Thursday 1 November 2012

TUSYEN BAHASA MELAYU PERCUMA DARIPADA EN YUSDIN


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Bertemu lagi dalam arena kedua untuk membincangkan teknik menjawab kertas dua Bahasa Melayu.  Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah selama 2 jam lima belas minit.

Apa yang terkandung dalam soalan kertas 2 ?

Soalan 1 ialah bahagian rumusan. Bahagian ini cukup senang kerana kamu hanya perlu mengutip isi-isi penting yang sudah sedia ada dalam petikan. Biasanya setiap petikan mempunyai sekurang-kurangnya LAPAN isi tersurat tapi kamu perlu dapatkan cuma ENAM isi sahaja kemudian cantum-cantum menjadi satu rumusan dengan menggunakan penanda wacana yang sesuai.

Ok.. langkah pertama, sila baca dulu soalan dan fahami kehendak soalan. Biasanya setiap soalan ada kata kunci contohnya Usaha-usaha atau langkah-langkah atau punca-punca atau kesan-kesan dan seumpamanya. Untuk perenggan pertama, hanya satu baris ayat sahaja tetapi kamu mesti tukar kata kunci tersebut dengan perkataan yang seerti atau sinonim dengannya. Contohnya..

Soalan : Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan kesan-kesan usaha tersebut kepada negara.
Contoh jawapan untuk pendahuluan : Petikan membincangkan langkah-langkah/cara-cara/kaedah-kaedah/tindakan-tindakan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam di negara ini.  ( 2m)
awak boleh hafal ayat diatas kerana semuanya sama saja Cuma tukar kata kunci saja. Di negara ini seperti yang saya gariskan itu wajib ada. Kalau tak ada kurang satu markah. TOLONG JANGAN SAMBUNG DENGAN  ISI TERSIRAT. Kalau kamu sambung markahnya KOSONG.

Contohnya : : Petikan membincangkan langkah-langkah/cara-cara/kaedah-kaedah/tindakan-tindakan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam di negara ini dan kesan-kesannya kepada negara. ( 0 m )

Kemudian kamu masuk kepada isi-isi TERSURAT. Gunakan penanda wacana dan kata hubung yang sesuai.

Antara langkah yang boleh diambil ialah ...........(isi 1 )............................Selain itu..............( isi 2)................................juga merupakan satu langkah. Kaedah seterusnya.........(.isi 3 ).................... .. . Usaha lain lagi yang boleh dilakukan ialah............(isi 4 )......................................Selain daripada itu kita juga boleh ................(isi 5 )............Akhir sekali .......( .isi 6 )..........

 ( pelajar sila hafal sarang ini dan kamu perlu masukkan isi dalam sarang ni saja ( ruang kosong ).

Perenggan 3 ( isi tersirat )

Tolong fikirkan hanya dua kesan / kabaikan kepada negara. Fikirkan yang positif saja.
Kesan yang diperoleh antaranya dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Selain itu kos pengurusan dan perbelanjaan kerajaan dapat dikurangkan.

perenggan 4 ( penutup )

Kesimpulannya, semua pihak perlu/hendaklah/haruslah .....(rujuk tajuk )....................................agar/supaya/demi...........(nyatakan yang positif untuk kebaikan semua ).......  (2m)
( Calon boleh hafal ayat penutup kerana semuanya sama )

SOALAN 2 Petikan Pemahaman.

Biasanya bagi soalan 1 pemahaman, soalan berkisar kepada memberi maksud frasa. Cuba kamu tukar keseluruhan frasa dengan perkataan yang sama erti/sinonim dengan frasa tersebut. Cuba buat kalau kamu tidak tahu pun. jangan tinggal kosong. Mana tahu kot-kot nak dapat markah ‘tersepak’.

Soalan 2 pemahaman biasanya jawapan ada dalam petikan. Kamu kenalpasti ‘kunci soalan’ kemudian cari jawapannya. Kalau kamu tidak yakin, Cuba beri  beberapa jawapan agar dalam banyak-banyak jawapan yang diberi, ada yang betul.
Soalan 3 pemahaman biasanya soalan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif ( KBKK ). Soalan jenis ni sebenarnya ‘makanan’ kerana kamu perlu nyatakan yang positif dan logik akal. Kamu cuba beri 4 isi yang difikirkan sesuai. TOLONG JANGAN JAWAB DALAM BENTUK POINT-POINT. Jawab dalam bentuk ayat rumusan.

CONTOH: Pada pendapat anda, ( soalan KBKK ), apakah bentuk ganjaran yang perlu diberikan kepada penjawat awam yang telah berkhidmat dengan cemerlang?

Contoh Jawapan : Antara bentuk ganjaran yang boleh diberikan kepada penjawat awam yang berkhidmat dengan cemerlang ialah menawarkan kenaikan gaji tahunan. Selain itu, kerajaan perlu memberi kenaikan pangkat. Ganjaran lain yang boleh diberikan ialah menawarkan pakej pelancongan atau pakej umrah. Akhir sekali memberi sijil penghargaan atau anugerah khas.


BAHAGIAN KOMSAS
Biasanya pelajar-pelajar paling takut bahagian KOMSAS sebab susah hendak faham dan agak membosankan. Walau bagaimanapun, ada teknik untuk memudahkan pelajar menjawab soalan ini. Bagi pelajar yang pintar memang tidak ada masalah, tapi saya mahu fokus kepada pelajar sederhana dan lemah. 

Soalan kosmas yang disoal adalah sebanyak tiga bahagian iaitu soalan 2(b), 2(c), 2(d). Tiga bahagian yang disoal memang sukar untuk diramal sama ada sajak, drama, cerpen, puisi atau prosa klasik. Kemudian, dalam satu-satu bahagian pula amat luas kerana mungkin komsas dalam tingkatan 4 yang keluar dan tajuk khusus pula kita tak boleh nak ramalkan. Jadi bagaimana?

OK, sekarang kita pedulikan tajuk mana dan bahagian mana yang hendak keluar. Yang paling utama, markah tu tidak boleh kita cicirkan. Kita cuba jawab semua.
Menjadi kebiasaan dalam sajak yang biasa ditanya ialah maksud sajak, gaya bahasa, nilai dan pengajaran. Kita cuba kuasai soalan KBKK iaitu soalan pada pendapat kamu..., Kebiasaannya setiap bahagian wajib ada soalan KBKK. Kamu jawab seperti jawapan yang saya nyatakan di atas berdasarkan kata kunci soalan. Jawap yang positif. Kemungkin besar jawapan yang diberikan itu betul. Ingat !!, Soalan KBKK ni ‘makanan’ kamu.

Kalau cerpen atau drama, fokus kepada latar masyarakat. Selain itu, beri penekanan kepada watak dan perwatakan. Nilai dan pengajaran juga kamu perlu kuasai secara sepintas lalu.

Prosa Klasik memang susah kalau kamu nak faham cerita. Cukup kamu baca sinopsis saja untuk mengentahui jalan cerita agar senang untuk kamu buat contoh.
Dalam komsas, biasanya soalan 1 adalah ditanya tentang maksud frasa. Cuba jawab sperti petua yang saya beri di atas. Soalan 2 pula biasanya berkaitan dengan petikan teks. Jawapan ada kat dalam petikan. Cari saja kemudian tulis berdasarkan kehendak soalan. Soalan 3 biasanya soalan KBKK. Hah! itu jangan kamu biar kosong. Jawab aje apa yang kamu fikirkan positif. Kadang-kadang soalan KBKK tak perlu bergantung kepada petikan kerana soalan ni meminta pendapat kita. Beri pendapat kita yang kita fikirkan baik. SELAMAT MENCUBA.

SOALAN 3 : Pengentahuan dan Kemahiran Bahasa

3 (a) bina ayat: soalan ni biasa pelajar tinggal kosong kerana pelajar tidak faham maksud perkataan. JANGAN TINGGAL KOSONG. Cuba kamu buat juga takut-takut dapat markah ‘tersepak’. Bina satu ayat tunggal yang cukup mudah tetapi biar betul. Tapi perlu diingat, setiap binaan ayat mesti ada subjek dan juga predikat barulah ayat tersebut tidak tergantung dan lengkap.Tak perlu bina ayat susah-susah.  Ingat! setiap perkataan yang diberikan tidak boleh ditambah dengan imbuhan atau dijadikan peribahasa.

CONTOH : Kata dasar lama : Bina saja ayat mudah –  Saya suka menyimpan duit lama. atau: Saya tidak boleh lama berada di situ.

Ok.. Untuk memudahkan kamu, bina saja ayat yang berkaitan dengan kamu atau situasi yang ada di sekeliling kamu hari-hari berdasarkan kepada kata dasar yang diberi. INGAT ! BIAR AYAT ‘BODOH’ ASALKAN AYAT BETUL. YANG PENTING 1 MARKAH UNTUK SETIAP BINAAN AYAT.

3 (b) Menganalisis ayat - asasnya kamu mesti tahu tentang  pola binaan ayat dan juga apa subjek dan apa predikat. Antara soalan yang diajukan dalam bahaagian ini biasanya berkaitan dengan cakap ajuk/cakap pindah/ ayat aktif/ayat pasif/ dan sebagainya.  Cubalah yang terbaik. Nak fokus pun susah.  Harap soalan yang keluar tu mudah saja untuk kamu jawab.

3 (c) kenal pasti kesalahan ejaan dan imbuhan.  Bahagian ini cukup mudah, kerana senang kesan kesalahan ejaan dan imbuhan.  Kalau ayat jadi tak gramatis, kat situlah silapnya. Soalan ni macam cari perkataan tersembunyi saja.

3 (d) kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan tatabahasa. Soalan ni juga mudah.  Bisanya kesalahan istilah dan tatabahsa senang dikesan. Kenal pasti kemudian betulkan.

3 (e) Peribahasa. Pelajar cukup tidak suka bahagian ini sebab hendak bina ayat berdasarkan peribahasa memang sukar. Sama juga dengan hendak memberi maksud peribahasa, memang susah sikit tapi kena banyak rujuk buku atau google. Pelajar mesti rajin berusaha. Tak ada jalan mudah untuk berjaya.



SOALAN 4 ( NOVEL ). (15 markah )

Untuk soalan Novel, pelajar MESTI mengentahui jalan cerita setiap novel sama ada Novel PAPA ( ting 4 ) atau novel Konserto Terakhir ( ting 5). Biasanya soalan novel memerlukan kita menjawab dengan disertai contoh. Setiap peristiwa dalam kedua-dua novel ini adalah contoh yang boleh diberikan berdasarkan soalan yang ditanya.

Contoh soalan : Dalam sesebuah novel, terdapat peristiwa-peristiwa yang menarik perhatian pembaca. Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, pilih dua peristiwa yang menarik dan nyatakan sebab peristiwa itu berjaya menarik perhatian anda.

Contoh jawapan : Novel yang saya kaji ialah Papa (kahirnya kau tewas jua . Terdapat banyak peristiwa dalam novel  tersebut, salah satunya ialah Intan Maliana telah mengandung anak kedua. Hal ini membimbangkan orang-orang yang rapat dengan ibunya kerana ibunya pernah mengalami komplikasi. Peristiwa ini mendorong pembaca  meneruskan pembacaan untuk mengetahui perkara seterusnya yang akan berlaku kepada Intan Marliana.

Peristiwa seterusnya ialah Intan Marliana koma selepas melahirkan anak kembarnya akibat komplikasi yang dihadapinya, Peristiwa ini menunjukkan ketabahan diri papa mengharungi cabaran untuk menjaga mama yang koma.

Contoh soalan lain : Berdasarkan  buah novel yang anda kaji, huraikan dua latar masyarakat yang dipaparkan dalam novel tersebut.

Novel yang saya kaji ialah Papa (akhirnya kau tewas jua ). Antara latar masyarakat dalam novel tersebut ialah masyarakat yang mementingkan pendidikan dan gigih berusaha. Hal ini boleh dilihat dengan jelas apabila Intan Juliana begitu rajin mengulang kaji pelajaran hingga berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM.  Selain itu, dalam novel tersebut memaparkan masyarakat bandar  yang bekerja sebagai pendidik. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak Jefri dan Intan maliana yang merupakan pasangan suami isteri yang tinggal di Kelana Jaya. Jefri merupakan seorang pensyarah ekonomi di kolej manakala Intan Maliana seorang guru di Sekolah Seri Gading.

