Thursday 12 July 2012

Entri 10 - ARTIKEL KESEDARAN PENGGUNA

RUMUSAN : Artikel ini aku buat khas untuk menyertai pertandingan menulis esei isu kepenggunaan sempena minggu pengguna bagi kategori umum. Walau bagaimanapun esei ini tidak dihantar untuk pertandingan kerana guru yang diberi tanggungjawab untuk menghantarnya telah bertukar sekolah secara tergesa-gesa. Jadi esei yang panjang ini saja aku muatkan kat sini kerana esei ini sangat berguna untuk calon SPM dan STPM buat rujukan. Kalau sape-sape yang nak baca silakanlah.. mudah-mudahan memberi sedikit info untuk diajar kepada anak-anak murid anda. 





TAJUK: SEJAUH MANAKAH TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT MEMBERI
               MANFAAT KEPADA MASYARAKAT.

Merujuk kepada Kamus Dewan, Sosial memberi maksud segala yang berkaitan dengan masyarakat manakala korporat pula berkaitan dengan syarikat atau perbadanan.Sosial Korporat bolehlah dirumuskan sebagai peranan individu, syarikat atau perbadanan dalam membantu masyarakat.
Dasawarsa, masalah kemiskinan dalam kalangan masyarakat menjadi satu igauan ngeri yang harus dihadapi oleh kerajaan. Untuk melayakkan sesebuah negara itu diiktiraf sebagai negara maju mestilah pendapatan perkapita rakyatnya AS15,000 setahun dengan kadar pertumbuhan 6% setahun untuk tempoh 10 tahun. Hal ini bermakna, negara kita masih lagi jauh untuk menggapai wawasan tersebut kerana purata pendapatan isi rumah di negara kita sekitar bawah RM 3000.00 sebulan. Walaupun harga komoditi sawit dan getah semakin meningkat saban tahun tetapi kehidupan rakyat masih berada pada takuk lama atas sebab kenaikan kos sara hidup yang sentiasa meningkat saban tahun. Kenaikan harga barang yang semakin menjadi-jadi dan sukar dikawal terutamanya pada musim perayaaan menjadikan kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana semakin dihimpit dan terhimpit. Walaupun kerajaan bertindak untuk mengawal beberapa harga makanan yang popular tetapi tidak memberi apa-apa erti kepada pengguna kerana harga barang kawalan terus naik akibat daripada pakatan sulit dan strategi yang berkesan pihak pengeluar dan orang tengah yang sentiasa menangguk di air keruh serta tidak takut mempermainkan undang-undang kepenggunaan.
Kita perlu menerima hakikat bahawa negara kita masih jauh lagi untuk merealisasikan cita-cita menjadi salah sebuah negara maju di dunia ini selagi kadar kemiskinan rakyat masih berada pada paras yang sederhana. Hal ini diburukkan lagi dengan kadar inflasi yang semakin meningkat, kadar pengangguran dalam kalangan rakyat yang agak tinggi iaitu lebih kurang 5.8%, kenaikan harga minyak, kenaikan harga rumah dan bahan binaan, serta kenaikan segala-galanya. Dalam menangani hal ini, mana mungkin kerajaan  secara bersendirian mampu menangani krisis kemiskinan ini tanpa bantuan daripada sumber lain sama ada NGO atau orang perseorangan.

