang dibawa.  Muzik ini sememangnya mula mendapat tempat di hati remaja masa kini. Setiap tari lincah gerak kaki dan tangan yang dipersembahkan oleh mereka diberi tepukan gemuruh oleh para penonton yang membuatkan mereka lebih ghairah melakukannya sama ada secara individu, berpasangan ataupun berkumpulan.
Jam  tepat menunjukkan pukul 12 tengah malam. Kedengaran suara anak-anak muda melaungkan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! Sebanyak tujuh kali. Namun begitu, laungan anak-anak muda di Bintang Walk ini dibuat secara sambil lewa dan main-main. Mungkin laungan anak-anak muda yang sedang  menyambut ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka lebih Jitu dan bersemangat kerana ramai pemimpin negara berada di tempat itu. Dentuman bunga api sabung-menyabung menyerlahkan keindahan bandaraya Kuala Lumpur. Di atas puncak Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, tembakan bunga api dihalakan ke Dataran Merdeka manakala bangunan kebanggaan negara iaitu KLCC juga bermandikan dengan cahaya bunga api. Begitu indah dan bermakna sekali semburan bunga api tersebut bagi mereka yang tahu erti kemerdekaan tetapi pertunjukan bunga api dan laungan MERDEKA sebanyak 7 kali itu hanyalah satu hiburan dan tidak memberi erti apa-apa bagi mereka yang hanya tahu ingin berseronok sahaja.
 Selepas berakhirnya sambutan di ambang kemerdekaan, para pengujung Bintang Walk masih belum berganjak untuk pulang malahan mereka begitu berseronok bermain semburan buih. Tanpa mempedulikan orang ramai, sekumpulan anak muda yang terdiri daripada lelaki dan perempuan ini leka menyembur buih ke atas rakan-rakan mereka termasuk ke atas orang ramai yang melalui kawasan tersebut. Keadaan ini menimbulkan sedikit ketegangan dan kekecohan apabila perbuatan biadap ini tidak boleh diterima oleh mangsa. Pihak berkuasa terpaksa campur tangan untuk menyelesaikan ketegangan ini.
Penulis menyusuri Jalan P.Ramlee. Setiap deretan pusat-pusat hiburan yang terdapat di situ dipenuhi oleh pelanggan-pelanggan yang mencari hiburan. Kelihatan kelibat mat-mat disko keluar masuk ke pusat-pusat hiburan tersebut sambil membawa teman sosial masing-masing yang berpakaian seksi dan menghairahkan. Ada yang keluar dengan terpaksa dipapah dan muntah-muntah kerana ‘over dost’ minuman keras. Dari luar, penulis dapat mendengar dengan jelas alunan muzik rancak daripada Lady Gaga, Katy Perry, Pussycat Dolls dan sebagainya dimainkan dalam premis pusat hiburan tersebut. Penulis menyusuri jalan Bukit Bintang menuju ke Jalan Imbi. Di situ terdapat sebuah pusat hiburan yang dikhususkan untuk golongan songsang. Mereka dengan selamba membawa pasangan sesama jenis masuk ke pusat hiburan tersebut untuk berhibur.
Jam di tangan sudah hampir pukul 3.30 pagi. Penulis mula berjalan untuk pulang melalui jalan Hang Tuah menuju ke tempat letak kereta di bawah bangunan Dayabumi. Sampai di Central Market, kelihatan masih ramai anak-anak muda yang melepak sambil berbual-bual kosong. Di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, kelihatan mat-mat motor sedang membuat aksi wikang dan willi. Ada yang meniarap bagaikan Superman dan ada yang membuat korner baring untuk mengeluarkan percikan bunga api daripada besi ekzos matosikal mereka. Bukan saja mat-mat motor, ada juga dua pemandu kereta Toyota Caldina dan Subaru Empreza sedang membuat aksi drift untuk dipertontonkan kepada orang ramai. Lagak mereka bertambah hebat apabila setiap aksi yang dipersembahkan mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton. Suasana kebingitan dek enjin motor dan kereta kembali tenang sebaik saja 4 buah kereta peronda polis tiba ke tempat aksi tersebut. Semua peserta aksi dan penonton sepantas kilat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. Yang ada hanyalah pekerja-pekerja Alam Flora yang bersekang mata menyapu segala sampah sarap yang bertimbun.