Contoh Jawapan 2

Novel yang saya kaji ialah Konserto Terakhir. Antara latar masyarakat dalam novel tersebut ialah masyarakat bandar yang memandang status dan pangkat. Hal ini jelas terpapar pada watak Datin Salmah yang memandang hina terhadap Hilmi yang datang dari kampung dan berpendidikan setakat darjah empat sekolah Melayu. Selain itu,  dalam novel ini juga turut memaparkan masyarakat yang meminati bidang muzik dan menjadikan muzik sebagai kerjaya. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak Hilmi yang amat meminati muzik dan berusaha untuk belajar muzik dengan Pak Bakar untuk mencapai cita-citanya.
Masyarakat bandar yang mengabaikan suruhan agama. Buktikan...
Maknanya, semua jawapan memerlukan peristiwa sebagai bukti atau contoh. Tidak boleh tidak.. kamu mesti baca novel ni sekurang-kurangnya baca sinopsis novel kalau malas sangat nak baca keseluruhan novel.
Satu lagi petua, kamu kena tengok bentuik soalan nak apa? persoalan ?? nilai??.. pengajaran ??. Ketiga-tiga ni isinya boleh dikatakan hampir sama dan kamu boleh gunakan ketiga-tiganya untuk jawab dengan syarat.. kata kunci mesti tukar.

Contoh soalan : Sebuah novel yang menarik banyak bergantung kepada persoalan yang diutarakan oleh pengarang. Huraikan tiga persoalan sebuah novel yang telah anda pelajari.

Contoh jawapan: Novel yang saya kaji ialah PAPA.. (akhirnya kau tewas jua! ) karya Deana Yusof. Terdapat banyak persoalan yang dipaparkan dalam novel tersebut antaranya persoalan tentang sikap simpati sesama rakan setugas. Hal ini dapat dibuktikan apabila rakan Intan Maliana dan Jeffri hadir untuk menziarahi jenazah bayi yang baru dilahirkan sebelum bayi kembar tersebut dikebumikan. Selain itu, persoalan tentang persahabatan tanpa mengira keturunan. Hal ini dapat dibuktikan... (rujuk peristiwa ) Seterusnya, persoalan tentang kepentingan pelajaran dalam diri .. buktinya.. (rujuk peristiwa berkaitan )

Contoh soalan : Berikan 3 nilai murni yang terdapat dalam novel yang anda pelajari.

Contoh jawapan:  Novel yang saya kaji ialah PAPA ( akhirnya kau tewas jua! ) karya Deana Yusof. terdapat banyak nilai murni yang dipaparkan dalam novel tersebut yang boleh kita jadikan panduan antaranya Baik Hati. Hal ini jelas terpapar dalam keluarga Jefri menerima Mak Cik Noraini yang menghadapi tekanan jwa akibat suami dan dua orang anaknya meninggal dunia dengan menjadikan perempuan sebagai pembantu rumahnya. Seterusnya nilai berdikari, contohnya Julia tinggal di asrama tempatnya belajar di Matrikulasi UIA kerana keinginannya hidup berdikari tanpa menyusahkan orang lain terutama kedua ibu bapanya. Kasih sayang, Contoh..., Setia pada sahabat, contohnya...... Simpati, contohnya.....

Contoh soalan : Berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam novel yang anda pelajari.

Contoh jawapan : Pendahuluan sama saja seperti di atas. Antara pengajaran yang terdapat dalam novel PAPA (akhirnya kau tewas jua! ) karya Deana Yusof ialah kita perlu betanggungjawab terhadap isteri sama ada dalam keadaan susagh atau senang. Contohnya, sebagai seorang suami, papa telah menjalankan amanahnya dengan menjaga mama yang sedang koma.  Selain itu, kita hendaklah bersimpati terhadap orang lain yang menerima nasib yang malang. Hal ini dapat dibuktikan apabila rakan Intan Muliana dan Jefri hadir untuk menziarahi yang meninggal semasa baru dilahirkan. Pangajaran seterusnya ialah, kita haruslah redha menerima ketentuan tuhan. Contohnya Papa dan Mama redha dengan nasib malang yang menimpa mereka. Walaupun kedua anak kembar tidak dapat selamatkan, tetapi papa dengan mama tetap redha menerimanya. Papa juga redha dengan kematian Intan Muliana.
Soalan dan jawapan dipetik dan diubah suai daripada buku Khairuddin Ayip.

Okeylah... sampai di sini dulu petua yang dapat cikgu kongsikan dengan kamu kerana cikgu sibuk dengan hal-hal lain. Kalau apa yang cikgu beri ni boleh membantu kamu yang bakal menghadapi peperiksaan SPM, jangan kedekut untuk dikongsi dengan rakan-rakan lain yang tidak tahu. Cikgu minta maaf sekiranya apa yang cikgu bentangkan  di ruangan ini ada banyak salah dan tidak selari dengan apa yang cikgu pusat tusyen kamu ajar. Kamu ikutlah apa yang kamu rasa betul kerana SEMUA cikgu adalah MANUSIA biasa yang masing-masing mempunyai kelebihan dan kepakaran tersendiri.  Satu lagi, kalau ada banyak kesalahan bahasa yang dapat kamu kesan, saya minta maaf kerana saya menulis bukan dalam bahasa ilmiah tetapi dalam bahasa santai saja. Saya pun tidak semak kembali apa yang telah saya tulis sebab kekangan masa.
TAPI INGAT !, SEMUA CIKGU MAHUKAN ANAK-ANAK MURIDNYA JADI BIJAK PANDAI. BUKAN JADI PENYANGAK. SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN. GOOD LUCK. YOU CAN DO IT.


Wednesday 31 October 2012

PERSEDIAAN ILMU SEBELUM MASUK PERIKSA


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua anak-anak murid cikgu

Pertama sekali cikgu nak ucapkan SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM 2012. Di harap anda semua sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan yang begitu penting untuk masa depan anda.

Untuk kertas Bahasa Melayu, cikgu hendak mengingatkan kamu supaya menguasai  TEKNIK menjawab, bukannya menghafal fakta. Kertas bahasa Melayu tidak ada fakta untuk dihafal kerana skop yang hendak disoal dalam peperiksaan begitu luas tapi kamu perlu KREATIF untuk mengecilkan skop tersebut.
Dengan cara bagaimana?

Ok! Kita mulakan dengan kertas 1 bahagian A.  Bahagian ini merupakan Karangan Berpandu yang memerlukan pelajar mengarang sebanyak tidak lebih 250 patah perkataan. Bahagian ini cukup mudah kerana isi-isi telah diberi. Kamu perlu menghuraikan TIGA isi sahaja untuk mendapat sekurang-kurangnya 28 markah. Kemahiran mengolah isi dengan menggunakan frasa-frasa yang sesuai perlu dalam bahagian ini. Setiap perenggan perlu disusun dengan tertib dan tulisan mesti kemas. Untuk perenggan pertama, kamu mesti mencipta dahulu PENDAHULUAN berdasarkan tajuk yang diberi secara umum. Boleh gunakan ungkapan-ungkapan menarik untuk memulakan pendahuluan anda contohnya Marcapada, Dasawarsa dan seumpama dengannya. Anda juga perlu ada penutup perenggan.

Setiap isi kamu perlu membina perenggan baru yang mana setiap perenggan perlu ada penanda wacana yang sesuai, ungkapan-ungkapan menarik dan perlu ada pengukuhan dalam menegakkan hujah anda semasa ingin menutup hurain anda. Contoh pengukuhan ialah .. Dengan ini jelas kepada kita bahawa.....( masuk isi utama ) , Sudah terang lagi bersuluh dan tidak perlu disangkal lagi bahawa...... (masuk isi utama ). Perenggan penutup..Kesimpulannya. dapatlah dirumuskan bahawa.....(hurai 3 isi utama secara ringkas) dan molek sekiranya diakhiri penutup anda dengan satu peribahasa yang sesuai atau kata-kata hikmat atau madah-madah pujangga.

Untuk bahagian ini calon-calon mesti cuba berusaha untuk mengutip markah semaksimum mungkin kerana bahagian ini banyak membantu calon. Setiap karangan perlu dibuat dengan tertib mengikut susunan yang teratur.

KERTAS 1 Bahagian B  Karangan Umum ( 100 markah )
Bahagian ini merupakan nadi utama kertas Bahasa Melayu. Kemahiran seseorang dalam menguasai bahasa banyak bergantung kepada tahap penguasaan calon dalam penulisan. Bagi pelajar yang pintar, bahagian ini merupakan ‘kilang markah’ buat mereka.
Ok! pelajar yang pintar cikgu tidak runsing tapi pelajar yang sederhana dan lemah perlu cikgu tunjukkan cara penyelesaian untuk lulus dengan sedikit keselesaan bukan lulus cukup makan.

Dalam bahagian ini, calon diberikan 5 soalan yang perlu dijawab hanya satu soalan sahaja seberapa banyak perkataan yang kamu mampu. Tapi perlu diingat, sekiranya calon menjawab soalan ini lebih kurang 350 patah perkataan, markah calon sekadar  ‘ C ‘ sahaja. Mahu tidak mahu, kamu kena jawab lebih daripada 500 patah perkataan walau dengan apa cara sekalipun.

Bagaimana hendak kecilkan skop dalam bahagian ini ? mengikut kajian yang saya buat berdasarkan kertas peperiksaan yang lepas-lepas, saya dapati soalan-soalan hanya berkisar kepada beberapa KPI iaitu:
Soalan 1 hanya soal yang berkaitan dengan diri Contohnya, bagaimana anda menggunakan masa lapang anda dengan berfaedah?, atau sebagai seorang ketua pengawas, apakah langkah-langkah  yang anda lakukan untuk melaksanakan tanggungjawab anda? atau apakah kepentingan-kepentingan membaca kepada anda? atau jelaskan ciri-ciri pusat pengajian tinggi yang menjadi idaman anda.

soalan 2 hanya berkait dengan keluarga contohnya, apakah peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam menangani kebejatan perlakuan anak-anak masa kini atau hubungan baik sesama ahli keluarga dapat menjamin masa depan gemilang, atau keluarga bahagia penentu masa depan anak-anak atau peranan keluarga dalam membentuk jati diri remaja, apakah peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa untuk menarik minat membaca dalam kalangan anak-anak, dan seumpamanya.

soalan 3 hanya berkait dengan masyarakat  atau sekolah contohnya keburukan-keburukan penggunaan telefon bimbit kepada pelajar sekolah atau peranan-peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat dalam membantu menurunkan kadar jenayah, atau kesan-kesan buruk kebanjiran pendatang asing tanpa izin, atau peranan pihak sekolah dalam membantu pelajar menjadi seorang pemimpin atau usaha-usaha untuk memajukan sektor pelancongan atau usaha-usaha untuk meningkatkan hasil pertanian dan seumpamanya.

soalan 4 hanya berkait dengan antarabangsa contohnya peranan PBB dalam manangani keganasan dan rusuhan etnik, atau peranan masyarakat antarabangsa dalam menangani pemerdagangan manusia atau huraikan peranan yang boleh dimainkan oleh negara-negara kaya membantu negara-negara miskin, atau kaedah-kaedah yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk membantu rakyat negara asing yang telibat dengan perang saudara dan seumpamanya.

soalan 5 hanya fokus kepada KOMSAS sahaja contohnya soalan berdasarkan kepada pantun atau peribahasa atau kepentingan sastera dalam kehidupan, atau  faedah-faedah kita belajar sastera atau nyatakan pengajaran yang diperoleh berdasarkan salah satu novel yang kamu baca dan seumpamanya.
Oleh yang demikian, seseorang calon perlu menguasai hanya salah satu skop di atas. Cuba banyakkan latihan  untuk fokus  kepada soalan 2 atau 3 kerana soalan itu lebih selamat kerana hanya berkisar kepada pengalaman calon dan apa yang berlaku setiap hari di sekeliling kita.

