Wednesday 11 July 2012

Entri 5 - TERIMA KASIH CIKGU


Rumusan: Artikel yang separa cerpen ini aku tulis untuk menyertai pertandingan menulis esei ( kategori umum ) sempena hari guru 2010 yang bertajuk ‘Terima Kasih Cikgu’. Cerpen ini aku adaptasi daripada kisah aku sendiri semasa berada di bangku sekolah rendah dulu. Aku rasa pengalamanku ini cukup manis untuk kongsi. Ramai guru yang mengajarku semasa aku di sekolah rendah dulu masih segar dalam ingatan. Kenangan bersama mereka begitu manis untuk diabadikan lantas aku tejemahkan dalam bentuk nukilan yang secara tidak langsung mengingatkan aku semula betapa guru ini adalah seorang insan yang mulia dan berhak untuk dihormati serta dikenang jasanya.

Sekadar berkongsi pengalaman di zaman persekolahan
(Andainya dapat kuundur masa...)

Bunyi kokok ayam jantan dan kicau burung telah memecah keheningan pagi. Ibuku yang bersiap-siap untuk pergi solat subuh di masjid terlebih dahulu menyalakan api menggunakan sabut dan tempurung kelapa buat anak-anaknya memanaskan badan tatkala selepas mandi pagi. Aku, abang dan adik-adikku dikejutkan seorang demi seorang oleh ibuku sebelum dia berangkat ke masjid. Aku dan abang-abangku yang sudah biasa bangun pagi terus mencapai tuala lalu menuju ke telaga yang jaraknya cuma 300 meter dari rumahku. Bagi menerangi persekitaran yang masih gelap, abangku telah menyalakan daun kelapa kering yang kami kumpul di bawah rumah. Kami mandi bergilir-gilir kerana timba untuk menceduk air cuma ada satu. Air telaga yang sangat sejuk sehingga ke tulang hitam membuatkan kami mengigil-gigil.

          Selepas mandi, kami memanaskan badan pada api yang siap dinyalakan oleh ibu. Kami adik-beradik masing-masing bertinggung mengelilingi api bagi mendapatkan seorang sedikit haba. Kami naik ke rumah, kemudian masing-masing mengenakan pakaian seragam sekolah. Aku sebagai anak yang paling kecil terpaksa  dibantu oleh kakakku. Selepas bersarapan seadanya, kami adik beradik pun beriringan ke sekolah. Suhu pagi yang dingin membuatkan mulutku mengeluarkan asap yang berkepul-kepul seolah-olah berada di Moscow. Kabus pagi yang memenuhi ruang udara telah membasahkan rambut dan mukaku.

          Sebaik sampai ke sekolah, hari masih lagi gelap. Loceng untuk murid-murid berkumpul masih lama lagi akan berbunyi. Masa senggang yang ada ini aku gunakan untuk main lari-lari bersama rakan-rakan yang lain. Boleh dikatakan semua murid ada aktiviti masing-masing tidak kira lelaki atau perempuan atau tingkat mana sekalipun. Aku biasanya bermain kejar-kejar sambil melakukan ‘flying kick’. Sebaik loceng pertama dibunyikan, murid-murid dengan pantasnya akan masuk barisan mengikut kelas masing-masing. 20 minit pertama, murid-murid diarahkan oleh guru bertugas supaya memunggut sampah sarap atau daun-daun kering di seluruh kawasan sekolah. Murid-murid yang berjaya memunggut segenggam sampah boleh menuntut kupon bantuan makanan daripada Guru Besar yang sedia menanti di tempat pembuagan sampah. Kupon ini boleh ditukar dengan sepinggan nasi atau dua biji kuih di kantin sekolah.
 Apabila loceng kedua dibunyikan, murid-murid kembali ke tapak perhimpunan dan berbaris mengikut kelas masing-masing. Kesempatan ini guru disiplin akan meronda dan membuat ‘sport check’ secara rambang. Salah satu guru disiplin iaitu cikgu Zakaria atau dikenali dengan panggilan cikgu’Z telah memintaku ke depan. Aku terpinga-pinga mencari jawapan apa kesalahanku. Debaranku sedikit reda apabila seorang demi seorang rakan-rakanku turut dipanggil ke depan. Setelah semua murid berbaris masuk ke kelas masing-masing,aku dan rakanku didenda jalan itik dua pusingan mengelilingi tapak perhimpunan kerana bajuku kotor terkena tapak kasut rakan-rakanku semasa kami bermain ,’flying kick’ sebelum loceng pertama berbunyi tadi.