Penulis balik ke rumah di Subang Jaya melalui Jalan Parlimen dan Jalan Istana. Kesunyian pagi jalan tersebut dicemari oleh bingitan enjin motosikal mat-mat rempit yang berhati kering. Lumba haram menjadi satu kemestian buat mat-mat rempit setiap kali tibanya malam minggu. Mereka ‘menciluk’ lori dan kereta tanpa rasa takut walaupun perbuatan itu mengundang risiko yang boleh menyebabkan nyawa melayang. Mereka tidak peduli soal keselamatan, yang mereka kejar adalah kepuasan dan adakalanya perlumbaan mereka ini dibayar dengan wang yang beribu ringgit. Bukan itu saja, terdapat juga hadiah yang ditawarkan adalah gadis-gadis cantik yang sudi diri mereka dijadikan hadiah.
Semasa melalui Lebuhraya Persekutuan, kelancaran perjalanan penulis untuk pulang ke rumah di USJ 6 terganggu oleh sedikit kesesakan lalulintas. Pada hemat penulis, mungkin kesesakan ini berlaku disebabkan sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak polis. Tetapi telahan penulis ini meleset apabila punca kesesakan ini disebabkan oleh satu kemalangan yang berlaku di satu susur masuk ke Lapangan Terbang Sultan Ab Aziz Shah. Kemalangan yang melibatkan dua buah kereta ini berlaku disebabkan oleh pemandu yang berlumba sesama sendiri dan pemandu tersebut berada di bawah pengaruh alkohol.
Penulis selamat sampai ke rumah hampir pukul 6.00 pagi. Selepas mandi dan selesai menunaikan solat fardhu subuh, penulis cuba untuk melelapkan mata tetapi tidak berjaya. Pemikiran Penulis dihantui oleh peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang malam sambutan Ambang Kemerdekaan. Melihat kepada apa yang berlaku, jelas negara kita masih belum merdeka. Pemikiran anak-anak muda kita masih dijajah oleh fahaman Barat dan Yahudi. Mereka sudah jauh terpesong daripada kehidupan kita sebagai orang Timur yang berpegang teguh pada adat dan ajaran agama. Kehidupan mereka berpaksikan hedonisme. Mereka seolah-olah tidak mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kesucian kemerdekaan yang sudah dikecapi. Anak-anak muda yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara telah hanyut dalam dunia yang penuh kepincangan ini. Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk memimpin sebuah negara agar menjadi maju pada zaman yang mencabar ini. Siapakah yang harus dipersalahkan ? Persoalan ini bermain-main di dalam benak penulis sehingga penulis terlena dibuai mimpi.   
                                         
       Latar masa : 30 hingga 31 Ogos 2009
       Latar Tempat : Dataran Merdeka, Perkarangan KLCC dan BIntang Walk
       Latar Masyarakat : Masyarakat bandar yang sukakan hiburan
       Penulis ialah EN YUSDIN BIN YUSOF.

Entri 5 - TERIMA KASIH CIKGU


Rumusan: Artikel yang separa cerpen ini aku tulis untuk menyertai pertandingan menulis esei ( kategori umum ) sempena hari guru 2010 yang bertajuk ‘Terima Kasih Cikgu’. Cerpen ini aku adaptasi daripada kisah aku sendiri semasa berada di bangku sekolah rendah dulu. Aku rasa pengalamanku ini cukup manis untuk kongsi. Ramai guru yang mengajarku semasa aku di sekolah rendah dulu masih segar dalam ingatan. Kenangan bersama mereka begitu manis untuk diabadikan lantas aku tejemahkan dalam bentuk nukilan yang secara tidak langsung mengingatkan aku semula betapa guru ini adalah seorang insan yang mulia dan berhak untuk dihormati serta dikenang jasanya.

Sekadar berkongsi pengalaman di zaman persekolahan
(Andainya dapat kuundur masa...)

Bunyi kokok ayam jantan dan kicau burung telah memecah keheningan pagi. Ibuku yang bersiap-siap untuk pergi solat subuh di masjid terlebih dahulu menyalakan api menggunakan sabut dan tempurung kelapa buat anak-anaknya memanaskan badan tatkala selepas mandi pagi. Aku, abang dan adik-adikku dikejutkan seorang demi seorang oleh ibuku sebelum dia berangkat ke masjid. Aku dan abang-abangku yang sudah biasa bangun pagi terus mencapai tuala lalu menuju ke telaga yang jaraknya cuma 300 meter dari rumahku. Bagi menerangi persekitaran yang masih gelap, abangku telah menyalakan daun kelapa kering yang kami kumpul di bawah rumah. Kami mandi bergilir-gilir kerana timba untuk menceduk air cuma ada satu. Air telaga yang sangat sejuk sehingga ke tulang hitam membuatkan kami mengigil-gigil.