Ok, kita ambil soalan 2. kamu seboleh-bolehnya senaraikan dulu apa yang boleh dimainkan oleh ibu bapa untuk merapatkan hubungan kekeluargaan kerana dengan hubungan kekeluargaan tunjang dalam membnetuk kepribadian anak-anak. Salah satunya ialah IBU BAPA BERPERANAN MENGAWASI PERGERAKAN ANAK-ANAK. maknanya ibu bapa tidak boleh melepaskan anak-anak membesar tanpa pengawasan sebab remaja mudah terpengaruh dengan tingkah laku rakan sebaya. Ibu bapa perlu tahu dengan siapa anak dia berkawan dan hadkan masa anak-anak keluar. Beri perhatian yang lebih dan sama rata pada semua anak-anak dan tidak harus mempunyai sifat pilih kasih terhadapa anak-anak. IBU BAPA JUGA PERLU MAKAN BERSAMA ANAK-ANAK SEKURANG-KURANGNYA SEKALI SEHARI kerana pada waktu ini ibu bapa boleh berinteraksi dengan anak-anak untuk bertanya khabar dan bertanya tentang masalah yang dihadapi. Selesaikan masalah anak-anak sebaik mungkin dan pada masa ini ibu bapa berkesempatan untuk memberi nasihat kepada anak-anak. IBU BAPA PERLU MEMBERI PENDIDIKAN AGAMA KEPADA ANAK-ANAK sama ada ajar sendiri atau hantar mendapatkan pendidikan agama di sekolah agama. Praktikkan amalan-amalan murni dalam rumah seperti sembahyang berjemaah, memberi salam semasa masuk dan keluar rumah, baca doa sebelum makan dan sebagainya. IBU BAPA PERLU MENYEDIAKAN MASA BERKUALITI BERSAMA ANAK-ANAK IAITU MEMBAWA ANAK-ANAK PERGI MELANCONG ATAU BERSIAR-SIAR SETIAP KALI CUTI SEKOLAH ATAU HUJUNG MINGGU. Hal ini boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan dan anak-anak merasa tidak terpinggir.  IBU BAPA PERLU MENUNJUKKAN TELADAN YANG BAIK DAN JANGAN SEKALI-KALI BERGADUH SUAMI ISTERI DI HADAPAN ANAK-ANAK. Hal ini penting kerana keluarga yang haru biru memberi tekanan terhadapa emosi anak-anak yang menjurus terhadap perlakuan soaial anak-anak. Tingkah laku anak-anak juga akan menjadi lebih kasar kerana mereka memberontak. IBU BAPA JANGAN KEDEKUT UNTUK MEMUJI ANAK-ANAK  KERANA PUJIAN IBU BAPA MAMPU MEMBAKAR SEMANGAT KEPADA ANAK-ANAK UNTUK TERUS BERJAYA. Ibu bapa  juga tidak seharusnya memarahi anak-anak sekiranya pencapaian mereka agak lemah dalam peperiksaan sebaliknya perlu memberi kata-kata semangat atau hatar anak-anak mendapat pendidikan yang lebih terhadap mata pelajaran yang lemah.

Boleh dikatakan isi-isi untuk soalan 2 hampir sama.  putar-putar isi yang sama sahaja tetapi beri contoh yang sesuai dengan soalan. Calon cuma perlu menguasai teknik memanipulasi isi-isi penting dan sekiranya calon mampu selitkan ungkapan-ungkapan menarik dan peribahasa atau kata-kata pujangga dalam setiap olahan mereka merupakan satu kelebihan kepada calon tersebut. Setiap perenggan yang hendak diolah perlu tertib dengan adanya pendahuluan perenggan, penanda wacana, isi-isi yang bertepatan, huraian yang baik dan menarik, contoh-contoh yang sesuai sebagai pengukuhan, kesimpulan untuk setiap perenggan yang di selitkan madah-madah pujangga atau peribahasa atau kata-kata tokoh.

 Untuk soalan 3 yang berkaitan dengan masyarakat. Isi-isi nya juga pusing-pusing yang sama. Memang tidak jauh bezanya Cuma calon juga perlu mahirkan diri memanipulasi fakta-fakta yang sama. `salah satunya ialah PERANAN KELUARGA ATAU IBU BAPA. Apa peranan yang harus dimainkan? bagaimana caranya ? apa kesannya? Fikirkan... Selain itu, PERANAN MASYARAKAT , PERANAN INSTITUSI AGAMA SEPERTI MASJID, PERANAN BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO), PERANAN PIHAK SEKOLAH MELALUI PANITIA AGAMA ISLAM, PANITIA MORAL DAN SIVIK. apa program yang boleh dianjurkan oleh pihak sekolah dalam membentuk jati diri murni pelajar ? PERANAN KERAJAAN  menjalankan kempen kesedaran atau menyediakan peruntukkan wang untuk program-program kerohanian.  Guna saja isi-isi ini untuk menghuraikan tetapi perlu disesuaikan dengan kehendak soalan. Kalau kata kunci soalan berkehendakkan LANGKAH-LANGKAH, jawapannya cara lain tapi isi masih sama. Kalau PUNCA-PUNCA kaedah huraian lain sikit tapi fakta masih sama. Ada kalanya kita perlu terbalikkan fakta-fakta saja. Kalau pelajar yang rajin membaca dan banyak maklumat, memang tidak menjadi masalah untuk menjawab soalan  3 kerana kebiasaan peristiwa berlaku disekeliling kita sehari-hari. Pelajar yang bijak akan berfikir cara yang paling kreatif untuk membina pendahuluan kerana pendahuluan karangan yang baik dapat merangsang otak pemeriksa kertas seterusnya meletakkan hasil penulisan kita ditahap yang perlu diberi perhatian lebih untuk layak mendapat markah yang baik. Yang paling penting, kita jangan kedekut untuk mencurahkan idea sebanyak mungkin dan mesti tulis panjang-panjang.

OK,  sampai sini dulu teknik untuk menjawab soalan BM KERTAS 1. Seboleh-bolehnya, bagi pelajar yang lemah saya nasihatkan kamu hafal dua atau tiga peribahasa yang biasa digunakan contohnya bagai aur dengan tebing, kalau hendak melentur buluh, biarlah daripada rebungnya, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih dan sebagainya. Untuk kembangkan huraian, biasakan kita soal diri kita kemudian kita jawab Yang kita jawab tu lah huraiannya. Bagaimana? di mana ? siapa? kenapa? bila ? apa kesudahannya?

Thursday 12 July 2012

Entri 12 - ARTIKEL SEMPENA HARI GURU

RUMUSAN : Artikel ini aku karang untuk dimuatkan dalam akhbar Berita Harian sempena dengan sambutan hari guru baru-baru ni. Walau bagaimanapun aku tidak tahu sama ada artikel ini diterbit ataupun tidak kerana aku tidak follow up. Biarlah sama ada terbit atau tidak, itu tidak penting bagi aku cuma artikel ini sudah menjadi salah satu koleksi hasil nukilan aku sendiri untuk dikongsi dengan pembaca blog aku. Semoga mendapat manfaat daripadanya.. 



PENGORBANAN SEORANG GURU

Pada 16 Mei setiap tahun negara kita akan mengadakan sambutan Hari Guru. Hal ini penting bagi menghargai jasa guru yang tidak jemu mengajar anak-anak muridnya menjadi orang yang bijak pandai. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini sambutan hari guru sudah dipandang sepi oleh anak-anak murid. Kalau dulu, sambutan Hari Guru yang diadakan pada peringkat sekolah amat meriah sekali. Setiap acara yang diadakan membabitkan permainan antara guru dan murid. Persembahan pentas yang diadakan juga turut melibatkan guru dengan murid. Pendek kata, semua murid tertunggu-tunggu akan ketibaan hari guru. Memang tidak dapat dinafikan, sambutan hari guru yang diadakan di sekolah suatu masa dulu menjadi platform yang paling ampuh untuk merapatkan hubugan antara guru dan murid. 

Berbeza dengan keadaan sekarang, hari guru yang dianjurkan oleh pihak sekolah tidak semeriah dulu. Kebanyakan pelajar mengambil kesempatan masa yang tidak ada aktiviti pengajaran dan pembelajaran ini untuk melencong ke pusat Cyber Cafe sama ada di bandar mahupun di kampung ataupun mereka pergi melepak di pusat beli-belah. Hanya sebilangan kecil sahaja pelajar yang datang ke sekolah untuk menyambut hari guru. Itupun mungkin pelajar yang datang kerana terlibat secara langsung dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan sama ada permainan ataupun persembahan. Hari guru yang sepatutnya diraikan oleh setiap murid telah menjadi sepi sebaliknya pusat Cyber Cafe pula yang meriah sehingga tidak cukup tempat duduk. Inilah bahana teknologi yang menular dan menguasai pemikiran para pelajar kita hari ini.

Hal ini juga berkait rapat dengan sikap pelajar masa kini yang sudah hilang rasa hormat dan sayang terhadap guru. Bagi mereka, guru adalah pengacau privasi kehidupan mereka. Kebanyakan pelajar masa kini sudah tidak berminat untuk belajar di sekolah. Mungkin mereka beranggapan ilmu yang ditimba di pusat tusyen sudah mencukupi kerana sudah menjadi trend masa kini para ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke pusat tusyen. Sekiranya guru di dalam kelas mengajar sehingga ke akhir waktu serta banyak memberi kerja rumah, maka guru tersebut bukanlah guru yang menjadi kesayangan mereka. Sebaliknya sekiranya ada guru yang masuk kelas hanya mengajar ala kadar sahaja, maka guru itulah yang menjadi guru kesayangan. Guru yang ikhlas mengajar dan mendidik dipandang seperti musuh, manakala guru yang kurang mengajar di dalam kelas disanjung dan dijadikan sahabat oleh pelajar. Tidakkah pelik bunyinya? tetapi itulah realiti yang berlaku di sekolah masa kini.

Ada sesetengah guru yang seolah-olah mengajar kerusi dengan meja saja di dalam kelas manakala orang yang sepatutnya belajar dan menimba ilmu hanya buat tidak peduli dengan apa yang diajarkan guru. Ada yang tidur, ada yang bercakap-cakap malah ada yang bergurau senda semasa cikgu sedang menyampaikan pengajaran. Lebih biadap lagi, ada pelajar yang curi-curi keluar ikut pintu belakang kelas tanpa keizinan guru.

Lebih memburukkan keadaan, Ibu bapa sekarang tidak membantu guru dalam mendisiplin anak-anak. Mereka banyak menghabiskan masa untuk mengumpul kekayaan dan mengejar kemewahan hidup. Kerja mendidik anak-anak mereka diserahkan bulat-bulat kepada guru di sekolah. Meraka hanya tahu mencari silap cikgu. Tidak keterlaluan dikatakan terdapat segelintir ibu bapa datang ke sekolah untuk memaki hamun guru sekiranya mendapat laporan.  yang negatif oleh anak-anak mereka tentang sedikit salah laku cikgu atau terdapat sedikit salah faham. Sekiranya guru disiplin memanggil ibu bapa untuk berbincang tentang masalah disiplin anak-anak mereka, seribu alasan telah dicipta untuk mengelak untuk datang ke sekolah. Mesyuarat agung PIBG yang diadakan setahun sekali bertujuan untuk berbincang ke arah penambahbaikan dalam semua segi seterusnya  meningkatkan mutu pembelajaran anak-anak dan menyelesaikan masalah dalam bentuk musyawarah antara ibu bapa dan pihak sekolah, telah dipandang sepi oleh ibu bapa. Yang ramainya adalah guru-guru yang bertugas dalam mesyuarat tersebut. Ibu bapa hanya beberapa kerat saja yang datang sedangkan persediaan untuk mengadakan mesyuarat tersebut begitu rapi. Mesyuarat jawatankuasa kecil diadakan beberapa kali untuk mempersiap strategi. Persiapan pentas dan backdrop di dalam dewan mesyuarat begitu gah sekali sehingga guru yang diberi tanggungjawab terpaksa memerah otak mencari idea, memerah keringat dan membuang banyak masa tetapi persiapan yang dibuat ini macam sia-sia sahaja. Makanan yang ditempah berlambak tidak kehabisan kerana ibu bapa yang hadir boleh dibilang dengan jari. Kadang-kadang mereka datang sekadar tulis nama kehadiran selepas itu hilang entah ke mana. Begitulah keadaan sebenarnya berlaku setiap tahun sehingga untuk melantik AJK PIBG dalam kalangan ibu bapa pun tidak mencukupi dan terpaksa melantik orang yang sama.