Selepas waktu rehat,cikgu Rashidah ternampak aku tersedu-sedu menangis di penjuru kelasku lantas menghampiriku bertanyakan masalah yang aku hadapi. Aku memberitahunya bahawa buah jambu air yang ibuku suruh jual di sekolah telah dicuri oleh murid yang nakal. Aku begitu takut dimarahi ibu kerana 10 peratus daripada hasil jualanku itu adalah duit belanja sekolah untuk aku. Puas cikgu Rashidah memujukku tetapi tangisanku tidak juga reda. Akhirnya, cikgu Rashidah bermurah hati mmenggantikan kesuluruhan kerugian yang ku alami. Dengan pantas aku mengucapkan ”Terima Kasih Cikgu”.
Keesokan hari, aku seperti rutin harian, pagi-pagi lagi sudah berada di sekolah. Tetapi hari ini aku tidak lagi berlari-lari bermain perang ‘flyiong kick’ takut malu didenda cikgu. Masih lagi memunggut sampah untuk ditukar dengan kupon bantuan makanan yang diperuntukkan kerajaan kepada murid luar banda. Masa pertama hari ini ioalah waktu mata pelkajaran matematik. Guru yang mengajar matematik ialah guru kelas aku sendiri iaitu cikgu Lee Yew Meng. Banyak kerja rumah yang cikgu Lee berikan semalam yang disiapkan di rumah tetapi aku tidak berjaya siapkan kerana komitmen lain yang perlu aku buat selepas balik dari sekolah. Akibatnya, aku diarahkan keluar dari kelas dan berdiri di koridor luar bilik darjah. Kebetulan kelasku berada di sebelah bilik guru besar. Apabila guru besar melihat aku dan beberapa rakan kelasku yang sama-sama tidak menyiapkan tugasan yang diberi berada di luar kelas, terus beliau datang lalu mencapai rotan bulu ayam yang berbentuk ‘U’ di hujungnya singgah di punggungku dan rakan-rakan senasib denganku. Aku terloncat-loncat menahan kepedihan. Tapi tidak mengapa, ini hukuman yang setimpal patut aku terima kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. Dengan nada yang sedih dan tersekat-sekat aku masih mengucapkan “Terima Kasih Cikgu.”
Semasa aku sedang makan di kantin pada waktu rehat, sekilas pandang aku melihat van ambulanyang bertulis Kementerian Kesihatan Malaysia masuk ke dalam kawasan sekolahku. Hatiku mula berdebar-debar kerana aku tahu hari ini mesti ada acara suntik menyuntik. Aku yang amat gerun melihat jarummula memerah otak mencari idea bagi menyelamatkan diri. Tanpa memberitahu sesiapa,aku mula menyusup perlahan-lahan masuk ke semak samun yang tumbuh meliar di belakang sekolah. Rupa-rupanya telah ada beberapa orang murid lain termasuk salah seorang abangku yang terlebih dahulu dapat menghidu tujuan sebenar  kehadiran van Kementerian Kesihatan. Sangkaanku memang tepat, selepas rehat semua murid dari satu kelas ke satu kelas diminta beratur untuk menerima suntikan pencegahan malaria. Guru kelas yang dapat mengesan beberapa orang pelajar sudah menghilangkan diri,bertindak melaporkan kepada guru disiplin. Macam tahu-tahu saja,guru disiplin terus menuju ke tempat persembunyianku. Pelajar senior tahun lima dan tahun enam sempat melarikan diri tetapi aku Cuma mampu menangis sambilk memeluk batang pokok senduduk. Cikgu ‘Z’, Cikgu Lee. Cikhu Shidah  dan Cikgu Nora cuba menenangkan aku . Cikgu Nora cuba menguji kejantananku dengam mengatakan aku lebih pengecut berbanding murid-murid perempuan. Cabaran itu berjaya memulihkan semangat aku bahawa aku bukan pengecut seperti yang disangkakan lalu sebatang jarum berjaya juga masuk ke bahuku. Terima Kasih Cikgu.