          Selepas mandi, kami memanaskan badan pada api yang siap dinyalakan oleh ibu. Kami adik-beradik masing-masing bertinggung mengelilingi api bagi mendapatkan seorang sedikit haba. Kami naik ke rumah, kemudian masing-masing mengenakan pakaian seragam sekolah. Aku sebagai anak yang paling kecil terpaksa  dibantu oleh kakakku. Selepas bersarapan seadanya, kami adik beradik pun beriringan ke sekolah. Suhu pagi yang dingin membuatkan mulutku mengeluarkan asap yang berkepul-kepul seolah-olah berada di Moscow. Kabus pagi yang memenuhi ruang udara telah membasahkan rambut dan mukaku.

          Sebaik sampai ke sekolah, hari masih lagi gelap. Loceng untuk murid-murid berkumpul masih lama lagi akan berbunyi. Masa senggang yang ada ini aku gunakan untuk main lari-lari bersama rakan-rakan yang lain. Boleh dikatakan semua murid ada aktiviti masing-masing tidak kira lelaki atau perempuan atau tingkat mana sekalipun. Aku biasanya bermain kejar-kejar sambil melakukan ‘flying kick’. Sebaik loceng pertama dibunyikan, murid-murid dengan pantasnya akan masuk barisan mengikut kelas masing-masing. 20 minit pertama, murid-murid diarahkan oleh guru bertugas supaya memunggut sampah sarap atau daun-daun kering di seluruh kawasan sekolah. Murid-murid yang berjaya memunggut segenggam sampah boleh menuntut kupon bantuan makanan daripada Guru Besar yang sedia menanti di tempat pembuagan sampah. Kupon ini boleh ditukar dengan sepinggan nasi atau dua biji kuih di kantin sekolah.
 Apabila loceng kedua dibunyikan, murid-murid kembali ke tapak perhimpunan dan berbaris mengikut kelas masing-masing. Kesempatan ini guru disiplin akan meronda dan membuat ‘sport check’ secara rambang. Salah satu guru disiplin iaitu cikgu Zakaria atau dikenali dengan panggilan cikgu’Z telah memintaku ke depan. Aku terpinga-pinga mencari jawapan apa kesalahanku. Debaranku sedikit reda apabila seorang demi seorang rakan-rakanku turut dipanggil ke depan. Setelah semua murid berbaris masuk ke kelas masing-masing,aku dan rakanku didenda jalan itik dua pusingan mengelilingi tapak perhimpunan kerana bajuku kotor terkena tapak kasut rakan-rakanku semasa kami bermain ,’flying kick’ sebelum loceng pertama berbunyi tadi.
Selepas waktu rehat,cikgu Rashidah ternampak aku tersedu-sedu menangis di penjuru kelasku lantas menghampiriku bertanyakan masalah yang aku hadapi. Aku memberitahunya bahawa buah jambu air yang ibuku suruh jual di sekolah telah dicuri oleh murid yang nakal. Aku begitu takut dimarahi ibu kerana 10 peratus daripada hasil jualanku itu adalah duit belanja sekolah untuk aku. Puas cikgu Rashidah memujukku tetapi tangisanku tidak juga reda. Akhirnya, cikgu Rashidah bermurah hati mmenggantikan kesuluruhan kerugian yang ku alami. Dengan pantas aku mengucapkan ”Terima Kasih Cikgu”.
Keesokan hari, aku seperti rutin harian, pagi-pagi lagi sudah berada di sekolah. Tetapi hari ini aku tidak lagi berlari-lari bermain perang ‘flyiong kick’ takut malu didenda cikgu. Masih lagi memunggut sampah untuk ditukar dengan kupon bantuan makanan yang diperuntukkan kerajaan kepada murid luar banda. Masa pertama hari ini ioalah waktu mata pelkajaran matematik. Guru yang mengajar matematik ialah guru kelas aku sendiri iaitu cikgu Lee Yew Meng. Banyak kerja rumah yang cikgu Lee berikan semalam yang disiapkan di rumah tetapi aku tidak berjaya siapkan kerana komitmen lain yang perlu aku buat selepas balik dari sekolah. Akibatnya, aku diarahkan keluar dari kelas dan berdiri di koridor luar bilik darjah. Kebetulan kelasku berada di sebelah bilik guru besar. Apabila guru besar melihat aku dan beberapa rakan kelasku yang sama-sama tidak menyiapkan tugasan yang diberi berada di luar kelas, terus beliau datang lalu mencapai rotan bulu ayam yang berbentuk ‘U’ di hujungnya singgah di punggungku dan rakan-rakan senasib denganku. Aku terloncat-loncat menahan kepedihan. Tapi tidak mengapa, ini hukuman yang setimpal patut aku terima kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. Dengan nada yang sedih dan tersekat-sekat aku masih mengucapkan “Terima Kasih Cikgu.”