Tak Kenal Maka Tak Cinta. Orang yang pada mulanya sangat berminat untuk menjadi seorang pendidik akan mula merasa rimas dan tertekan apabila melangkah masuk ke dunia realiti ini. Barulah mereka tahu langit itu tinggi atau rendah. Orang di luar sana hanya memandang kerja guru senang sahaja, gaji mahal, kerja setengah hari, cuti banyak, tetapi mereka tidak tahu beban sebenar menjadi seorang pendidik pada zaman siber ini. Hanya jauhari yang kenal manikam. Kalau diberi pilihan, tentu jawatan pendidik bukan menjadi pilihan diceburi tetapi keadaan mendesak menyebabkan jawatan ini menjadi keutamaan bagi pemegang ijazah yang menganggur.

Apapun, sekiranya anda sudah menjadi guru, maka bersabarlah dengan cabaran hari ini dan yang bakal mendatang, manakala bagi mereka yang berminat menjadi seorang pendidik, teruskanlah minat anda serta persiapkan diri dengan kekuatan mental dan fizikal. Kerja seorang pendidik memerlukan komitmen dan pengorbanan yang bukan sedikit. Ikhlaslah kita memberi dan menyampai kemudian bertawakal saja kepada Allah sesungguhnya kerja ini dipandang mulia di sisi Allah. Selamat Hari Guru.

Entri 11 - TEKS PIDATO

RUMUSAN : Teks pidato ini aku buat untuk anak murid aku yang akan menyertai pertandingan pidato. Pada awalnya, teks pidato dibuat sendiri oleh peserta tetapi malangnya seorang demi seorang tarik diri kerana tidak ada keyakinan untuk menyertai pertandingan itu. Nasib baik ada seorang pelajar yang sudi menjadi pak sanggup mengisi calon yang lari tanpa bertanding. Memandangkan masa pertandingan telah suntuk maka dia telah memberi syarat agar aku menyediakan teks untuk dia. Syarat tersebut tidak mampu aku tolak kerana aku juga harus berterima kasih padanya atas sebab sudi menyelamatkan keadaan yang gawat. Hal ini demikian kerana aku yang bertanggungjawab melatih dan membawa pelajar untuk menyertai pertandingan pidato. Teks pidato ini sengaja aku masukkan kat sini supaya dapat menjadi rujukan pelajar tingkatan 4 & 5 serta guru-guru Bahasa Melayu. Tajuk ni sesuai untuk menjawab BM Kertas satu karangan umum soalan nombor 2 ( perihal keluarga dan masyarakat )




TEKS PIDATO

HARUAN MAKAN ANAK, BAPA DERA ANAK SEHINGGA LUMPUH, BAPA MEMBAWA ANAK UNTUK BERHIBUR DI PUSAT KARAOKE, BAPA DAN ANAK DITANGKAP MENGEDAR DADAH, BAPA 4 ANAK DITANGKAP KHALWAT .SOROTAN-SOROTAN ITU MERUPAKAN TAJUK-TAJUK AKHBAR YANG SEMPAT SAYA PETIK MEMAPAR TENTANG KEBEJATAN PERLAKUAN SESETENGAH  SI AYAH DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK DI ABAD INI.

Sekalung apriasi kepada peneraju majlis, saf kehakiman yang arif lagi bijaksana, guru-guru, rakan-rakan serta hadirin dan hadirat yang dimuliakan.
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

ANAK KEDIDI TERBANG RENDAH,
                               HINGGAP BERLABUH DI RANTING BIDARA;
           IZINKAN HAMBA MENYAMPAI WADAH,
                 BERKONGSI ILMU DALAM BICARA.

KELUARGA BAHAGIA MAMPU MELAHIRKAN MODAL INSAN BERKUALITI.

Demikianlah bunyi bicara ilmu yang akan saya kupas satu persatu pada pagi yang berbahagia ini.
Sidang hadirin yang dimuliakan..

Merujuk kepada Kamus Dewan iaitu KELUARGA memberi  maksud seisi rumahtangga yang terdiri daripada suami dan isteri serta anak-anak. Manakala BAHAGIA pula bermaksud suasana tenang dan aman serta gembira. Sebut saja keluarga bahagia, sudah jelas terbayang dalam kotak pemikiran kita bahawa kehidupan satu keluarga yang bebas daripada gejala sosial, mengamalkan corak hidup yang berlandaskan disiplin tetapi wujud di dalamnya sifat kasih sayang yang amat tinggi dan saling menghormati. Apabila kita hidup dalam syurga kehidupan berumahtangga, maka akan lahirlah generasi-generasi yang mempunyai modal insan yang berkualiti. Dalam sebuah keluarga asas, bapa merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab membawa sebuah keluarga sama ada ke syurga atau ke neraka. Peranan seorang bapa dalam keluarga ibarat kepala kereta api yang memacu gerabak-gerabaknya melalui landasan yang betul untuk selamat sampai ke setiap hentian. Sekiranya kepala kereta api itu tersungkur ke dalam gaung, maka gerabak-gerabaknya akan turut menjunam ke dalam gaung. Begitulah lebih kurangnya bayangan yang boleh digambarkan betapa ketua keluarga inilah yang bertanggungjawab mencorakkan sesebuah keluarga. Bapa perlu menjadi imam kepada isteri dan anak-anak. Bapa wajib menjadi seorang suami yang boleh membimbing isteri seterusnya membentuk kepribadian dalam diri anak-anak melalui tauladan yang ditunjukkan. Bapa tidak boleh mengajar anaknya seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.  Menurut kata pakar motivasi iaitu Dato Haji Fadzillah Kamsah, “bapa merupakan cerminan anak-anak, setiap perlakuan seorang bapa, akan menjadi idola dan ikutan kepada anak-anak” Maknanya, untuk membentuk keluarga yang bahagia, seorang ketua keluarga itu mesti berperanan membentuk keluarga mereka itu ke arah yang boleh melahirkan generasi yang cemerlang dan terbilang. Dengan cara bagaimana sidang hadirin? Dengan cara tunjukkan sifat kepribadian yang tinggi melalui Agama yang diletakkan paling dominan dalam mendidik isteri dan anak-anak. Apabila agama yang menjadi tonggak dalam kehidupan berkeluarga maka  akan lahirlah rumahtangga yang bahagia. Rumah tangga yang didirikan berpaksi kepada sifat mahmudah iaitu saling menyayangi dan saling menghormati.

Sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

Dalam menjana sebuah keluarga bahagia, mana mungkin seorang ketua keluarga yang mengamalkan corak hidup yang bersandarkan atas nafsu semata-mata mampu mentarbiah anak isteri menjadi mukmin dan mikminin yang hebat. Mampukah seorang bapa yang membiarkan anak-anak hidup merempat, memberikan pendidikan yang sempurna buat mereka? Seorang ayah yang menjadi hamba dadah mana mungkin dapat melahirkan anak-anak yang mempunyai  kualiti dari segi kepribadian, Seorang ayah yang terpenjara di dalam tirai besi akibat kesalahan merompak, menyamun, membunuh, merogol dan pelbagai kesalahan lagi manakan mampu untuk melahirkan sebuah keluarga bahagia dalam membentuk rumahtangga?  Sudah terang lagi bersuluh, perlakuan songsang seorang ketua keluarga seperti ini tidak mampu untuk mendidik anak-anak menjadi seorang pemimpin yang hebat suatu hari nanti. Anak-anak yang tidak bedosa akan menjadi mangsa kekejaman dan kebodohan sikap bapa sendiri. Sampai masanya, anak-anak akan mempersoalkan kenapa hidup keluarga mereka tidak bahagia seperti keluarga orang lain? Sungguh malang bagi sebuah keluarga yang dijana tanpa adanya seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab. Seorang isteri yang diabaikan tanpa sebarang nafkah oleh suami mana mampu untuk mendidik anak secara bersendirian. Pepatah ada mengatakan ‘bapa borek anak rintik’ dibimbangi anak-anak yang mengalami kecelaruan dalam hidup ini akan bertidak mewarisi sikap ayahnya yang menyusahkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Tuntasnya, jelas kepada kita bahawa keluarga bahagia merupakan tunjang kepada melahirkan generasi yang berkualiti.
Sidang hadirin yang disajungi,

Wacana bicara saya yang seterusnya adalah tentang peri pentingnya penggunaan masa dalam melayari sesebuah rumahtangga. Dalam zaman sains dan teknologi ini, kebanyakan ibu bapa berlumba-lumba untuk mengejar kekayaan sehingga mereka alpa akan tanggungjawab memberi masa berkualiti untuk bersama anak-anak. Kebanyakan masa anak-anak dihabiskan di rumah pengasuh atau di sekolah.  Ibu bapa pula sibuk dengan urusan keduniaan sehingga anak-anak sukar untuk bersua muka. Ada anak-anak yang lebih rapat dengan orang gaji berbanding ibu bapa sendiri. Hal ini demikian menjejaskan usaha untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia. Sebagai ibu bapa, mereka sepetutnya berusaha untuk menyediakan seberapa banyak masa untuk bersama anak-anak. Paling tidak, pada waktu makan. Pada masa ini, ibu bapa berpeluang mendengar masalah yang diluahkan oleh anak-anak mereka. Masa ini juga amat sesuai kepada ibu bapa untuk memberi nasihat dan pandangan kepada anak-anak. Komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak-anak ini secara tidak langsung boleh membuahkan bibit-bibit kebahagiaan dalam rumahtangga.  Adalah lebih baik lagi sekiranya seorang ayah dapat memyediakan masa untuk mengimamkan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak. Mereka juga boleh membaca surah yasin atau bertahlil bersama-sama.  Pada hujung minggu atau musim cuti sekolah, ibu bapa boleh membawa anak-anak pergi berkelah atau melancong. Aktiviti ini boleh merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Kasih sayang anak-anak tehadap ibu bapa juga semakin menebal. Oleh yang demikian, mau kata apa lagi? Jelaslah bahawa kerukunan rumahtangga yang wujud dalam sesebuah mahligai yang dibina atas dasar kasih sayang akan membenihkan modal insan yang berkualiti
Konklusinya, dapatlah dirumus bahawa, keluarga bahagia adalah asas kepada wujudnya generasi yang cemerlang dan terbilang. Sesebuah rumahtangga yang kita biasa dengar Baiti Jannati atau rumahku syurgaku akan wujud dengan lahirnya keluarga yang bahagia. Seorang pemimpin yang hebat akan lahir dalam keluarga yang mengamalkan disiplin berlandaskan ciri-ciri keagamaan sebagai teras kemakmuran dalam sesebuah rumahtangga yang dibina. Seorang ketua keluarga yang bijak dan bertanggungjawab mampu melahirkan masyarakat yang bebas daripada kecelaruan. Mungkin tidak ada lagi kedengaran remaja lari dari rumah kerana berasa tertekan berada di rumah.

Saya akhiri pidato saya juga dengan serangkap pantun yang berbunyi;

Pusaka bonda itulah harta,
            Menjadi warisan setiap generasi;
Keluarga bahagia idaman kita,
            Modal insan berkualiti mampu direalisasi.

Sekian terima kasih, Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh dan salam sejahtera.

Entri 10 - ARTIKEL KESEDARAN PENGGUNA

RUMUSAN : Artikel ini aku buat khas untuk menyertai pertandingan menulis esei isu kepenggunaan sempena minggu pengguna bagi kategori umum. Walau bagaimanapun esei ini tidak dihantar untuk pertandingan kerana guru yang diberi tanggungjawab untuk menghantarnya telah bertukar sekolah secara tergesa-gesa. Jadi esei yang panjang ini saja aku muatkan kat sini kerana esei ini sangat berguna untuk calon SPM dan STPM buat rujukan. Kalau sape-sape yang nak baca silakanlah.. mudah-mudahan memberi sedikit info untuk diajar kepada anak-anak murid anda. 





TAJUK: SEJAUH MANAKAH TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT MEMBERI
               MANFAAT KEPADA MASYARAKAT.