Pada waktu petang, aku datnag ke sekolah untuk pemilihan pasukan bola sepak sekolah . Aku tahu bahawa aku tidak layak mewakili sekolah dalam pasukan bola sepak tetapi aku terlalu minat aku gagahkan juga untuk mencubanya . Sudah berbuih mulut abang-abangku menasihatkan aku supaya membatalkan saja hasrat murniku itu kerana mereka tahu kemampuan aku bermain bola sepak. Semasa ujian fizikal dijalankan aku masih mampu untuk layak ke pusingan kedua tetapi apabilka tiba ujian merampas bola atau dipanggil ‘main monyet, asyik aku saja berada di dalam bulatan menjadi monyet. Ekoran daripada itu, Cikgu Amran selaku pencari bakatdengan penuh berhjemah menasihatkan aku mencuba untuk tahun yang seterusnya. Walau apapun, dengan nada keceawa aku mengucapkan “Terima Kasih Cikgu” kerana memberi aku peluang untuk aku mencuba dan tidak memaki hamun apatah lagi mengutukku.
Keesokan hari, ting... loceng balik berbunyi  dengan nyaringnya. Murid-murid bersorak riang kerana hari ini hari terakhir sekolah. Hari ini hari khamis bermakna kami di sebelah Pantai Timur akan mendapat cuti hujung minggu selama dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu. Kebiasaan pada hari khamis aku tidak pernah ponteng sekolah kerana pada hari ini aku bakal mendapat sesuatu untuk dibawa pulang. Sebaik loceng akhir berbunyi, aku dan rakan sekelasku diarah beratur di luar kelas dengan tertib, kemudian dalam keadaan senyap bergerak menuju ke sto khas yang menempatkan projek susu sekolah. Setiap murid diberi sekotak susu segar 1 liter percuma sumbangan kerajaan. Tanpa berlengah lagi aku mengucapkan “Terima Kasih Cikgu” kepada guru yang bertugas mengagihkan susu tersebut.
Pada tahun ini, musim buah begitu menjadi sekali. Bapaku yang mempunyai dusun buah-buiahan tersenyum riang apabila melihat beberapa batang pokok durian mengeluarkan buah dengan lebat sekali. Pokok rambutan juga tidak kedekut untuk mengeluarkan buah begitu juga dengan pokok duku , dokong dan manggis. Memandangkan musim buah pada tahun ini begitu menjadi, bapaku menyuruh aku mempelawa guru-guruku untuk bertandang ke dusunku. Hasrat bapaku itu telah kuajukan kepada beberapa  orang cikgu yang sempat aku temui. Pada suatu petang Jumaat, ku lihat dua buah kereta menyusur masuk ke kebunku. Aku yang sudah sedia berada di dusun melihat Cikgu Amran, Cikgu Abdullah, Cikgu Ravi, Cikgu Lee, Cikgu Shidah, Cikgu Nora,Cikgu Zainab dan penolong kanan sekolah Cikgu Ghani  keluar dari kereta. Aku meluru menyambut mereka dengan begitu girang sekali. Satu persatu durian daripada baka baik aku dan abangku kopak untuk mereka. Berpuluh tangkai duku dan dokong telah abangku bawa turun daripada pokok. Rambutan Gading dan rambutan Anak Sekolah telahku isi dalam dua guni . Semuanya ku jamu kepada cikgu-cikgu kesayanganku. Apabila mereka ingin pulang, berpuluh biji durian , seguni duku,dokong dan manggis serta dua guni rambutan telah ku masukkan ke dalam bonet kereta mereka. Aku juga tidak lupa untuk mengucapkan “Terima Kasih Cikgu” kerana sudi bertamu ke dusunku.