Semasa aku sedang makan di kantin pada waktu rehat, sekilas pandang aku melihat van ambulanyang bertulis Kementerian Kesihatan Malaysia masuk ke dalam kawasan sekolahku. Hatiku mula berdebar-debar kerana aku tahu hari ini mesti ada acara suntik menyuntik. Aku yang amat gerun melihat jarummula memerah otak mencari idea bagi menyelamatkan diri. Tanpa memberitahu sesiapa,aku mula menyusup perlahan-lahan masuk ke semak samun yang tumbuh meliar di belakang sekolah. Rupa-rupanya telah ada beberapa orang murid lain termasuk salah seorang abangku yang terlebih dahulu dapat menghidu tujuan sebenar  kehadiran van Kementerian Kesihatan. Sangkaanku memang tepat, selepas rehat semua murid dari satu kelas ke satu kelas diminta beratur untuk menerima suntikan pencegahan malaria. Guru kelas yang dapat mengesan beberapa orang pelajar sudah menghilangkan diri,bertindak melaporkan kepada guru disiplin. Macam tahu-tahu saja,guru disiplin terus menuju ke tempat persembunyianku. Pelajar senior tahun lima dan tahun enam sempat melarikan diri tetapi aku Cuma mampu menangis sambilk memeluk batang pokok senduduk. Cikgu ‘Z’, Cikgu Lee. Cikhu Shidah  dan Cikgu Nora cuba menenangkan aku . Cikgu Nora cuba menguji kejantananku dengam mengatakan aku lebih pengecut berbanding murid-murid perempuan. Cabaran itu berjaya memulihkan semangat aku bahawa aku bukan pengecut seperti yang disangkakan lalu sebatang jarum berjaya juga masuk ke bahuku. Terima Kasih Cikgu.
Pada waktu petang, aku datnag ke sekolah untuk pemilihan pasukan bola sepak sekolah . Aku tahu bahawa aku tidak layak mewakili sekolah dalam pasukan bola sepak tetapi aku terlalu minat aku gagahkan juga untuk mencubanya . Sudah berbuih mulut abang-abangku menasihatkan aku supaya membatalkan saja hasrat murniku itu kerana mereka tahu kemampuan aku bermain bola sepak. Semasa ujian fizikal dijalankan aku masih mampu untuk layak ke pusingan kedua tetapi apabilka tiba ujian merampas bola atau dipanggil ‘main monyet, asyik aku saja berada di dalam bulatan menjadi monyet. Ekoran daripada itu, Cikgu Amran selaku pencari bakatdengan penuh berhjemah menasihatkan aku mencuba untuk tahun yang seterusnya. Walau apapun, dengan nada keceawa aku mengucapkan “Terima Kasih Cikgu” kerana memberi aku peluang untuk aku mencuba dan tidak memaki hamun apatah lagi mengutukku.
Keesokan hari, ting... loceng balik berbunyi  dengan nyaringnya. Murid-murid bersorak riang kerana hari ini hari terakhir sekolah. Hari ini hari khamis bermakna kami di sebelah Pantai Timur akan mendapat cuti hujung minggu selama dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu. Kebiasaan pada hari khamis aku tidak pernah ponteng sekolah kerana pada hari ini aku bakal mendapat sesuatu untuk dibawa pulang. Sebaik loceng akhir berbunyi, aku dan rakan sekelasku diarah beratur di luar kelas dengan tertib, kemudian dalam keadaan senyap bergerak menuju ke sto khas yang menempatkan projek susu sekolah. Setiap murid diberi sekotak susu segar 1 liter percuma sumbangan kerajaan. Tanpa berlengah lagi aku mengucapkan “Terima Kasih Cikgu” kepada guru yang bertugas mengagihkan susu tersebut.
Pada tahun ini, musim buah begitu menjadi sekali. Bapaku yang mempunyai dusun buah-buiahan tersenyum riang apabila melihat beberapa batang pokok durian mengeluarkan buah dengan lebat sekali. Pokok rambutan juga tidak kedekut untuk mengeluarkan buah begitu juga dengan pokok duku , dokong dan manggis. Memandangkan musim buah pada tahun ini begitu menjadi, bapaku menyuruh aku mempelawa guru-guruku untuk bertandang ke dusunku. Hasrat bapaku itu telah kuajukan kepada beberapa  orang cikgu yang sempat aku temui. Pada suatu petang Jumaat, ku lihat dua buah kereta menyusur masuk ke kebunku. Aku yang sudah sedia berada di dusun melihat Cikgu Amran, Cikgu Abdullah, Cikgu Ravi, Cikgu Lee, Cikgu Shidah, Cikgu Nora,Cikgu Zainab dan penolong kanan sekolah Cikgu Ghani  keluar dari kereta. Aku meluru menyambut mereka dengan begitu girang sekali. Satu persatu durian daripada baka baik aku dan abangku kopak untuk mereka. Berpuluh tangkai duku dan dokong telah abangku bawa turun daripada pokok. Rambutan Gading dan rambutan Anak Sekolah telahku isi dalam dua guni . Semuanya ku jamu kepada cikgu-cikgu kesayanganku. Apabila mereka ingin pulang, berpuluh biji durian , seguni duku,dokong dan manggis serta dua guni rambutan telah ku masukkan ke dalam bonet kereta mereka. Aku juga tidak lupa untuk mengucapkan “Terima Kasih Cikgu” kerana sudi bertamu ke dusunku.