Merujuk kepada Kamus Dewan, Sosial memberi maksud segala yang berkaitan dengan masyarakat manakala korporat pula berkaitan dengan syarikat atau perbadanan.Sosial Korporat bolehlah dirumuskan sebagai peranan individu, syarikat atau perbadanan dalam membantu masyarakat.
Dasawarsa, masalah kemiskinan dalam kalangan masyarakat menjadi satu igauan ngeri yang harus dihadapi oleh kerajaan. Untuk melayakkan sesebuah negara itu diiktiraf sebagai negara maju mestilah pendapatan perkapita rakyatnya AS15,000 setahun dengan kadar pertumbuhan 6% setahun untuk tempoh 10 tahun. Hal ini bermakna, negara kita masih lagi jauh untuk menggapai wawasan tersebut kerana purata pendapatan isi rumah di negara kita sekitar bawah RM 3000.00 sebulan. Walaupun harga komoditi sawit dan getah semakin meningkat saban tahun tetapi kehidupan rakyat masih berada pada takuk lama atas sebab kenaikan kos sara hidup yang sentiasa meningkat saban tahun. Kenaikan harga barang yang semakin menjadi-jadi dan sukar dikawal terutamanya pada musim perayaaan menjadikan kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana semakin dihimpit dan terhimpit. Walaupun kerajaan bertindak untuk mengawal beberapa harga makanan yang popular tetapi tidak memberi apa-apa erti kepada pengguna kerana harga barang kawalan terus naik akibat daripada pakatan sulit dan strategi yang berkesan pihak pengeluar dan orang tengah yang sentiasa menangguk di air keruh serta tidak takut mempermainkan undang-undang kepenggunaan.
Kita perlu menerima hakikat bahawa negara kita masih jauh lagi untuk merealisasikan cita-cita menjadi salah sebuah negara maju di dunia ini selagi kadar kemiskinan rakyat masih berada pada paras yang sederhana. Hal ini diburukkan lagi dengan kadar inflasi yang semakin meningkat, kadar pengangguran dalam kalangan rakyat yang agak tinggi iaitu lebih kurang 5.8%, kenaikan harga minyak, kenaikan harga rumah dan bahan binaan, serta kenaikan segala-galanya. Dalam menangani hal ini, mana mungkin kerajaan  secara bersendirian mampu menangani krisis kemiskinan ini tanpa bantuan daripada sumber lain sama ada NGO atau orang perseorangan.

            Kehadiran golongan tertentu yang bermurah hati dalam membantu usaha menangani kemiskinan atas tiket rasa simpati dan tanggungjawab sosial telah memberi manfaat yang bukan sedikit kepada masyarakat. Kita semua perlu tahu bahawa terdapat ramai di sekeliling kita yang sangat mengharapkan bantuan untuk mengharungi rona-rona kehidupan. Dalam keghairahan golongan kaya berlumba-lumba mengumpul harta kemewahan, terdapat golongan yang lemah mengerah kudrat dengan tulang lapan kerat bekerja siang dan malam tetapi pendapatannya sekadar cukup makan sehinggakan ada yang beranggapan dunia begitu kejam terhadap mereka.
Dunia semakin berubah, masyarakat perlu bekerja keras untuk menyara kehidupan masing-masing. Saban hari, pelbagai ciptaan baru berada di pasaran. Setiap ciptaan baru memerlukan kos yang agak tinggi untuk memilikinya. Sudah menjadi trend masa kini, orang ramai berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diingini walaupun di luar kemampuan mereka. Oleh sebab itu, ada dalam kalangan masyarakat yang menjadi penghutang yang tegar, lebih memburukkan keadaan apabila mereka sanggup berhutang dengan ceti ahlong walaupun sudah sedia maklum mereka ini adalah golongan yang cekik darah dengan mengenakan kadar bunga yang tidak masuk akal kepada peminjam. Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, hampir 50,000 individu yang berumur bawah 35 tahun di negara ini telah diistiharkan muflis akibat penggunaan kad kredit di luar kawalan. Penggunaan wang plastik ini jelas menyebabkan golongan muda ini bernafsu untuk berbelanja walaupun melebihi pendapatan bulanan mereka. Akibatnya, mereka menjadi miskin dalam usia yang muda apabila telah diistiharkan muflis.
Kita biasa terbaca di dada-dada akhbar terdapat segelintir golongan korporat yang membantu masyarakat marhaen yang amat memerlukan bantuan. Yayasan Al-Bukhary misalnya ditubuhkan bertujuan untuk membantu golongan miskin yang sangat memerlukan. Hal ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban golongan miskin yang benar-benar kesempitan wang. Terdapat juga golongan korporat yang menyalurkan bantuan melalui rumah-rumah ibadat yang bertaburan di merata tempat. Melalui dana yang diperoleh daripada golongan korporat ini membolehkan mereka menyalurkan wang bantuan ataupun bantuan makanan dan keperluan lain kepada golongan gelandangan dan kepada mereka yang benar-benar terdesak. Sumbangan golongan korporat yang mempunyai perasaan tanggungjawab dan kesedaran untuk berkongsi sedikit kekayaan dengan orang lain yang tidak bernasib baik memberi sinar harapan yang tinggi kepada masyarakat bawahan. Hal ini jelas memberi manfaat yang amat berguna kepada masyarakat yang memerlukan bantuan sama ada dalam bentuk wang ringgit, makanan ataupun tempat tinggal.
Golongan korporat juga banyak membuat potongan zakat dan memberi sumbangan ikhlas kepada Baitul Mal untuk diagihkan kepada golongan miskin, golongan orang kurang upaya (OKU), anak-anak yatim, rumah orang-orang tua, ibu-ibu tunggal dan rumah-rumah kebajikan yang lain. Hasil yang diperoleh daripada golongan ini bukan sedikit nilainya atas sebab kesedaran yang semakin bercambah dalam diri golongan yang dimurahkan rezeki ini. Sikap mulia yang ditunjukkan oleh orang kelima terkaya di Malaysia menurut penilaian yang dikeluarkan oleh majalah Forbes keluaran 2012 iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary perlu menjadi teladan dan idola golongan korporat yang lain. Berdasarkan satu petikan yang terkeluar daripada mulut beliau iaitu “ hanya 20% sahaja daripada keseluruhan hasil kekayaannya adalah hak milik mutlak dirinya. Yang selebihnya itu adalah hak orang lain yang dia sebagai pemegang amanahnya”. Sikap mulia dan ikhlas yang begitu menebal di dalam hati sanubarinya itu lahir atas didikan yang diberikan oleh kedua orang tuanya sejak beliau masih kecil lagi seterusnya menjadikan beliau begitu disegani dan diangkat sebagai penderma yang tiada taranya. Begitu juga dengan pemilik Hypermarket Mydin Holding yang setiap kali musim permulaan buka sekolah telah bermurah hati menyumbang baju sekolah kepada anak-anak yatim. Begitu juga baju raya setiap kali tibanya musim perayaan, akan turut diberikan percuma kepada anak-anak yatim dan orang-orang tua. Oleh yang demikian, jelas kepada kita bahawa tanggungjawab sosial golongan korporat ini amat membantu golongan yang benar-benar memerlukan ini.
Peranan media eletronik seperti rancangan Bersamamu TV3 dan media cetak seperti Metro Prihatin jelas dapat memberi sinar baru kepada golongan yang tidak berkemampuan apabila keperitan hidup mereka dipaparkan untuk tontonan umum dan yang pastinya akan ada golongan korporat yang sudi menghulurkan bantuan. Contohnya kes warga emas yang ditinggalkan oleh anak lelakinya di hotel murah yang mendapat paparan meluas dalam ‘you tube’ sehingga ke luar negara dan menjadi medan pertuturan orang ramai telah membuka hati seorang usahawan untuk memberi bantuan segera. Sudah terang lagi bersuluh, peranan golongan korporat ini amat memberi manfaat kepada masyarakat.
            Para pelajar di sekolah khususnya telah dididik sejak di bangku sekolah lagi untuk menjadi seorang penyumbang dan pemberi apabila sudah memasuki alam pekerjaan nanti. Sekiranya kita menonton filem Indonesia yang berjudul ‘Laska Pelangi’, pak gurunya selalu mengingatkan kepada anak-anak didiknya yang petikannya berbunyi “Jadilah kita orang yang memberi sebanyak- banyaknya dan jangan kita menjadi orang yang menerima sebanyak-banyaknya”. Buku teks komsas tingkatan 3 iaitu ‘Panas Salju’ ada menceritakan kisah seorang usahawan iaitu Tan Sri Samsuddin yang merupakan pemilik syarikat ‘Sapura Holdings’ telah memberi bantuan sepenuhnya kos pembedahan sebanyak RM300,000 kepada Nadhirah yang mendapat penyakit hati dan hempedu. Buku pelajaran yang wajib dipelajari oleh setiap murid tingkatan 3 di semua sekolah menengah ini secara tidak langsung telah mendidik setiap pelajar sejak di bangku sekolah lagi supaya menjadi sebagai penderma yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan tidak berkemampuan.
            Memang tidak dapat dinafikan, industri pelancongan merupakan satu industri yang besar menyumbang kepada ekonomi negara. Sejajaran dengan itu, banyak tempat pelancongan telah dibuka oleh golongan korporat yang melabur dalam industri hotel, resort dan spa.  Hal ini sudah tentu membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat yang sedikit sebanyak mampu menambahkan pendapatan mereka. Contohnya di Taman Negara, banyak dalam kalangan penduduk di sekitar Kuala Tahan dan Sungai Lembing menjadi pemandu bot, pemandu arah, dan pekerja resort. Begitu juga dengan tempat-tempat pelancongan yang lain seperti Pulau Langkawi, Pulau Redang, Pulau Gaya dan sebagainya telah menjadi lubuk emas bagi penduduk tempatan mencari rezeki. Segelintir kaum Kadazan Dusun di Sabah mencari wang pendapatan dengan bekerja sebagai pembawa barang kepada pendaki-pendaki gunung Kinabalu. Syarikat Penerbangan Tambang Murah iaitu Air Asia juga turut memainkan peranan dalam menarik minat para pelancong luar untuk bertandang ke negara kita melalui promosi yang dilakukan. Pelancong domestik juga turut mengambil peluang dengan pakej-pakej tambang murah yang diperkenalkan untuk melancong terutamanya ke Sabah dan Sarawak. Tuntasnya, penglibatan golongan korporat dalam industri pelancongan telah memberi keuntungan yang bukan sedikit kepada masyarakat setempat. Peluang pekerjaan terbuka luas dan secara tidak langsung mengurangkan kadar pengangguran di negara kita.
Sumbangan golongan korporat dalam bidang pertanian juga tidak kurang hebatnya. Kebanyakkan ladang sayur di Cameron Highlands dimiliki oleh golongan korporat. Mereka menjual sayur-sayuran dengan harga yang murah. Hal ini membolehkan penduduk miskin mampu membeli sayuran segar dengan harga yang mereka mampu. Ladang ‘Barat Tea’ dan ‘BOH’ juga dimiliki oleh golongan korporat. Ramai pekerja ladang mereka terdiri daripada penduduk sekitar termasuk orang-orang asli. Bank Pertanian atau AGROBANK boleh membantu dengan memberi pinjaman kepada petani yang tidak mempunyai cukup modal untuk mengusahakan tanah mereka atau mengusahakan kolam ikan. Perbadanan seperti RISDA boleh memberi bantuan anak-anak getah dan baja kepada pekebun getah yang ingin menanam semula getah bagi menggantikan pokok-pokok getah yang sudah tua. FELDA juga telah bertindak membantu dan menaik taraf hidup para peneroka. Kalau kita lihat sekarang ini, kehidupan peneroka felda sudah banyak berubah. Mereka sudah mempu mengecap sedikit kemewahan berbanding dulu. Peranan badan berkanun FAMA juga penting dalam usaha meningkatkan hasil padi kepada petani. Selain daripada bantuan benih padi yang bermutu dan bantuan baja, badan ini juga turut membantu petani memasarkan hasil padi mereka. Hal ini dapat mengelakkan golongan petani diambil kesempatan oleh orang tengah yang suka menangguk di air keruh.  Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa golongan korporat ini memainkan peranan  yang cukup besar dalam mengubah kehidupan masyarakat.
            Dalam bidang pelaburan, syarikat-syarikat korporat telah memberi peluang kepada masyarakat untuk turut sama menanam modal dalam syarikat mereka dengan hasil keuntungan diagihkan mengikut peratus yang telah ditetapkan. Contohnya Bank Rakyat, yang menggalakkan masyarakat membuat pelaburan dengan menjanjikan keuntungan setinggi 20%. ASB, Tabung Haji, KWSP dan sebagainya turut membuka peluang kepada masyarakat untuk menanam pelaburan seterusnya dapat mengaut sedikit keuntungan daripada hasil pelaburan mereka bak kata pepatah cina ‘bunuh dua ekor burung dengan menggunakan hanya satu batu’. atau dengan kata lain, serampang dua mata iaitu di samping menyimpan, dapat pula laba.
            Dalam melahirkan masyarakat yang sihat pula, golongan korporat memainkan peranan yang cukup penting dalam menaja beberapa acara sukan contohnya sukan pemotoran mendapat penajaan daripada Petronas, Proton pula menaja permainan badminton, syarikat Telekom telah menaja Le Tour de Langkawi dan bola sepak. Beberapa syarikat lain yang dimilik oleh golongan korporat telah berlumba-lumba untuk menaja sukan yang paling terkenal iaitu bola sepak. Lihat sahaja pasukan Kelantan dalam Bola Sepak Liga Super di negara kita, beberapa syarikat korporat telah menjadi penaja rasmi antaranya syarikat telekomunikasi Happy Prepaid, syarikat yang mengeluarkan produk kesihatan Al-Jabbar, Yusmira Trading, Mamee, Al- Hamraa, Masterskill dan sebagainya. Syarikat yang menjadi penaja ini mampu memberi dana untuk memajukan sukan di negara kita.  Maybank Berhad sanggup menawarkan hadiah berjuta-juta ringgit dalam kejohanan golf antarabangsa. Pengeluar produk berasaskan coklat yang terkenal di Malaysia iaitu Milo banyak menaja hamper, pingat dan minuman percuma dalam kejohanan sukan sekolah pada setiap peringkat iaitu peringkat daerah, negeri, kebangsaan serta antarabangsa sekiranya dianjurkan di negara kita. Bahkan t-shirt juga turut disediakan. Bukalah mata kita betapa golongan korporat ini sentiasa menyumbang dalam apa saja aktiviti sukan demi melihat masyarakat di negara ini maju setapak demi setapak dalam bidang sukan ini yang menawarkan pendapatan lumayan kepada ahli sukan dan secara tidak langsung boleh mengharumkan nama negara di mata dunia.
            Dalam bidang pendidikan, peranan golongan korporat tidak boleh diketepikan. Banyak universiti dan kolej swasta dimiliki oleh golongan korporat yang menyediakan pendidikan kepada pelajar lepasan sekolah. Para pelajar boleh memilih mana-mana institusi pengajian tinggi untuk melanjutkan pelajaran sekiranya tidak berjaya memasuki institusi pengajian tinggi awam. Antara universiti dan kolej swasta yang menawarkan tempat untuk para pelajar lepasan sekolah melanjutkan pelajaran sekolah ialah UNITAR, MAHSA, INTI College, Sunway University College, Stamford College, Lim Kok Wing Universiti, Help university college dan sebagainya. Universiti-universiti ini melakukan jaringan kerjasama dengan universiti-universiti di luar negara yang membuka ruang yang seluas-luasnya kepada pelajar untuk menyambung pengajian mereka di luar negara. Terdapat juga golongan korporat yang bermurah hati menaja sepenuhnya para pelajar yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran mereka.
            Di sekolah, peranan PIBG  begitu penting dalam membantu pihak sekolah mendapatkan dana. Terdapat golongan korporat terutamanya sekolah-sekolah di bandar, telah menjadi anggota-anggota PIBG yang tidak lokek untuk menyumbang idea bagi meningkatkan tahap pelajaran murid-murid malahan ada juga yang bermurah hati mengeluarkan duit poket untuk disumbangkan kepada sekolah. Ada sesetengah sekolah yang tabung PIBG sekolah itu mencecah hampir 1 juta ringgit. Dengan wang sebanyak itu, sudah tentu pelbagai prasarana boleh disediakan tanpa mengharapkan bantuan kerajaan untuk keselesaan para pelajar. Oleh yang demikian, jelas kepada kita bahawa peranan golongan korporat khususnya dalam bidang pendidikan memberi jaminan kepada pelajar mendapat pendidikan yang bertaraf dunia seterusnya membuka peluang untuk mendapat pekerjaan yang sesuai suatu hari nanti
            Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Konklusinya, berdasarkan kepada huraian yang dinyatakan sudah jelas bahawa peranan golongan korporat sangat membantu masyarakat meningkatkan taraf hidup mereka, seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan. Kita saling memerlukan bagai aur dengan tebing. Orang kaya memerlukan orang miskin dan orang miskin amat memerlukan golongan kaya. Kita perlu ingat, langit tidak selalunya cerah, kerana hidup ini ibarat roda, adakalanya kita berada di atas dan adakalanya kita berada di bawah. Pepatah ada mengatakan kalau kita berada di awangan, jangan lupa rumput di bumi. Rezeki kalau dikongsi akan bertambah subur dan berganda-ganda jadinya. Kita disaran supaya jangan kedekut untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kerana mungkin RM1 yang kita dermakan dapat menyelamatkan satu nyawa. Oleh itu, memang tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa peranan yang dimainkan oleh golongan korporat atau perbadanan dapat membantu usaha kerajaan menaik taraf hidup rakyat seterusnya dapat meneruskan misi untuk merealisasikan hasrat menjadi negara maju pada tahun 2020.