            Kehadiran golongan tertentu yang bermurah hati dalam membantu usaha menangani kemiskinan atas tiket rasa simpati dan tanggungjawab sosial telah memberi manfaat yang bukan sedikit kepada masyarakat. Kita semua perlu tahu bahawa terdapat ramai di sekeliling kita yang sangat mengharapkan bantuan untuk mengharungi rona-rona kehidupan. Dalam keghairahan golongan kaya berlumba-lumba mengumpul harta kemewahan, terdapat golongan yang lemah mengerah kudrat dengan tulang lapan kerat bekerja siang dan malam tetapi pendapatannya sekadar cukup makan sehinggakan ada yang beranggapan dunia begitu kejam terhadap mereka.
Dunia semakin berubah, masyarakat perlu bekerja keras untuk menyara kehidupan masing-masing. Saban hari, pelbagai ciptaan baru berada di pasaran. Setiap ciptaan baru memerlukan kos yang agak tinggi untuk memilikinya. Sudah menjadi trend masa kini, orang ramai berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diingini walaupun di luar kemampuan mereka. Oleh sebab itu, ada dalam kalangan masyarakat yang menjadi penghutang yang tegar, lebih memburukkan keadaan apabila mereka sanggup berhutang dengan ceti ahlong walaupun sudah sedia maklum mereka ini adalah golongan yang cekik darah dengan mengenakan kadar bunga yang tidak masuk akal kepada peminjam. Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, hampir 50,000 individu yang berumur bawah 35 tahun di negara ini telah diistiharkan muflis akibat penggunaan kad kredit di luar kawalan. Penggunaan wang plastik ini jelas menyebabkan golongan muda ini bernafsu untuk berbelanja walaupun melebihi pendapatan bulanan mereka. Akibatnya, mereka menjadi miskin dalam usia yang muda apabila telah diistiharkan muflis.
Kita biasa terbaca di dada-dada akhbar terdapat segelintir golongan korporat yang membantu masyarakat marhaen yang amat memerlukan bantuan. Yayasan Al-Bukhary misalnya ditubuhkan bertujuan untuk membantu golongan miskin yang sangat memerlukan. Hal ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban golongan miskin yang benar-benar kesempitan wang. Terdapat juga golongan korporat yang menyalurkan bantuan melalui rumah-rumah ibadat yang bertaburan di merata tempat. Melalui dana yang diperoleh daripada golongan korporat ini membolehkan mereka menyalurkan wang bantuan ataupun bantuan makanan dan keperluan lain kepada golongan gelandangan dan kepada mereka yang benar-benar terdesak. Sumbangan golongan korporat yang mempunyai perasaan tanggungjawab dan kesedaran untuk berkongsi sedikit kekayaan dengan orang lain yang tidak bernasib baik memberi sinar harapan yang tinggi kepada masyarakat bawahan. Hal ini jelas memberi manfaat yang amat berguna kepada masyarakat yang memerlukan bantuan sama ada dalam bentuk wang ringgit, makanan ataupun tempat tinggal.
Golongan korporat juga banyak membuat potongan zakat dan memberi sumbangan ikhlas kepada Baitul Mal untuk diagihkan kepada golongan miskin, golongan orang kurang upaya (OKU), anak-anak yatim, rumah orang-orang tua, ibu-ibu tunggal dan rumah-rumah kebajikan yang lain. Hasil yang diperoleh daripada golongan ini bukan sedikit nilainya atas sebab kesedaran yang semakin bercambah dalam diri golongan yang dimurahkan rezeki ini. Sikap mulia yang ditunjukkan oleh orang kelima terkaya di Malaysia menurut penilaian yang dikeluarkan oleh majalah Forbes keluaran 2012 iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary perlu menjadi teladan dan idola golongan korporat yang lain. Berdasarkan satu petikan yang terkeluar daripada mulut beliau iaitu “ hanya 20% sahaja daripada keseluruhan hasil kekayaannya adalah hak milik mutlak dirinya. Yang selebihnya itu adalah hak orang lain yang dia sebagai pemegang amanahnya”. Sikap mulia dan ikhlas yang begitu menebal di dalam hati sanubarinya itu lahir atas didikan yang diberikan oleh kedua orang tuanya sejak beliau masih kecil lagi seterusnya menjadikan beliau begitu disegani dan diangkat sebagai penderma yang tiada taranya. Begitu juga dengan pemilik Hypermarket Mydin Holding yang setiap kali musim permulaan buka sekolah telah bermurah hati menyumbang baju sekolah kepada anak-anak yatim. Begitu juga baju raya setiap kali tibanya musim perayaan, akan turut diberikan percuma kepada anak-anak yatim dan orang-orang tua. Oleh yang demikian, jelas kepada kita bahawa tanggungjawab sosial golongan korporat ini amat membantu golongan yang benar-benar memerlukan ini.
Peranan media eletronik seperti rancangan Bersamamu TV3 dan media cetak seperti Metro Prihatin jelas dapat memberi sinar baru kepada golongan yang tidak berkemampuan apabila keperitan hidup mereka dipaparkan untuk tontonan umum dan yang pastinya akan ada golongan korporat yang sudi menghulurkan bantuan. Contohnya kes warga emas yang ditinggalkan oleh anak lelakinya di hotel murah yang mendapat paparan meluas dalam ‘you tube’ sehingga ke luar negara dan menjadi medan pertuturan orang ramai telah membuka hati seorang usahawan untuk memberi bantuan segera. Sudah terang lagi bersuluh, peranan golongan korporat ini amat memberi manfaat kepada masyarakat.
            Para pelajar di sekolah khususnya telah dididik sejak di bangku sekolah lagi untuk menjadi seorang penyumbang dan pemberi apabila sudah memasuki alam pekerjaan nanti. Sekiranya kita menonton filem Indonesia yang berjudul ‘Laska Pelangi’, pak gurunya selalu mengingatkan kepada anak-anak didiknya yang petikannya berbunyi “Jadilah kita orang yang memberi sebanyak- banyaknya dan jangan kita menjadi orang yang menerima sebanyak-banyaknya”. Buku teks komsas tingkatan 3 iaitu ‘Panas Salju’ ada menceritakan kisah seorang usahawan iaitu Tan Sri Samsuddin yang merupakan pemilik syarikat ‘Sapura Holdings’ telah memberi bantuan sepenuhnya kos pembedahan sebanyak RM300,000 kepada Nadhirah yang mendapat penyakit hati dan hempedu. Buku pelajaran yang wajib dipelajari oleh setiap murid tingkatan 3 di semua sekolah menengah ini secara tidak langsung telah mendidik setiap pelajar sejak di bangku sekolah lagi supaya menjadi sebagai penderma yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan tidak berkemampuan.
            Memang tidak dapat dinafikan, industri pelancongan merupakan satu industri yang besar menyumbang kepada ekonomi negara. Sejajaran dengan itu, banyak tempat pelancongan telah dibuka oleh golongan korporat yang melabur dalam industri hotel, resort dan spa.  Hal ini sudah tentu membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat yang sedikit sebanyak mampu menambahkan pendapatan mereka. Contohnya di Taman Negara, banyak dalam kalangan penduduk di sekitar Kuala Tahan dan Sungai Lembing menjadi pemandu bot, pemandu arah, dan pekerja resort. Begitu juga dengan tempat-tempat pelancongan yang lain seperti Pulau Langkawi, Pulau Redang, Pulau Gaya dan sebagainya telah menjadi lubuk emas bagi penduduk tempatan mencari rezeki. Segelintir kaum Kadazan Dusun di Sabah mencari wang pendapatan dengan bekerja sebagai pembawa barang kepada pendaki-pendaki gunung Kinabalu. Syarikat Penerbangan Tambang Murah iaitu Air Asia juga turut memainkan peranan dalam menarik minat para pelancong luar untuk bertandang ke negara kita melalui promosi yang dilakukan. Pelancong domestik juga turut mengambil peluang dengan pakej-pakej tambang murah yang diperkenalkan untuk melancong terutamanya ke Sabah dan Sarawak. Tuntasnya, penglibatan golongan korporat dalam industri pelancongan telah memberi keuntungan yang bukan sedikit kepada masyarakat setempat. Peluang pekerjaan terbuka luas dan secara tidak langsung mengurangkan kadar pengangguran di negara kita.
Sumbangan golongan korporat dalam bidang pertanian juga tidak kurang hebatnya. Kebanyakkan ladang sayur di Cameron Highlands dimiliki oleh golongan korporat. Mereka menjual sayur-sayuran dengan harga yang murah. Hal ini membolehkan penduduk miskin mampu membeli sayuran segar dengan harga yang mereka mampu. Ladang ‘Barat Tea’ dan ‘BOH’ juga dimiliki oleh golongan korporat. Ramai pekerja ladang mereka terdiri daripada penduduk sekitar termasuk orang-orang asli. Bank Pertanian atau AGROBANK boleh membantu dengan memberi pinjaman kepada petani yang tidak mempunyai cukup modal untuk mengusahakan tanah mereka atau mengusahakan kolam ikan. Perbadanan seperti RISDA boleh memberi bantuan anak-anak getah dan baja kepada pekebun getah yang ingin menanam semula getah bagi menggantikan pokok-pokok getah yang sudah tua. FELDA juga telah bertindak membantu dan menaik taraf hidup para peneroka. Kalau kita lihat sekarang ini, kehidupan peneroka felda sudah banyak berubah. Mereka sudah mempu mengecap sedikit kemewahan berbanding dulu. Peranan badan berkanun FAMA juga penting dalam usaha meningkatkan hasil padi kepada petani. Selain daripada bantuan benih padi yang bermutu dan bantuan baja, badan ini juga turut membantu petani memasarkan hasil padi mereka. Hal ini dapat mengelakkan golongan petani diambil kesempatan oleh orang tengah yang suka menangguk di air keruh.  Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa golongan korporat ini memainkan peranan  yang cukup besar dalam mengubah kehidupan masyarakat.
            Dalam bidang pelaburan, syarikat-syarikat korporat telah memberi peluang kepada masyarakat untuk turut sama menanam modal dalam syarikat mereka dengan hasil keuntungan diagihkan mengikut peratus yang telah ditetapkan. Contohnya Bank Rakyat, yang menggalakkan masyarakat membuat pelaburan dengan menjanjikan keuntungan setinggi 20%. ASB, Tabung Haji, KWSP dan sebagainya turut membuka peluang kepada masyarakat untuk menanam pelaburan seterusnya dapat mengaut sedikit keuntungan daripada hasil pelaburan mereka bak kata pepatah cina ‘bunuh dua ekor burung dengan menggunakan hanya satu batu’. atau dengan kata lain, serampang dua mata iaitu di samping menyimpan, dapat pula laba.
            Dalam melahirkan masyarakat yang sihat pula, golongan korporat memainkan peranan yang cukup penting dalam menaja beberapa acara sukan contohnya sukan pemotoran mendapat penajaan daripada Petronas, Proton pula menaja permainan badminton, syarikat Telekom telah menaja Le Tour de Langkawi dan bola sepak. Beberapa syarikat lain yang dimilik oleh golongan korporat telah berlumba-lumba untuk menaja sukan yang paling terkenal iaitu bola sepak. Lihat sahaja pasukan Kelantan dalam Bola Sepak Liga Super di negara kita, beberapa syarikat korporat telah menjadi penaja rasmi antaranya syarikat telekomunikasi Happy Prepaid, syarikat yang mengeluarkan produk kesihatan Al-Jabbar, Yusmira Trading, Mamee, Al- Hamraa, Masterskill dan sebagainya. Syarikat yang menjadi penaja ini mampu memberi dana untuk memajukan sukan di negara kita.  Maybank Berhad sanggup menawarkan hadiah berjuta-juta ringgit dalam kejohanan golf antarabangsa. Pengeluar produk berasaskan coklat yang terkenal di Malaysia iaitu Milo banyak menaja hamper, pingat dan minuman percuma dalam kejohanan sukan sekolah pada setiap peringkat iaitu peringkat daerah, negeri, kebangsaan serta antarabangsa sekiranya dianjurkan di negara kita. Bahkan t-shirt juga turut disediakan. Bukalah mata kita betapa golongan korporat ini sentiasa menyumbang dalam apa saja aktiviti sukan demi melihat masyarakat di negara ini maju setapak demi setapak dalam bidang sukan ini yang menawarkan pendapatan lumayan kepada ahli sukan dan secara tidak langsung boleh mengharumkan nama negara di mata dunia.
            Dalam bidang pendidikan, peranan golongan korporat tidak boleh diketepikan. Banyak universiti dan kolej swasta dimiliki oleh golongan korporat yang menyediakan pendidikan kepada pelajar lepasan sekolah. Para pelajar boleh memilih mana-mana institusi pengajian tinggi untuk melanjutkan pelajaran sekiranya tidak berjaya memasuki institusi pengajian tinggi awam. Antara universiti dan kolej swasta yang menawarkan tempat untuk para pelajar lepasan sekolah melanjutkan pelajaran sekolah ialah UNITAR, MAHSA, INTI College, Sunway University College, Stamford College, Lim Kok Wing Universiti, Help university college dan sebagainya. Universiti-universiti ini melakukan jaringan kerjasama dengan universiti-universiti di luar negara yang membuka ruang yang seluas-luasnya kepada pelajar untuk menyambung pengajian mereka di luar negara. Terdapat juga golongan korporat yang bermurah hati menaja sepenuhnya para pelajar yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran mereka.
            Di sekolah, peranan PIBG  begitu penting dalam membantu pihak sekolah mendapatkan dana. Terdapat golongan korporat terutamanya sekolah-sekolah di bandar, telah menjadi anggota-anggota PIBG yang tidak lokek untuk menyumbang idea bagi meningkatkan tahap pelajaran murid-murid malahan ada juga yang bermurah hati mengeluarkan duit poket untuk disumbangkan kepada sekolah. Ada sesetengah sekolah yang tabung PIBG sekolah itu mencecah hampir 1 juta ringgit. Dengan wang sebanyak itu, sudah tentu pelbagai prasarana boleh disediakan tanpa mengharapkan bantuan kerajaan untuk keselesaan para pelajar. Oleh yang demikian, jelas kepada kita bahawa peranan golongan korporat khususnya dalam bidang pendidikan memberi jaminan kepada pelajar mendapat pendidikan yang bertaraf dunia seterusnya membuka peluang untuk mendapat pekerjaan yang sesuai suatu hari nanti
            Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Konklusinya, berdasarkan kepada huraian yang dinyatakan sudah jelas bahawa peranan golongan korporat sangat membantu masyarakat meningkatkan taraf hidup mereka, seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan. Kita saling memerlukan bagai aur dengan tebing. Orang kaya memerlukan orang miskin dan orang miskin amat memerlukan golongan kaya. Kita perlu ingat, langit tidak selalunya cerah, kerana hidup ini ibarat roda, adakalanya kita berada di atas dan adakalanya kita berada di bawah. Pepatah ada mengatakan kalau kita berada di awangan, jangan lupa rumput di bumi. Rezeki kalau dikongsi akan bertambah subur dan berganda-ganda jadinya. Kita disaran supaya jangan kedekut untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kerana mungkin RM1 yang kita dermakan dapat menyelamatkan satu nyawa. Oleh itu, memang tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa peranan yang dimainkan oleh golongan korporat atau perbadanan dapat membantu usaha kerajaan menaik taraf hidup rakyat seterusnya dapat meneruskan misi untuk merealisasikan hasrat menjadi negara maju pada tahun 2020.

No comments:

Post a Comment