Pada akhir tahun, seluruh warga kelasku dikejutkan dengan pertukaran keluar guru kelasku iaitu Cikgu Lee Yee Meng. Beliau akan betukar ke Daerah Sik, Kedah. Kami rakan sekelas telah berpakat untuk mengadakan jamuan perpisahan. Kesedihan ini juga turut dikongsi bersama dengan guru-guru yang lain. Mereka kami lihat sungguh akrab sekali macam adik beradik walaupun berlainan bangsa dan agama. Begitu juga Cikgu Lee, walaupun beliau daripada bangsa lain tetap ikhlas menurunkan ilmu kepada kami yang 100 peratus berbangsa Melayu tanpa adanya perasaan prejudis. Semasa hari perpisahan diadakan, Cikgu Lee menyerahkan banyak barang peribadinya kepada kami sebagai kenang-kenangan. Ada yang mendapat t-shirt, kasut, buku, komik, bola, wang, alat-alat tulis dan sebagainya. Ku kira aku yang paling bertuah kerana mendapat raket badminton berjenama Yonex yang sangat kuidam-idamkan. Seorang demi seorang anak-anak muridnya dipeluk erat dan aku lihat dengan jelas deraian air mata membasahi pipinya. Apabila tiba giliranku, air mataku tidak dapat ku tahan daripada jatuh kerana aku dapat rasakan inilah guru yang amat sukar dicari ganti, begitu ikhlas, jujur, berkarisma, penyayang ,sabar dan bijak mengambil hati murid-murid biarpun murid-muridnya adalah budak kampung yang miskin lagi comot dan tinggal jauh di pedalaman. Pada riak air mukanya jelas kelihatan penyesalan yang tidak terhingga seolah-olah menyesal kerana mohon untuk ditukarkan.      
Kringggggggg... bunyi loceng eletrik yang membingitkan telinga telah menyedarkan aku daripada lamunan yang panjang. Sekarang ini adalah waktu ketujuh Bahasa Malaysia tingkatan 5 Fasih. Aku terus mencapai buku rekod mengajar, buku teks Bahasa Malaysia tingkatan lima dan dua buah buku rujukan lalu terus ke kelas. Dalam perjalanan ke kelas, hanya dua orang pelajar yang menyapa aku dan memberi ucap selamat semasa berselisih manakala yang berpuluh-puluh lagi buat-buat tidak nampak atau dengan kata lain buat selamba. Keadaan ini cukup berbeza dengan zaman persekolahan ku dulu yang mana setiap kali berselisih dengan guru pasti para pelajar akan tunduk hormat dan memberi salam. Aku juga tidak kisah pada bahagian mana anggota badanku hendak dipukul oleh guru sekiranya aku tidak menyiapkan kerja sekolah atau melakukan apa sahaja yang melanggar disiplin sekolah. Aku juga tidak pernah menyimpan perasaan dendam terhadap cikgu yang mendendaku. Berdiri atas meja atau kerusi, jalan itik pusing padang sekolah, ketuk ketampi, tekan tubi, lompat katak, dijemur panas, ditarik signburn dan mintalah buat apa saja pasti aku akan akur tanpa banyak soal. Kekadang, aku boleh rasakan betapa tidak ikhlasnya anak-anak muridku mengucapkan selamat kepadaku tatkala aku masuk ke kelas untuk memulakan pengajaran dan untuk mengucapkan terima kasih sebaik aktiviti pengajaran dan pembelajaran tamat. Memang aku dapat rasakan perbezaan yang amat ketara sikap murid-murid dahulu jika dibandingkan dengan murid-murid di abad ini bak kata pepatah “lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang”. Juga berbeza antara murid bandar dengan murid kampung ibarat kata lain padang lain belalang dan yang penting, aku lebih seronok berada di sekolah sebagai seorang pelajar seperti yang aku hadapi dulu berbanding  daripada duduk di sekolah menjadi seorang tenaga pengajar seperti yang aku hadapi sekarang. Walau apapun, TERIMA KASIH CIKGU kerana mendidik aku sehingga aku berjaya menjadi seorang pendidik. Sesungguhnya pengalaman pahit semasa aku menjadi murid sekolah suatu masa lalu adalah kenangan paling manis yang tidak bisa aku lupakan sehingga ke akhir hayat.