Wednesday 11 July 2012

Entri 9 - SAJAK UNTUK ANAK


RUMUSAN :  Sajak ni saja je aku main-main. Tengok gambar anak yang kiut masa dia buat persembahan kat Smart Kids, akupun cuba buat grafik kemudian masukkan sedikit sajak yang dicipta secara spontan lalu aku jadikan sebagai salah satu daripada koleksi karya aku.



Entri 8- SI TANGGANG MODEN

RUMUSAN: Artikel berbentuk luahan rasa ini aku tulis atas kekesalanku terhadap anak-anak zaman ini yang memandang ibu bapa bagaikan sampah. Terlalu ramai muda-mudi zaman ini yang menjadi Si Tanggang Moden dengan menderhaka kepada ibu bapa mereka secara terang-terangan. Luahan rasa ini aku tulis antara waktu selang semasa aku mengawas peperiksaan SPM tahun lepas. Luahan ini telah diterbit dalam akhbar Harian Metro pada hari isnin melalui ruangan pendapat pembaca bulan November 2011  ( tarikh aku sudah lupa sebab aku tak simpan keratan tu ).  





Si Tanggang Moden

Anak 16 tahun pukul ibu dengan kayu’. ‘Anak perempuan tunggal terajang ibu di depan rumah’. ‘Remaja 17 tahun ugut bunuh bapa’. Tajuk-tajuk ini merupakan sedutan daripada laporan akhbar tentang anak-anak yang menderhaka. Saban hari kita diuar-uarkan dengan laporan tentang anak-anak yang menderhaka kepada ibu bapa. Hari ini, kita menghadapi satu fenomena lahirnya si Tanggang Moden yang semakin menjadi-jadi. Perkara ini jelas menunjukkan kepincangan yang lahir dalam masyarakat kita. Dalam al-quran jelas menyatakan hukuman orang yang menderhaka kepada ibu bapa adalah neraka. Namun, hal ini tidak menggerunkan si penderhaka dek kekurangan ilmu agama di dalam diri. Hati sanubari mereka pekat dengan titik-titik hitam yang menjijikkan. Golongan penderhaka ini tidak akan berakhir kerana janji tuhan adalah benar. Mereka akan menerima balasan tuhan sejak dari atas muka bumi lagi kerana mereka juga akan mendapat zuriat yang bakal menjadi penderhaka menerusi tindak-tanduk ibu bapa mereka yang menderhaka kepada nenek mereka. Ini adalah Hukum Karma.Pendek kata, watak-watak penderhaka akan terus bercambah dan berkesinambungan dari satu generasi ke satu generasi tanpa berpenghujung. Orang tua-tua selalu berpesan “ kalau kita menderhaka kepada ibu bapa kita, kelak anak-anak kita akan membuat perkara yang sama terhadap kita”.
            Dalam islam kita ditegah daripada meninggikan suara apabila bercakap dengan ibu bapa kita walaupun cuma berkata “ah…’ apatah lagi untuk mencela dan memaki hamun mereka. Namun, masih ada anak-anak yang tergamak memaki hamun, mengaibkan, membuang, mencela, memukul malah membunuh ibu bapa sendiri. Ibu bapa dibuang macam kucing kurap, diterajang dan dimaki hamun di hadapan khalayak ramai dan banyak lagi kebejatan-kebejatan yang diperlakukan oleh anak-anak terhadap ibu bapa mereka. Hati mereka begitu hitam. Mereka tidak pernah ambil tahu betapa sukarnya ibu bapa menjaga dan membesarkan mereka sejak dari pada tapak kaki mereka sebesar ibu jari. Seorang ibu sanggup memperjudikan nyawa mereka demi memastikan anak-anaknya terselamat daripada sebarang ancaman. Seekor nyamuk yang menggigit anaknya akan dikejar oleh ibu sehingga dapat dan picit lumat tubuh nyamuk yang menggigit anaknya. Sampai begitu sekali pengorbanan seorang ibu. Sekiranya anak-anak meragam atau sakit, ibu bapa tidak dapat tidur sepanjang malam. Berjaga sampai ke pagi bagi memastikan anak yang sakit tidak mendapat kesan sampingan seperti sawan. Pendek kata, ibu lebih sakit daripada anak yang sakit. Itulah pengorbanan ibu yang dibalas dengan tuba apabila mereka sudah dewasa. Ibu bapa sanggup ikat perut untuk memastikan anak-anak tidur dalam kekenyangan. Ibu bapa sanggup memakai pakaian yang sudah lusuh asalkan anak-anak ada wang untuk belajar. Malangnya, apabila anak-anak sudah dewasa dan berjawatan tinggi, mereka tidak ada masa untuk menjenguk ibu bapa mereka di kampung.  Apatah lagi untuk menjaga ibu bapa yang sakit.  Anak-anak saling mengelak untuk menjaga ibu bapa yang memerlukan penjagaan rapi tetapi ibu bapa tidak pernah mengelak untuk menjaga anak-anak yang ramai dengan rapi. Hasilnya, ibu bapa sering di tempatkan di rumah penjagaan orang-orang tua walaupun mereka mempunyai ramai anak yang berjawatan tinggi. Amat payah kita dengar seorang anak sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibu bapa yang sakit walaupun tuhan telah janjikan tidak akan jatuh papa seseorang anak yang ikhlas menjaga ibu bapa yang sakit kerna rezeki itu ditetukan oleh-Nya.
Sungguh malang sekali bagi ibu bapa yang anak-anaknya adalah ‘Si Tanggang Moden’ walaupun bukan itu yang diharapkan.  Mudah-mudahan artikel ini memberi sedikit kesedaran kepada mereka yang masih mempunyai ibu bapa.

Entri 7 - AKU ANAK DIPANG


RUMUSAN : Cerpen ini ditulis bertujuan untuk dimuatkan dalam majalah sekolah ( MINDA ) edisi ke-17 tahun 2011 sempena dengan tema majalah iaitu Lestari Hijau. Cerpen ini adalah adaptasi daripada kisah benar dalam kejadian tanah runtuh dan mengorbankan nyawa puluhan masyarakat orang asli yang pernah menggemparkan negara suatu masa dulu. Kesedaran tentang penjagaan alam sekitar telah semakin luntur dalam kalangan masyarakat kita hari ini akibat daripada kepentingan individu. Aku percaya, sedikit masa lagi sudah tidak ada kehijauan hutan untuk mata melihatnya, Tidak ada kesegaran udara untuk hidung menyedutnya, Tidak ada kedinginan semulajadi untuk tubuh badan merasai suhunya.




RINTIHAN  ANAK  DIPANG

Fajar sudah mula menyinsing melabuhkan waktu subuh yang pada kiraan syuruknya sudahpun berakhir.  Anak-anak Jimpol masih lagi leka mengacah-ngacah kakinya pada permukaan air. Pada pagi itu, mereka dua beradik tidak terus terjun menikmati dinginnya air jeram yang mengalir turun dari tempat tadahan air di hulu hutan Belum. Mungkin mereka tidak tergamak untuk membasahkan badan kerana air pada pagi itu agak luar biasa keruhnya. Hujan yang turun pada malam tadi meningkatkan sedikit paras air yang membawa bersama puin-puin tanah beserta ranting-ranting dan daun-daun kering yang berawak di bawa arus.
Melihat kedudukan pancaran matahari yang suram berada pada sudut 45 darjah, mungkin jam sudah menunjukkan pukul 9.00 pagi. Jempol dan isterinya Mak Bungah mula risau akan anak-anaknya yang masih belum pulang dari sungai. Kebiasaannya pada waktu itu, mereka sekeluarga sudahpun bergerak untuk mencari rezeki. Anak lelakinya Simang akan mengikut Jimpol pergi berburu atau mencari hasil hutan manakala anak perempuannya Merah akan mengikut Mak Bungah ke kebun untuk mengusahakan kebun ubi dan pisang.
Keheningan belantara pada pagi itu dicemari dengan bunyi mesin gergaji yang sayup-sayup kedengaran dari hulu penempatan Jimpol dan suku kaumnya. Muka Jimpol terus berubah, bibirnya mengetip-ngetip. Dia cukup geram dengan lanun-lanun hutan yang dengan lahapnya merangkus khazanah alam dan merosakkan habitat yang menjadi tempat Jimpol mencari rezeki  untuk di suapkan ke mulut anak isterinya. Baru dua hari lepas dia dan anak-anak buahnya menutup laluan pencuri-pencuri balak dengan meletakkan batu-batu besar serta rimbunan-rimbunan buluh tetapi nampaknya tidak berhasil kerana lanun-lanun itu datang bukan saja dengan Toyota Hilux dan Mitsubishi Storm bahkan turut membawa jentera-jentera berat untuk mengangkut keluar hasil ‘rompakannya’.
Pernah seorang taukeh balak memberinya seikat not RM50.00 sebagai sogokan supaya tidak menganggu kerja-kerja mereka. Namun, ‘niat suci’ tauke balak itu dibalas dengan maki hamun dalam bahasa Bateq oleh Jimpol. Sebagai Tok Batin dalam komunitinya, bukan wang ringgit yang menjadi tuhan baginya tetapi keamanan dan keharmonian suku sakatnya mencari rezeki menjadi keutamaan. Khazanah-khazanah alam, habitat-habitat hutan dan hasil-hasil belantara sudah menjadi darah daging bagi mereka yang mewarisi suku kaum peribumi yang tebal mengamalkan kehidupan cara primitif di bumi yang bertuah ini.
Mereka tidak perlu rumah batu kerana mereka lebih selesa tinggal dalam rumah yang beratap rumbia, berdinding buluh dan berlantaikan batang nibong. Mereka tidak perlu senapang kerana mereka sudah mempunyai senjata yang paling ampuh untuk mencari sesuap makanan iaitu penyumpit. Mereka juga tidak perlu kuasa eletrik kerana mereka mampu mencipta api sendiri menggunakan getah damar untuk menerangi malam yang gelap. Mereka juga tidak memerlukan air paip yang dibekalkan kerajaan kerana sudah mempunyai sungai dan telaga yang dingin airnya. Apa yang mereka mahukan agar kehidupan mereka tidak diganggu, tempat untuk mereka mencari rezeki tidak diusik serta belantara yang membekalkan oksigen kepada mereka tidak dimusnah. Mereka tidak pernah memohon apa-apa bantuan daripada kerajaan kerana mereka boleh ‘service’ kehidupan mereka mengikut apa yang diperturunkan oleh nenek moyang mereka.
tik...tik...tik... lamunan Jimpol terganggu oleh titisan-titisan hujan yang turun membasahi mukanya. Kebimbangan yang menghantui  Jimpol dan Bungah juga berakhir apabila Simang dan Merah berlari-lari anak balik dari sungai. Pada pagi yang hening itu, kebanyakkan anak-anak buah Jimpol tidak pergi memburu atau berkebun. Mereka masing-masing tinggal di dalam rumah kerana hujan semakin lebat. Ramai juga dalam kalangan mereka yang sudah keluar mencari rezeki , berduyung-duyung balik semula ke rumah.  Bunyi mesin gergaji yang rakus memamah batang-batang balak juga sudah tidak kedengaran lagi. Sebagai menu makan pagi, Bungah menyediakan anak-anak dan suaminya dengan ubi kayu rebus dicicah ikan sungai jeruk yang dipanggang. Begitu bernafsu sekali anak-anaknya melahap makanan tradisional mereka.
             Hari sudah semakin petang. Hujan yang turun sejak pagi tadi masih lagi belum ada tanda-tanda akan reda. Tiba-tiba seluruh penghuni Dipang dikejutkan dengan bunyi dentuman yang aneh  tidak seperti guruh dan tidak juga seperti bom tetapi kuat kedengarannya dari atas puncak bukit. Jimpol terus keluar untuk menyiasat apa yang berlaku. Dengan berlari-lari anak, Jimpol mengikut laluan arus sungai naik ke hulu. Simang mengikut jejak ayahnya di belakang.
Tiba-tiba tumpuan Jimpol dan Simang beralih arah apabila di atas sana mereka ternampak satu gumpalan gelap menuju ke arah mereka bersama aliran sungai. Jimpol terus mencapai tangan Simang dan menarik sekuat hati naik ke tebing yang lebih tinggi. Dalam pada itu, mereka berlari sekuat hati untuk memberitahu  kepada suku kaumnya supaya menyelamatkan diri kerana satu bala bencana akan menimpa mereka.  Belum sempat Jimpol dan Simang sampai, ‘kepala air’ yang sarat muatannya dengan runtuhan tanah serta pokok-pokok hanyut dan serpihan-serpihan balak rakus membadai post Dipang yang saling tak tumpah bagaikan tsunami. Segala isi kandungan penempatan itu hanyut dalam sekelip mata. Bukan saja penduduk Dipang, bahkan segala binatang peliharaan mereka seperti anjing, babi , ayam hutan, beruk dan sebagainya turut  hanyut bersama gelombang yang ganas itu. Stok-stok makanan mereka seperti pisang, ubi, tupai salai, ikan sungai jeruk dan segalanya turut  entah ke mana.
Dari jauh Jimpol dan Simang hanya mampu memerhatikan saja suku sakat  dan segala isi kandungan kampungnya dihanyutkan tsunami bukit itu. Jimang sudah boleh membayangkan betapa  akan nasib malang yang menimpa adik dan ibunya. Memikirkan semua itu, Simang tidak sampai hati membiarkan mereka terus terseksa dan terkapai-kapai. Simang berlari dengan pantas untuk terjun ke dalam  aliran arus yang masih mengganas. Dia ingin mencari dan menyelamatkan adik dan ibunya. Dan kalau boleh  dia juga ingin mati bersama mereka. Jimang sempat ditarik oleh Jimpol. Namun dia meronta-ronta untuk pergi.
Itulah kehendak alam. Apabila diusik sudah pasti akan menimbulkan kemurkaan dan kemuncak kemurkaan itu apabila  suku sakat Jimpol dan Simang ditelan hidup-hidup. Mungkin tauke-tauke balak yang sudah kaya raya selepas malahap hasil bumi tidak merasa bersalah. Keluarga mereka bersenang lenang dengan hasil ‘rompakkannya. Mereka tidak mahu mengerti tentang nasib peribumi yang masih bergantung sepenuhya kepada alam untuk hidup.  Hutan kita memang luas, pokok-pokok cengal, merbau, keruing, meranti dan sebagainya masih banyak lagi yang utuh tidak diusik. Bukit bukau juga masih banyak yang belum digondol dan ditarah. Ramai lagi tauke-tauke balak yang bakal menjadi jutawan. Mereka alpa sebenarnya bahawa untuk mendapat kembali pokok-pokok yang ditebang memakan masa ratusan tahun sedangkan untuk memusnahkannya tidak sampai sehari.

Entri 6- CARA MUDA-MUDI KITA SAMBUT MERDEKA


RUMUSAN : Artikel berbentuk catatan perjalanan ini aku buat untuk menyedarkan anak bangsa yang semakin lemah semangat patriotismenya kepada negara. Setiap kali menjelangnya 31 Ogos, slot-slot untuk mengenang perit jerih tokoh-tokoh terdahulu dalam perjuangan membebaskan negara kita daripada penjajah dan demi mendapatkan kemerdekaan sudah jauh terpesong. Artikel ini ditulis atas pengalaman sendiri dan bukan direka-reka. Artikel ini telah dimuatkan dalam majalah sekolah ( MINDA ) edisi ke-17 tahun 2010 bertujuan untuk menyedarkan para pelajar yang membaca dan menghayati karya aku ini agar mendapat sedikit kesedaran tentang cara bagaimana yang sepatutnya dilakukan setiap kali kita menyambut hari kemerdekaan.



Suatu Malam Di Malam MERDEKA

Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !  laungan keramat yang menerjah keluar daripada peti suara rakyat Malaysia pada setiap kali menjelangnya tanggal 31 Ogos. Rakyat dengan gah dan penuh kebanggaan apabila  tibanya tarikh yang dinantikan ini kerana memberi erti yang cukup besar kepada semua anak bangsa yang mengakui bahawa aku anak Malaysia. Dahulu kala para pejuang bermandikan darah, berjuang untuk mendapatkan hak sebagai pemilik bumi bertuah ini. Ini hakku, ini milikku, akan kuperjuangkan hingga ke titis darahku yang terakhir. Akan aku pastikan bumi ini bawah tadbirku, bawah naunganku, bawah pemerintahan pribumi yang bebas daripada penjajahan. Mereka menggunakan seluruh kudrat dan buah fikiran bahkan ada yang berkorban nyawa untuk melihat bumi kesayangan mereka yang bakal diwarisi anak cucu mereka nanti, bebas  daripada penjajah yang zalim dan kejam.
54 tahun di alam merdeka, tapi merdekakah kita? Antara persoalan yang sering bermain di benakku, Apakah erti kemerdekaan sebenar? Apakah peranan generasi pewaris kemerdekaan untuk mengekalkan kemerdekaan negara? Mari kita renungkan rentetan kronologi satu malam di ambang sambutan kemerdekaan.
Seawal 7.00 malam, kenderaan sudah mula berduyun-duyun memasuki ibu kota metropolitan yang dikatakan serba canggih dan moden ini. Rata-rata kenderaan awam  dipenuhi dan padat dengan penumpang dari luar dan pinggir bandar, yang datang untuk meraikan sambutan di ambang kemerdekaan. Mereka datang dengan pelbagai gaya dan rupa. Penuh keceriaan. Gahnya malam ini. Di mana? Dataran Merdeka? di Bintang Walk ?atau di Perkarangan KLCC? Jangan ditanya, semuanya sesak dengan pengunjung pelbagai rupa, pelbagai budaya.
Pukul 8.15 malam di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, pada satu sudut dapat dilihat dengan jelasnya, satu kelompok anak-anak awal remaja sedang berarak dengan basikal yang pelbagai model. Gayanya mendabik dada.Dari ceruk mana mereka datang tidak diketahui tetapi bilangan mereka agak besar. Lagaknya seperti babarian, bertempik sorak  sambil mempamerkan aksi-aksi berani untuk mencuri perhatian para pengunjung yang  mula memenuhi Dataran Merdeka. Pakaian, lagak  dan gaya mereka amat menyakitkan mata, bahkan ada dalam kalangan mereka dengan selamba menyedut asap-asap rokok. Dari riak wajah mereka menunjukkan keegoan dan kebanggaan yang nyata, mereka lupa bahawa mereka adalah anak-anak hingusan yang masih perlu diawasi dan dipimpin tangan oleh ibu bapa mereka . Umur baru setampuk pinang, masih cukup mentah  untuk berkeliaran tanpa pemerhatian kedua-dua orang tua. Wajarkah  anak-anak seusia 10 hingga 14 tahun bertindak umpama samseng jalanan? Inikah budaya yang ditonjolkan untuk sambutan ambang kemerdekaan?
Pada 9.20 malam penulis beredar menuju ke KLCC melalui lorong-lorong tikus di celah-celah hutan batu pencakar langit. Tatkala melalui lorong-lorong tersebut, penulis terlihat beberapa kelompok mat-mat gian sedang asyik melepaskan gian mereka dengan menggunakan suntikan secara terbuka dan langsung tidak mempedulikan orang yang lalu lalang di kawasan itu,agaknya pada mereka, dunia ini aku yang punya. Perwatakan  mereka cukup selekeh dengan berpakaian lusuh dan serabai. Sesekali sepoi angin malam membawa sekali bau badan mereka, huh… amat meloyakan. Tengit, hapak, hanyir, dan seribu macam bau. Tak terfikir dek akal bagaimana kita manusia yang dijadikan dengan cukup sempurna oleh Tuhan manjadi hamba najis dadah yang boleh menjahanamkan kehidupan. Kudis-kudis buta memenuhi setiap sudut anggota badan. Air liur meleleh-leleh menunjukkan mereka sedang ‘high’. Inikah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara? Dimanakah letaknya kesempurnaan akal yang Tuhan berikan kepada kita? Fikir, fikirkanlah.
Di Perkarangan KLCC, konsert yang dijayakan oleh beberapa artis terkenal tanah air sudah mula ‘panas’. Konsert mega ini ditaja oleh syarikat gergasi telekomunikasi. Setiap ruang berlangsungnya sambutan ambang kemerdekaan ini dipenuhi dengan orang ramai . Ada yang datang membawa keluarga, ada yang datang bersama rakan-rakan, malahan ada yang datang membawa bayi. Kesian bayi ini, menangis kehangatan dek kerana kesesakan manusia yang terlalu ramai serta kebisingan bunyi muzik yang membingitkan dan memekakkan telinga. Anak-anak kecil itu menjadi mangsa keselambaan sikap ibu bapa mereka yang gilakan  hiburan. Sepatutnya tatkala itu mereka lena dibuai mimpi, selesa dek pelukan bantal busuknya.  Dari satu sudut yang agak tercorok, dapat dilihat beberapa kelibat pasangan kekasih yang sedang berpeluk mesra tanpa segan silu, malah ada yang bercumbu-cumbuan. Siapakah mereka ini? Mereka ada yang bertudung tetapi  aksinya mengalahkan pelakon-pelakon filem panas.Tak kurang juga anak-anak gadis yang berpakaian mencolok mata, menunjukkan anugerah Tuhan yang tidak ternilai tingginya. Mungkin hanya ini peluang mereka untuk menjadi model percuma ataupun menjadi tatapan golongan lelaki bermata keranjang.
Pukul 10.55  penulis berkejar pula ke Bintang Walk yang menjadi salah satu tempat berlangsungnya sambutan Ambang Kemerdekaan. Penulis menaiki teksi untuk ke tempat yang dituju. Oleh sebab banyak jalan yang ditutup, maka perjalanan ke Jalan Bukit Bintang kurang lancar dan penulis terpaksa berjalan kaki agak jauh dari tempat yang dituju untuk mengejar masa. Di Bintang Walk, suasananya agak berlainan. Di sini lebih panas dengan keghairahan anak-anak muda yang tidak sabar-sabar untuk menanti detik 12 Malam. Di satu sudut, terdapat satu kumpulan anak-anak muda yang memperagakan gaya skinhead dan punk. Rambut mereka yang berceracak diwarnakan dengan pelbagai warna. Muka-muka mereka juga turut diwarnakan untuk menampakkan keganasan dan liar. Aksesori yang dikenakan pada badan mereka sungguh menakutkan. Anting-anting bukan saja dicucuk pada telinga, bahkan pada lidah, hidung, dagu, kening dan bibir mulut. Rantai leher yang dipakai oleh mereka bertatahkan besi timah yang berduri. Sambil meneguk minuman keras, mereka melalak, menari, dan melolong tanpa mempedulikan ketenteraman orang lain yang hadir. Lebih kurang 80 meter dari kumpulan skinhead itu berkumpul, terdapat pula satu kumpulan yang terdiri daripada anak-anak muda berambut panjang yang memakai baju hitam berwajah tengkorak dan haloween. Memakai seluar jeans lusuh koyak rabak dan mengenakan kasut berjenama Cornverse. Melihat kepada anak mata mereka yang kuyu dan merah, jelas menunjukkan bahawa kepala mereka sudah ‘penuh’. Mungkin mereka sudah kena pil kuda, estacy, syabu, ganja ataupun erimin 5. Mereka mengoyang-goyangkan kepala seolah-olah sedang menghayati irama muzik keras daripada kumpulan Metallica, Sepultura, Megadeath atau Black Sabbath. Kumpulan anak-anak muda ini mengelarkan diri mereka budak Black Metal.
Penulis terus berjalan menyusuri orang ramai melalui Bintang Walk. Penulis terlihat ramai orang sedang mengerumuni sesuatu. Perasaan ingin tahu penulis yang membuak-buak menyebabkan penulis menghampiri tempat tersebut. Dari celah-celah orang ramai, penulis dapat lihat dengan jelas satu kumpulan remaja yang berpakaian hip hop sedang terhenjut-henjut menari tarian shuffle dengan diiringi oleh muzik shuffle yang dimainkan melalui radio kaset yang dibawa.  Muzik ini sememangnya mula mendapat tempat di hati remaja masa kini. Setiap tari lincah gerak kaki dan tangan yang dipersembahkan oleh mereka diberi tepukan gemuruh oleh para penonton yang membuatkan mereka lebih ghairah melakukannya sama ada secara individu, berpasangan ataupun berkumpulan.
Jam  tepat menunjukkan pukul 12 tengah malam. Kedengaran suara anak-anak muda melaungkan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! Sebanyak tujuh kali. Namun begitu, laungan anak-anak muda di Bintang Walk ini dibuat secara sambil lewa dan main-main. Mungkin laungan anak-anak muda yang sedang  menyambut ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka lebih Jitu dan bersemangat kerana ramai pemimpin negara berada di tempat itu. Dentuman bunga api sabung-menyabung menyerlahkan keindahan bandaraya Kuala Lumpur. Di atas puncak Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, tembakan bunga api dihalakan ke Dataran Merdeka manakala bangunan kebanggaan negara iaitu KLCC juga bermandikan dengan cahaya bunga api. Begitu indah dan bermakna sekali semburan bunga api tersebut bagi mereka yang tahu erti kemerdekaan tetapi pertunjukan bunga api dan laungan MERDEKA sebanyak 7 kali itu hanyalah satu hiburan dan tidak memberi erti apa-apa bagi mereka yang hanya tahu ingin berseronok sahaja.
 Selepas berakhirnya sambutan di ambang kemerdekaan, para pengujung Bintang Walk masih belum berganjak untuk pulang malahan mereka begitu berseronok bermain semburan buih. Tanpa mempedulikan orang ramai, sekumpulan anak muda yang terdiri daripada lelaki dan perempuan ini leka menyembur buih ke atas rakan-rakan mereka termasuk ke atas orang ramai yang melalui kawasan tersebut. Keadaan ini menimbulkan sedikit ketegangan dan kekecohan apabila perbuatan biadap ini tidak boleh diterima oleh mangsa. Pihak berkuasa terpaksa campur tangan untuk menyelesaikan ketegangan ini.
Penulis menyusuri Jalan P.Ramlee. Setiap deretan pusat-pusat hiburan yang terdapat di situ dipenuhi oleh pelanggan-pelanggan yang mencari hiburan. Kelihatan kelibat mat-mat disko keluar masuk ke pusat-pusat hiburan tersebut sambil membawa teman sosial masing-masing yang berpakaian seksi dan menghairahkan. Ada yang keluar dengan terpaksa dipapah dan muntah-muntah kerana ‘over dost’ minuman keras. Dari luar, penulis dapat mendengar dengan jelas alunan muzik rancak daripada Lady Gaga, Katy Perry, Pussycat Dolls dan sebagainya dimainkan dalam premis pusat hiburan tersebut. Penulis menyusuri jalan Bukit Bintang menuju ke Jalan Imbi. Di situ terdapat sebuah pusat hiburan yang dikhususkan untuk golongan songsang. Mereka dengan selamba membawa pasangan sesama jenis masuk ke pusat hiburan tersebut untuk berhibur.
Jam di tangan sudah hampir pukul 3.30 pagi. Penulis mula berjalan untuk pulang melalui jalan Hang Tuah menuju ke tempat letak kereta di bawah bangunan Dayabumi. Sampai di Central Market, kelihatan masih ramai anak-anak muda yang melepak sambil berbual-bual kosong. Di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, kelihatan mat-mat motor sedang membuat aksi wikang dan willi. Ada yang meniarap bagaikan Superman dan ada yang membuat korner baring untuk mengeluarkan percikan bunga api daripada besi ekzos matosikal mereka. Bukan saja mat-mat motor, ada juga dua pemandu kereta Toyota Caldina dan Subaru Empreza sedang membuat aksi drift untuk dipertontonkan kepada orang ramai. Lagak mereka bertambah hebat apabila setiap aksi yang dipersembahkan mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton. Suasana kebingitan dek enjin motor dan kereta kembali tenang sebaik saja 4 buah kereta peronda polis tiba ke tempat aksi tersebut. Semua peserta aksi dan penonton sepantas kilat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. Yang ada hanyalah pekerja-pekerja Alam Flora yang bersekang mata menyapu segala sampah sarap yang bertimbun.
Penulis balik ke rumah di Subang Jaya melalui Jalan Parlimen dan Jalan Istana. Kesunyian pagi jalan tersebut dicemari oleh bingitan enjin motosikal mat-mat rempit yang berhati kering. Lumba haram menjadi satu kemestian buat mat-mat rempit setiap kali tibanya malam minggu. Mereka ‘menciluk’ lori dan kereta tanpa rasa takut walaupun perbuatan itu mengundang risiko yang boleh menyebabkan nyawa melayang. Mereka tidak peduli soal keselamatan, yang mereka kejar adalah kepuasan dan adakalanya perlumbaan mereka ini dibayar dengan wang yang beribu ringgit. Bukan itu saja, terdapat juga hadiah yang ditawarkan adalah gadis-gadis cantik yang sudi diri mereka dijadikan hadiah.
Semasa melalui Lebuhraya Persekutuan, kelancaran perjalanan penulis untuk pulang ke rumah di USJ 6 terganggu oleh sedikit kesesakan lalulintas. Pada hemat penulis, mungkin kesesakan ini berlaku disebabkan sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak polis. Tetapi telahan penulis ini meleset apabila punca kesesakan ini disebabkan oleh satu kemalangan yang berlaku di satu susur masuk ke Lapangan Terbang Sultan Ab Aziz Shah. Kemalangan yang melibatkan dua buah kereta ini berlaku disebabkan oleh pemandu yang berlumba sesama sendiri dan pemandu tersebut berada di bawah pengaruh alkohol.
Penulis selamat sampai ke rumah hampir pukul 6.00 pagi. Selepas mandi dan selesai menunaikan solat fardhu subuh, penulis cuba untuk melelapkan mata tetapi tidak berjaya. Pemikiran Penulis dihantui oleh peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang malam sambutan Ambang Kemerdekaan. Melihat kepada apa yang berlaku, jelas negara kita masih belum merdeka. Pemikiran anak-anak muda kita masih dijajah oleh fahaman Barat dan Yahudi. Mereka sudah jauh terpesong daripada kehidupan kita sebagai orang Timur yang berpegang teguh pada adat dan ajaran agama. Kehidupan mereka berpaksikan hedonisme. Mereka seolah-olah tidak mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kesucian kemerdekaan yang sudah dikecapi. Anak-anak muda yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara telah hanyut dalam dunia yang penuh kepincangan ini. Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk memimpin sebuah negara agar menjadi maju pada zaman yang mencabar ini. Siapakah yang harus dipersalahkan ? Persoalan ini bermain-main di dalam benak penulis sehingga penulis terlena dibuai mimpi.   
                                         
       Latar masa : 30 hingga 31 Ogos 2009
       Latar Tempat : Dataran Merdeka, Perkarangan KLCC dan BIntang Walk
       Latar Masyarakat : Masyarakat bandar yang sukakan hiburan
       Penulis ialah EN YUSDIN BIN YUSOF.