Pada akhir tahun, seluruh warga kelasku dikejutkan dengan pertukaran keluar guru kelasku iaitu Cikgu Lee Yee Meng. Beliau akan betukar ke Daerah Sik, Kedah. Kami rakan sekelas telah berpakat untuk mengadakan jamuan perpisahan. Kesedihan ini juga turut dikongsi bersama dengan guru-guru yang lain. Mereka kami lihat sungguh akrab sekali macam adik beradik walaupun berlainan bangsa dan agama. Begitu juga Cikgu Lee, walaupun beliau daripada bangsa lain tetap ikhlas menurunkan ilmu kepada kami yang 100 peratus berbangsa Melayu tanpa adanya perasaan prejudis. Semasa hari perpisahan diadakan, Cikgu Lee menyerahkan banyak barang peribadinya kepada kami sebagai kenang-kenangan. Ada yang mendapat t-shirt, kasut, buku, komik, bola, wang, alat-alat tulis dan sebagainya. Ku kira aku yang paling bertuah kerana mendapat raket badminton berjenama Yonex yang sangat kuidam-idamkan. Seorang demi seorang anak-anak muridnya dipeluk erat dan aku lihat dengan jelas deraian air mata membasahi pipinya. Apabila tiba giliranku, air mataku tidak dapat ku tahan daripada jatuh kerana aku dapat rasakan inilah guru yang amat sukar dicari ganti, begitu ikhlas, jujur, berkarisma, penyayang ,sabar dan bijak mengambil hati murid-murid biarpun murid-muridnya adalah budak kampung yang miskin lagi comot dan tinggal jauh di pedalaman. Pada riak air mukanya jelas kelihatan penyesalan yang tidak terhingga seolah-olah menyesal kerana mohon untuk ditukarkan.      
Kringggggggg... bunyi loceng eletrik yang membingitkan telinga telah menyedarkan aku daripada lamunan yang panjang. Sekarang ini adalah waktu ketujuh Bahasa Malaysia tingkatan 5 Fasih. Aku terus mencapai buku rekod mengajar, buku teks Bahasa Malaysia tingkatan lima dan dua buah buku rujukan lalu terus ke kelas. Dalam perjalanan ke kelas, hanya dua orang pelajar yang menyapa aku dan memberi ucap selamat semasa berselisih manakala yang berpuluh-puluh lagi buat-buat tidak nampak atau dengan kata lain buat selamba. Keadaan ini cukup berbeza dengan zaman persekolahan ku dulu yang mana setiap kali berselisih dengan guru pasti para pelajar akan tunduk hormat dan memberi salam. Aku juga tidak kisah pada bahagian mana anggota badanku hendak dipukul oleh guru sekiranya aku tidak menyiapkan kerja sekolah atau melakukan apa sahaja yang melanggar disiplin sekolah. Aku juga tidak pernah menyimpan perasaan dendam terhadap cikgu yang mendendaku. Berdiri atas meja atau kerusi, jalan itik pusing padang sekolah, ketuk ketampi, tekan tubi, lompat katak, dijemur panas, ditarik signburn dan mintalah buat apa saja pasti aku akan akur tanpa banyak soal. Kekadang, aku boleh rasakan betapa tidak ikhlasnya anak-anak muridku mengucapkan selamat kepadaku tatkala aku masuk ke kelas untuk memulakan pengajaran dan untuk mengucapkan terima kasih sebaik aktiviti pengajaran dan pembelajaran tamat. Memang aku dapat rasakan perbezaan yang amat ketara sikap murid-murid dahulu jika dibandingkan dengan murid-murid di abad ini bak kata pepatah “lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang”. Juga berbeza antara murid bandar dengan murid kampung ibarat kata lain padang lain belalang dan yang penting, aku lebih seronok berada di sekolah sebagai seorang pelajar seperti yang aku hadapi dulu berbanding  daripada duduk di sekolah menjadi seorang tenaga pengajar seperti yang aku hadapi sekarang. Walau apapun, TERIMA KASIH CIKGU kerana mendidik aku sehingga aku berjaya menjadi seorang pendidik. Sesungguhnya pengalaman pahit semasa aku menjadi murid sekolah suatu masa lalu adalah kenangan paling manis yang tidak bisa aku lupakan sehingga ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment