Tuesday 10 July 2012

Entri 2 - JURUJUAL GANGGU GURU


Jurujual ganggu guru mengajar


RINGKASAN: Artikel ini aku tulis disebabkan rasa tidak puas hati terhadap jurujual yang berkeliaran di sekolah untuk jualan produk, membuat promosi kad kredit ataupun kad pelancongan. Yang paling aku tidak suka apabila jurujual tersebut terus memujuk walaupun seseorang guru itu tidak berminat untuk membeli produk mereka atau menggunakan khidmat kad kredit institusi perbankan mereka. Artikel ini aku hantar kepada Akhbar Berita Harian dan telah diterbitkan pada 19 January 2005. Pada 16 April 2005, surat aduan aku ini mendapat respon daripada presiden NUTP, Ismail Muhammad dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dr Maamor Osman. Mereka menyarankan agar membuat aduan lisan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya dapat menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia berbuat sesuatu untuk bertindak.



SAYA tidak puas hati dengan kebanjiran jurujual di sekolah sejak akhir-akhir ini.
Pada hemat saya, sekolah bukanlah tempat yang sesuai bagi jurujual mempromosi produk mereka kerana perbuatan ini menyusah serta merimaskan guru.
Saya percaya sebahagian besar guru berasa kurang selesa apabila dihampiri jurujual, ejen pelancongan, ejen kad kredit atau ejen insurans yang berkempen, memujuk serta mendesak kami supaya menjadi pelanggan mereka.
Kadang-kadang kita terpaksa melayan mereka walaupun sekadar acuh tidak acuh. Ada juga dalam kalangan guru yang terpaksa menjadi pelanggan mereka semata-mata tidak mahu terus diganggu walaupun perkhidmatan atau barangan yang dibeli tidak diperlukan.
Tidak tergamak juga rasanya untuk kita tidak melayan atau terus berlalu pergi takut-takut dikatakan sombong atau ego kerana kita pun memahami bahawa mereka juga bekerja untuk menyara anak isteri.
Sebagai guru, kita bukannya mempunyai banyak masa untuk mendengar ceramah mereka. Sedikit masa rehat yang ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh guru kerana waktu berkenaan boleh digunakan untuk melakukan kerja yang sepatutnya seperti menulis buku rancangan mengajar, menyemak data pelajar dan menanda buku pelajar.
Baru ada sedikit masa untuk menyuapkan makanan ke mulut, tiba-tiba meluru jurujual berkenaan. Kadangkala masa rehat yang ada sedikit, habis begitu saja bahkan terpaksa pula ‘mencuri’ masa beberapa minit kerana mendengar ceramah jurujual.
Bekal yang dibawa dari rumah tidak sempat dijamah dan kita terpaksa membawanya balik semula. Bilik guru apabila menjadi tempat jurujual berkeliaran mencari pelanggan sememangnya sudah tidak ada privacy lagi kepada guru untuk melepaskan penat dan bersosial sesama mereka.
Kami berharap Kementerian Pelajaran akan mengeluarkan surat pekeliling ke semua sekolah supaya melarang sama sekali jurujual atau ejen pemasaran masuk ke kawasan sekolah untuk mencari pelanggan kerana sekolah bukan tempat yang sesuai untuk berurus niaga.
Sesetengah jurujual atau ejen tertentu sanggup memperdaya guru dengan menyatakan bahawa kedatangan mereka adalah atas arahan pihak kementerian atau jabatan dengan mengemukakan surat sokongan yang boleh dipertikaikan kesahihannya.
Saya memohon maaf kepada jurujual atau ejen tertentu kerana luahan ini mungkin akan menyukarkan anda mencari rezeki tetapi banyak lagi cara dan tempat yang boleh anda lakukan bagi mempromosikan produk anda, tidak semestinya di sekolah.
Kami akan mencari anda dan mendapatkan produk atau khidmat syarikat anda apabila kami memerlukannya tetapi bukannya di tempat kami bertugas. 

No comments:

Post a Comment