Tuesday 10 July 2012

Entri 4 - SAJAK 1 MALAYSIA




RINGKASAN : Sajak Satu Malaysia aku cipta secara spontan atas permintaan guru panitia sejarah sekolahku untuk dideklamasikan oleh pelajar pada Majlis Sambutan Bulan Patriotisme. Sajak ini juga turut dimuatkan dalam majalah sekolah Edisi XV 2009.





Entri 3 - BUDAK SEKARANG VS BUDAK DULU



LAIN DULU, LAIN SEKARANG...

SINOPSIS : Artikel ini aku tulis untuk dimuatkan dalam Majalah Sekolahku Edisi ke-15 tahun 2009. Tujuan aku menulis artikel ini adalah untuk memberi kesedaran kepada pembaca khususnya para pelajar betapa beruntungnya mereka hidup di zaman ini berbanding dengan aku yang hidup dalam serba kekurangan dan kesukaran. Aku berharap agar sesiapa yang membaca dan menghayatinya akan mendapat sedikit kesedaran.

Sudah menjadi rutin kehidupan kami adik beradik, kami akan bangun untuk mengerjakan solat fardu subuh seawal jam 6 pagi lagi. Sebelum berangkat ke sekolah, aku akan menjalankan tugas harianku menghantar kuih muih yang dibuat oleh ibuku ke kedai-kedai kopi, manakala adik beradikku yang lain  juga masing-masing mempunyai tugas sendiri. Ada yang membawa lembu keluar kandang, ada yang bertugas melepaskan ayam itik dari reban manakala kakakku membantu ibu membuat kuih.
Kami diberi belanja sekolah hanya 20 sen seorang. Wang sebanyak itu cukup untuk membeli segelas air manakala nasi diberi percuma oleh kerajaan melalui Skim Bantuan Penduduk Miskin Sekolah Luar Bandar .Kami tidak pernah meminta duit belanja lebih kerana kami faham kesukaran ibu bapa kami mencari rezeki bagi menyara  kehidupan sebuah keluarga yang besar. Kadang-kadang timbul rasa kasihan melihat ayah yang terpaksa melakukan dua kerja dalam satu hari. Selain itu, dia juga turut menanam padi. Biasanya pada waktu malam, selepas kami adik beradik selesai menyiapkan kerja sekolah, Kami bergotong-royong mengurut badan dan betis ayah. Usia ayah yang semakin lanjut ditambah pula dengan kerja yang banyak menggunakan kudrat membuatkan urat-urat dalam badan ayah bersimpul manakala tulang pinggang ayah juga turut terasa sakit.
Walaupun ibu dan ayah tidak pernah bersekolah, tetapi kami sangat mengagumi ibu dan ayah kerana boleh mendidik anak-anaknya penuh disiplin. Ayah merupakan seorang yang tegas dan garang. Dalam mendidik anak-anak, ayah tidak mengamalkan sikap pilih kasih , baik anak yang sulung mahupun adik yang bongsu semua dibelasah sama rata sekiranya melakukan kesilapan. Yang paling ayah marah ialah ponteng sekolah. Oleh sebab itulah, kami adik beradik mendapat sijil kehadiran 100% setiap tahun. Kadang-kadang cikgu telah memarahi kami kerana hadir juga ke sekolah walaupun sakit.
 Walaupun ayah seorang yang garang, ada masanya dia boleh dibawa bergurau. Dia tidak pernah menghalang sekiranya sekali sekala kami ingin mendapatkan hiburan di luar terutamanya jika ada persembahan di kampung kami seperti pertunjukan silat, persembahan dikir barat, wayang kulit, wayang pacak atau Mak Yong. Mungkin ayah sedar dia tidak mampu untuk menyediakan peti televisyen bagi hiburan anak-anak apatah lagi untuk membawa anak-anak pergi berkelah atau melancong.
 Ayah tidak pernah membeli alatan mainan kepada kami. Oleh sebab itu, kami adik beradik begitu kreatif mencipta permainan sendiri berasaskan barangan terbuang. Kereta tin milo atau tin susu dan rim basikal terbuang adalah antara kenderaan yang kami cipta untuk menjadi permainan kami pada masa lapang. Kami juga terpaksa berusaha sendiri untuk mendapat wang sekiranya ingin memiliki sesuatu barangan yang diidam –idamkan. Ada kalanya , kami menjual botol-botol minuman, tin-tin buruk dan menjual buah-buah hutan seperti buah salak hutan ataupun buah kelubi yang kami cari sendiri.
Mengenangkan rentetan sejarah kehidupanku masa lampau kekadang aku begitu iri hati dengan budak-budak sekarang yang segalanya mewah. Ibu bapa sentiasa mengikut kehendak hati anak-anak. Apa saja yang dipinta oleh anak-anak, mudah saja ditunaikan oleh ibu bapa. Budak-budak sekarang tidak lagi bermain permainan yang dicipta daripada barangan terbuang ,tetapi barangan elektronik yang berharga ratusan ringgit menjadi pilihan. Kereta dan helikopter kawalan jauh,Play station 1,2 dan 3, gitar elektrik, gameboy, mainan barbie, telefon bimbit yang canggih dam bermacam lagi permainan yang mahal-mahal dibeli oleh ibu bapa demi menurut kemahuan anak-anak.
Budak-budak sekarang begitu susah untuk dimarahi ataupun dipukul oleh ibu bapa. Sekiranya sesuatu diingin tidak dapat ditunaikan oleh ibu bapa, mereka boleh merenggek, merajuk atau mengamuk , dan yang pastinya dengan lemah lembut ibu bapa mereka akan memujuk mereka . Tidak seperti aku dahulu, pantang buat silap, sepak terajang akan singgah di tubuh badanku. Dibaling dengan kayu api ,dibedal dengan tali pinggang atau tali timba, dihantuk kepala ke dinding dan sebagainya sudah menjadi kebiasaan bagiku.
Budak-budak sekarang amat beruntung kerana ibubapa mereka tidak pernah lupa untuk menyambut hari kelahiran mereka. Satu parti  yang besar dirancang untuk disambut bersama dengan kawan-kawan dan sanak saudara. Begitu gah sekali majlis sambutan hari lahir anak-anak mereka. Hadiah-hadiah yang istimewa juga turut disediakan. Berbanding dengan aku dahulu, ibu bapuku tidak pernah ambil tahu bila tarikh lahirku, apatah lagi untuk menganjurkan satu parti hebat dan menyediakan hadiah yang menarik. Kadang-kadang aku sendiri pun lupa tarikh lahir aku.
Budak-budak sekarang sungguh bertuah kerana ibi bapa mereka sentiasa merancang destinasi untuk membawa anak-anak pergi bercuti setiap kali musim cuti persekolahan. Sebut saja ke mana anak hendak pergi sama ada dalam negara atau luar negara pasti akan dibawa. Berbanding aku dahulu, sebaik sahaja cuti sekolah maka tugasku juga bertambah. Aku terpaksa menolong ayah bertukang membuat rumah atau menolong ibu memunggut susu getah. Ibu bapaku tidak pernah membawa aku melancong ataupun berkelah di tepi pantai atau ke hutan lipur air terjun. Jauh sama sekali untuk membawa aku sekeluarga bercuti ke luar negara.
Budak-budak sekarang beruntung kerana ibu bapanya sentiasa membeli baju-baju baharu sepanjang masa. Apabila tibanya waktu buka sekolah,ibu bapanya menyediakan beberapa pasang seragam sekolah untuk dipakai bergilir-gilir ke sekolah. Duit belanja sekolah juga diberi melebihi yang sepatutnya . Tidak seperti aku dulu, untuk mendapat baju baharu terpaksa tunggu ketibaan  musim perayaan. Itupun bapaku hanya beli kasut sekolah saja untuk buat beraya kerana tidak mahu rugi dan membazir. Uniform sekolahku hanya sepasang untuk setahun. Duit belanja sekolahku juga tidak lumayan iaitu cuma dua puluh sen saja. Kadang-kadabng aku terpaksa ‘ikat perut’ menahan kelaparan kerana ketiadaan duit untuk makan. Baju dan seluar harian ada kalanya terpaksa bergilir-gilir dengan abang-abang.
Budak-budak sekarang lagi beruntung kerana mereka dibekalkan dengan buku-buku kerja yang terkini untuk belajar. Ada sesetengah ibu bapa menghantar anak  mereka ke pusat tuisyen atau menjemput guru datang ke rumah untuk memberi tuisyen kepada anak-anak. Mereka belajar dengan selesa di atas meja dan di bawah lampu kalimantang yang terang benderang. Sejuknya angin kipas dan nyamanya penghawa dingin menambahklan lagi keselesaan untuk belajar. Tidak seperti aku, aku dahulu belajar hanya semata-mata berpandukan buku teks yang lapuk isi kandungannya. Tidak ada buku kerja intensif untuk aku buat latihan, tidak ada internet untuk aku mendapatkan bahan maklumat dan tidak ada soalan-soalan ramalan bagi membantu aku memantapkan lagi penguasaanku dalam sesuatu mata pelajaran. Aku membaca sambil meniarap di atas lantai berlapikkan tikar mengkuang dan diterangi oleh cahaya pelita minyak tanah. Ayahku tidak pernah menghantar aku pergi tusyen. Aku lebih banyak menghafal fakta dalam buku teks berbanding membuat latihan.
Budak-budak sekarang beruntung kerana ibu bapa sentiasa menyediakan makanan yang lazat-lazat dan berkhasiat untuk dinikmati. Kadang-kadang ibu bapa mereka membawa anak-anak ke restoran-restoran mewah atau ke hotel-hotel untuk menikmati makan tengah hari atau makan malam. Mereka boleh makan dengan sekenyang-kenyang dan sepuas-puasnya. Berbanding  dengan aku dahulu, ibu bapaku tidak pernah membawa aku ke restoran ataupun ke hotel. Lauk yang disediakan oleh ibuku untuk makan ala kadar sahaja. Masakan tradisional yang kurang menggunakan modal seperti Ikan masin, telur ayam kampung, gulai lemak telur itik, kerabu pucuk paku, sayur putih pucuk labu atau masak gulai lemak pucuk ubi kayu dengan ubi keledek adalah antara lauk yang biasa dihidangkan oleh ibu untuk ayahku dan anak-anaknya. Kadang-kadang aku pergi mencari ikan darat di sawah atau sungai untuk dibuat lauk. Ada kalanya aku pergi memburu ayam hutan, atau memasang jerat pelanduk di hutan untuk mempelbagaikan lauk pauk. Ada kalanya juga aku terpaksa mengalas perut dengan menjamah ubi atau pisang rebus. Tapi aku tidak kisah kerana ayahku pernah berkata” kita hidup bukan hanya untuk makan, tetapi kita makan hanya untuk hidup”.
Pendek kata, budak-budak sekarang amat beruntung kerana segala kerja dilakukan oleh ibnu atau orang gaji. Mereka tidak perlu kepenatan membasuh pakaian sendiri, memasak sendiri, malahan kalau hari minggu mereka boleh tidur semahu-mahunya. Tidak seperti aku dulu, pakaian mesti dibasuh sendiri, kalau ibu lambat pulang dari sawah , aku terpaksa memasak sendiri nasi dan pandai-pandailah mencipta lauk sendiri, tolong angkut air di perigi, tolong punggah kayu api dan dan sebagainya. Walaupun hari minggu, aku tidak diberi peluang untuk tidur dan berehat sepuasnya. Ayahku sangat marah sekiranya aku tidur kembali selepas sembahyang subuh . Aku dan adik beradikku mesti melakukan apa-apa kerja yang patut. Ibu aku kata,”Orang yang bangun lewat susah untuk mendapat rezeki”.
 Kini aku sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Ayahku sudah lama meninggalkan aku buat selama- lamanya tetapi ibu masih lagi ada . Namun begitu, aku masih lagi merindui ayah. Segala ilmu dan pengalaman yang aku lalui sepanjang hidup bersama ayah masih segar dalam ingatanku. Sifat garang ayahku dalam mendidik anak-anaknya jelas menampakkan kejayaan.  Adik beradikku yang ramai, walaupun tidak ada yang berjawatan dan berpendapatan tinggi tetapi mereka boleh berdikari sendiri dan hidup berkeluarga tanpa bantuan ayah dan ibu. Anak-anak ayah aku tidak ada penagih dadah, tidak ada bohsia atau bohjan, tidak ada mat rempit, tidak ada samseng jalanan, tidak ada pencuri, perompak, penyamun, peragut, tidak ada seorang pun yang buang anak, tidak ada yang merengkuk dalam penjara, tidak ada kaki clubbing dan kaki botol serta tidak ada seorangpun yang menjadi terorist. Kadang-kadang kami berkumpul anak beranak untuk menyambut hari lahir ibu setiap dua kali setahun. Tidak lupa juga kami sering mengadakan majlis tahlil untuk mendoakan semoga roh ayah dicucuri rahmat yang mana imamnya dilantik dalam kalangan kami.
Nasihatku kepada generasi pemimpin yang akan datang, Sayangilah dan hormatilah ibu bapa kita kerana banyak pengorbanan yang mereka lakukan untuk membesarkan kita. Hormatilah guru kerana mereka adalah gedung ilmu yang boleh menjadikan kita bijak pandai. Jauhilah najis dadah kerana dadah sudah jelas boleh merosakkan dan menjahanamkan kehidupan seseorang. Jadilah generasi yang bermanfaat untuk diri, keluarga, bangsa agama dan negara.